Dulu Jo Jung Suk, kini giliran Jeon Mi Do pula lakar rekod single terlaris di Korea dalam seminggu tundukkan IU & Suga BTS

Image may contain: 2 people, eyeglasses

Sebelum ini, Jo Jung Suk melakarkan rekod sebagai pelakon bukan berkerjaya penyanyi pertama berjaya menjuarai carta Gaon sejak hampir sedekad lalu dengan single ‘Aloha’-nya yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Cool pada tahun 2001 dan beliau menyandang takhta itu selama tiga minggu berturut-turut sebelum kedudukannya itu dijatuhkan oleh gandingan IU dan Suga kemudian menerusi single duet mereka, ‘Eight’.

Kini, giliran Jeon Mi Do pula berbuat demikian dengan menundukkan penguasaan ‘Eight’ yang selesa di tangga pertama setelah menjuarai carta Gaon tersebut untuk tiga minggu berturut-turut, melalui single ‘I Knew I Love’ keluarannya yang dimuatkan sebagai OST drama tvN Hospital Playlist. Jeon Mi Do, berbeza sedikit daripada Jo Jung Suk, merupakan pelakon teater muzikal sepenuh masa yang tidak mempunyai apa-apa sejarah penglibatan dalam mana-mana bidang muzik ‘mainstream’ melainkan nyanyian di dalam teater muzikal saja. Malah, tvN Hospital Playlist merupakan drama pertamanya selaku bergelar pelakon.

Ironinya, Jeon Mi Do menerusi watak Chae Song Hwa di dalam tvN Hospital Playlist ialah seorang yang pekak ton (“tone deaf”), yakni tidak mampu menentukan nota-nota muzik dengan baik, maka dia seringkali akan membuat kesilapan dari sudut “pitching” apabila diminta untuk menyanyi. Cara Song Hwa melontarkan suara di dalam drama itu juga menjadi usikan oleh rakan-rakannya, yang mengambil keputusan untuk tidak membenarkan Song Hwa menjadi penyanyi utama untuk beberapa sesi ‘jamming’ kugiran mereka. Ini menunjukkan Jeon Mi Do mampu mengaburi mata penonton dengan lontaran suara tak menjadi yang sengaja dibuat, padahal beliau memang pandai menyanyi sebenarnya baik dalam lakonan muzikal sebelum ini, mahupun OST nyanyiannya yang berjaya tersemat sebagai juara carta Gaon pada minggu bertarikh 24.05.2020-30.5.2020 ini.

Drama tvN Hospital Playlist lakonan Jo Jung Suk dan Jeon Mi Do ini boleh ditonton menerusi Netflix.

Sumber: Gaon

loading...