Kim Rae Won akhirnya kembali bintangi drama terbaru terbitan tvN disamping Lee Da Hee

Kim Rae Won nampaknya akan kembali membintangi drama selepas dua tahun. Kali ini, dia akan bergandingan dengan Lee Da Hee untuk drama terbaru tvN.

Rangkaian kabel tvN nampaknya bersiap sedia untuk memulakan produksi drama terbaru mereka “LUCA” (tajuk kerja setakat ini) yang berdasarkan karya Charles Darwin iaitu “Origin of Species”. “LUCA” mengisahkan tentang seseorang yang dilahirkan dalam dunia genetik yang misteri dan mendorong dirinya sendiri untuk bermasyarakat. Dengan pasukan produksi yang berpengalaman dan setelah dua pelakon hebat ini menyertai drama tersebut, kini penonton jadi teruja untuk melihatkan apakah genre drama ini serta apakah keistimewaan yang akan ditampilkan.

“LUCA” akan diarahkan oleh PD Kim Hong Sun, tenaga kerja kreatif disebalik “Voice” dan “The Guest,” dan skripnya dinukil oleh Chun Sung Il, penulis yang telah menghasilkan skrip filem seperti “The Pirates” dan “My Girlfriend is an Agent.” Dengan kombinasi dua insan hebat ini, peminat drama boleh meletakkan harapan yang tinggi terhadap kualiti jalan penceritaan dan produksinya.

“LUCA” adalah drama pertama Kim Rae Won dalam tempoh dua tahun.  Kim Rae Won akan membawakan watak Ji Oh, seorang yang pendiam yang didorong ke dunia tanpa sebarang petunjuk tentang siapa dia sebenarnya. Ji Oh juga memiliki ‘kuasa’ berlainan dan ‘rahsia’ berbanding orang biasa. Disebabkan itu, Ji Oh perlu berjuang untuk mengetahui jawapan di atas segala persoalan tentang kewujudannya.

Kim Rae Won menyatakan kesungguhannya untuk menyertai drama ini, dengan mengatakan, “Saya teruja kerana sudah lama saya tidak terlibat dalam pengambaran. Sinopsisnya sangat menarik, dan bekerjasama dengan pengarah serta penulis terkenal sangat mengujakan. Penulisan kreatif penulis yang digabungkan dengan sentuhan halus pengarah, saya rasa, akan menghasilkan karya yang sangat hebat, dan saya tidak sabar untuk melihatkan hasilnya. Saya harap penonton juga turut teruja dengan drama ini. “

Manakala Lee Da Hee yang terkenal dengan daya tarikan yang tersendiri akan berubah menjadi detektif Gu Reum yang berdedikasi. Gu Reum telah dipindahkan ke Unit Siasatan Jenayah Utama ketika menyiasat kes rasuah seorang pegawai atasan. Gu Reum seorang yang cepat bertindak sebelum berfikir dan akan terus mara ke hadapan setelah keputusan dibuat. Hidupnya bertukar jadi huru hara selepas bertemu dengan Ji Oh ketika menguruskan kes berkaitan kehilangan anak.

Seorang pelakon dengan filemografi yang kuat untuk menyokong personalitinya, Lee Da Hee dilihat bersesuaian dengan watak tersebut, setelah membintangi drama seperti “Beauty Inside” dan “Search: WWW.” Sewaktu ditawarkan membintangi “LUCA,” Lee Da Hee berkata, “Selepas drama ‘Search: WWW’ , saya ingin mencari drama yang bagus untuk projek seterusnya, jadi saya sangat teruja ketika mendengar tentang ‘LUCA.’ Ia seperti sempurna dengan pengarah, penulis dan barisan pelakon yang hebat, jadi saya berharap dapat bekerja dengan mereka semua. Saya merasa berbesar hati dapat bekerja dengan barisan senior-senior ini, yang mana saya selalu impikan untuk bekerja dengan mereka sekurang-kurangnya sekali. “

Pihak produksi ‘LUCA’ turut berkongsi mengenai karya tersebut, “[Penonton] boleh menjangkakan sebuah drama dengan genre yang baru, segar dan berbeza dari drama-drama yang lain. Dengan kapasiti barisan pelakon, produksi serta tenaga kerja yang terbaik, anda boleh mengharapkan hasilnya yang hebat.” Sementelah dengan gandingan Kim Rae Won dan Lee Da Hee yang mempunyai skill lakonan yang mantap, penulis dapat rasakan keserasian mereka serta aura drama ini.

“LUCA” dijadualkan untuk tayangan perdananya pada pertengahan tahun ini. Drama ini pastinya dapat mengubati kerinduan peminat untuk menonton aksi lakonan Kim Rae Won selepas drama terakhirnya “Black Knight : The Man Who Guard Me”. Penulis sendiri tidak sabar untuk menyaksikan gandingan baru Kim Rae Won dan Lee Da Hee ini. Diharapkan pemilihan naskhah kali ini bertepatan dan sekaligus akan mengembalikan kegemilangan lakonan Kim Rae Won.

Sumber : OSEN , Donga

loading...