WINNER dan peminat sekali lagi berjaya cipta kenangan paling terindah sepanjang CROSS TOUR in Kuala Lumpur

Tahun 2020 sekali lagi menjadi saat berharga kepada Inner Circle (kelab peminat Winner) apabila kumpulan itu diterbangkan kembali ke Kuala Lumpur sempena siri jelajah CROSS TOUR. Nampaknya rintihan kerinduan Inner Circle sekali lagi didengari oleh kumpulan Winner yang dianggotai oleh Jinu, Hoonie, Mino dan Yoon. CROSS TOUR di KUALA LUMPUR diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 18 Januari lepas. Ini merupakan kali kedua Winner ke Malaysia selepas EVERYWHERE TOUR pada 2018.

Dua tahun lepas, ramai peminat merajuk hati atas perbezaan layanan yang diberikan kepada kumpulan Winner dan iKON oleh syarikat pengurusan. Peminat mengadu kumpulan Winner diberikan layanan berbeza. Video yang salah dipasang, tiada konfeti dan sebagainya. Berbeza tahun ini. Kehadiran Winner ke tanah air pada Sabtu lepas benar-benar hebat. Sekiranya penulis mengatakan persembahan mereka memuaskan hati Inner Circle Malaysia, ia kurang tepat. Persembahan kali ini benar-benar membuatkan penantian selama dua tahun ni amat bebaloi.

Winner Cross Tour 2020 di Kuala Lumpur  kali ini begitu memukau. Walaupun dinobatkan Visual of YG, bakat nyanyian dan tarian mereka tidak boleh dipertikaikan lagi. Kumpulan Winner memberikan 120% kuasa vokal dan tarian untuk para peminat sepanjang berlangsungnya konsert. Didokong oleh kesan khas yang mantap, persembahan mereka benar-benar hidup. Mesin pengasap memperlihatkan seolah-olah mereka menyanyi di atas lautan awan yang indah.

Sistem audio dan video background  juga dihasilkan dengan baik. Penulis benar-benar terpaku dengan video-video khas persembahan mereka. Terutamanya ketika persembahan  ‘Flamenco’ oleh Hoonie. Ianya amat luar biasa. Penulis juga ingin memuji video Winner yang dimainkan untuk peminat. Sisi dark humor YG terserlah dengan begitu cemerlang. Penulis merasakan seolah-oleh menonton satu episod YG Future Strategy Office. Sisi ini memperlihatkan mereka sebagai Cool Oppa yang bukan sahaja berbakat dan kacak  turut mempunyai personaliti yang menarik. Kali ini, berderu-deru konfeti dilepaskan sekaligus mencipta mood yang hebat kepada persembahan mereka.

Paling menarik dimata penulis, kumpulan muzik live yang mengiringi nyanyian Winner yang begitu handal. Seperti yang diperkatakan oleh Yoon, sebagai “Best band in the world”. Ada ketika, penulis merasakan adakah ianya susunan lagu baru cukup berbeza dengan lagu-lagu di album mereka. Susunan lagu mereka ada ketikanya disuntik dengan elemen Rock lantas memberikan kelainan kepada nyanyian kumpulan Winner. Kumpulan muzik iringan Winner ini benar-benar memberi suntikan semangat kepada barisan Kuartet ini untuk memberikan persembahan yang unggul dan luar biasa.

Jika pada tahun 2018, mereka ada menyanyikan lagu-lagu daripada artis lain, tahun ini fokus hanyalah kepada  lagu-lagu Winner dan lagu solo mereka sahaja. Buat kali ini, Winner mempersembahkan 24 buah lagu, termasuk Encore dan juga lagu solo masing-masing. Membuka persembahan dengan lagu ‘Everyday’, mereka tidak ketinggalan untuk menyanyi lagu-lagu hit mereka seperti ‘Really Really’ , ‘OMG’ , ‘Millions’ , ‘So-So’ dan pelbagai lagi.

Hoonie ataupun menurut beliau, abang Hoonie menyanyikan lagu ‘Flamenco’ dan ‘Serenade’ yang ditujukan khas untuk kesayangan beliau, yang tidak lain tidak bukan tentulah InCles. Jinu pula turut berduet dengan Mino untuk menyanyikan lagu solonya ‘Call Anytime’ . Mino, seperti biasa begitu “sexy, sleek and suave” mendendangkan tiga buah lagu, iaitu ‘I’m Him’ , ‘Trigger’ dan ‘Fiance’.

Yoon tidak ketinggalan berkongsi rasa gembira dan bersyukur beliau dengan menceritakan kenapa konsert di Kuala Lumpur kali ini begitu bermakna baginya. Pasti ramai yang sedia maklum, bahawa Yoon tiba di Malaysia sehari lebih awal dari ahli kumpulan yang lain. Yoon menceritakan bahawa, dia ingin mengambil kesempatan untuk bertemu rakan yang juga merangkap sebagai bekas pengurus beliau. Bekas pengurusnya telah membuat keputusan untuk menetap di sini dan tahun 2020 adalah ulang tahun ke-sepuluh beliau sebagai penyanyi. Yoon muncul di atas pentas dengan menyanyikan lagu solonya ‘Instinctively’ sambil mengimbau kenangan beliau pada 10 tahun lalu. Bukan suatu yang misteri sekiranya penulis melihat kemampuan Yoon untuk membuat ramai terpikat dengan personalitinya. Tiada lain boleh penulis ungkapkan, “so sweet and humble”. Mengakui suara beliau bukan dalam keadaan terbaik, ekoran selesema, Yoon meminta para peminat untuk turut sama-sama menyanyi dan memeriahkan lagi persembahannya.

Yoon bersama Jinu
Hoonie dan Mino

Mereka juga tidak melepaskan peluang untuk bermain-main dengan auto-tune untuk mencuit hati peminat-peminat dengan berusaha untuk menggunakan bahasa Melayu. ‘Seronok tak hari ni’, ‘sayang’, ‘si comel’, ‘apa khabar KL’, ‘sayang aku hanya ada kamu’, ‘selamat tahun baru’ dan juga ‘mimpikan kami’ dalam lirik freestyle mereka. Penulis boleh bayangkan berapa ramai peminat akan bermimpikan anda semua wahai Yoon, Mino, Hoonie dan Jinu.

Paling manis adalah kejutan hari jadi untuk Yoon dari peminat-peminat kesayangan mereka. Yoon yang kelihatan amat terharu dengan kejutan yang disediakan turut menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi untuk diri sendiri. Beliau menyatakan ini adalah di antara kenangan paling manis dalam hidupnya. Beberapa kali Yoon menekankan konsert kali ini benar-benar bermakna di hati beliau.

Kudos kepada IME yang berusaha keras membawa dan menjayakan konsert Winner Cross Tour di Kuala Lumpur. Benar-benar hebat!!! Penulis berharap satu hari nanti, Winner akan mengeluarkan lagu berunsur Rock pula kerana penulis dapat rasakan ianya sesuatu yang hebat. Suara Yoon tu belum digunakan sepenuhnya lagi. Ayuh YG!!!

P/S: Benarkah khabarnya CrossTour akan menjadi konsert terakhir kerana Jinu dan Hoony akan enlist pada tahun ini? Sama-sama kita tunggu ya. Sila layari Instagram KMania (@kmania.my) untuk lihat update mengenai Cross Tour in Kuala Lumpur.