Analisis jangka kerugian YG Entertaiment dapat dipulihkan dengan kembalinya G-Dragon

G-Dragon akan kembali pada 26 Oktober, kurang dari 12 jam saja lagi sekaligus menjadikan ahli BIGBANG yang kedua tamat menjalani khidmat tenteranya selepas T.O.P.

Terdahulu, ramai meramalkan kepulangan G-Dragon dijangka mampu ‘menyelamatkan’ YG Entertainment daripada nilai sahamnya terus menjunam dan kekecewaan peminat yang tidak mahu terlalu memberi tekanan kepadanya.

Pada 23 Oktober lalu, Hana Financial Investment Co., Ltd telah mengeluarkan analisis mereka mengenai kewangan YG Entertainment.

Pada awal tahun, pengasas YG, Yang Hyun Suk, telah meletak jawatannya dari syarikat terbabit ekoran terlibat dalam beberapa siri skandal. Adiknya yang juga CEO, turut meletak jawatan. Selepas perletakan jawatannya, Yang Hyun Suk menjadi subjek siasatan berikutan disyaki terlibat sebagai orang tengah kes pelacuran serta perjudian haram. Sejak itu, syarikat tersebut berterusan memberikan impak yang kurang baik terhadap orang ramai tambahan dengan isu-isu skandal Yang Hyun Suk.

Bagaimanapun, laporan optimis dari Hana Financial Investment menunjukkan jika BIGBANG memperbaharui kontrak mereka dan TREASURE 13 boleh membuat kemunculan sulungnya, syarikat itu berpotensi untuk berkembang pada tahun depan.

Lee Ki Hoon, seorang penyelidik di Hana Financial Investment, berkata, “ Pembaharuan kontrak BIGBANG tetap menjadi halangan besar bagi syarikat itu, tetapi keadaan ketidakpastian tersebut kini  dilihat semakin membaik  tambahan ahli-ahli BIGBANG yang akan kembali setelah tamat jalani khidmat tentera. Sekiranya mereka dapat membuat promosi BIGBANG dan debut TREASURE 13, maka potensi mereka untuk mendapatkan kadar pertumbuhan akan menjadikan mereka agensi hiburan terbesar tahun depan.”

Laporan itu juga meramalkan bahawa jualan suku ketiga dan keempat tahun ini adalah sekitar 63.9 bilion won (kira-kira $ 54.5 juta), penurunan 2 peratus dari tempoh yang sama tahun lepas. Kerugian operasi dianggarkan sekitar 1.3 bilion won (kira-kira $ 1.1 juta).

Lee Ki Hoon berkata, “Dengan berbekalkan dengan jualan digital AKMU, kemunculan semula WINNER, dan jangkaan kemunculan semula BLACKPINK, pada suku tahun keempat akan menyaksikan kenaikan dalam perniagaan asal syarikat itu.”

AKMU
WINNER
Blackpink

Walau bagaimanapun, tumpuan utama laporan adalah berkaitan masa depan YG. Lee Ki Hoon berkata, “Persoalan paling penting selepas anggota BIGBANG tamat khidmat tentera adalah samada mereka akan memperbaharui kontrak mereka atau sebaliknya.”

Beliau menyatakan kepulangan G-Dragon mampu membantu YG Entertainment untuk memulihkan keadaan dengan mengambilkira sumbangannya dan BIGBANG kepada syarikat tersebut pada tahun-tahun sebelumnya.  Beliau turut berkata, “Untuk tempoh lima tahun lepas, siri jelajah dome BIGBANG telah menyumbang sebanyak 40-50 peratus pendapatan kepada syarikat. Sekiranya BIGBANG dapat melakukan siri jelajah Japan Dome dengan mengekalkan pada tahap yang sama, mereka boleh mencapai lebih daripada 30 billion won dalam keuntungan operasi tahunan.

Lee Ki Hoon juga menegaskan bahawa TREASURE 13 harus buat kemunculan sulung mereka seawal tahun depan untuk bersaing dipasaran kumpulan rookie. Beliau turut menegaskan bahawa SM Entertainment telah menyatakan mengenai kemungkinan akan menampilkan kumpulan baru tahun depan, sementara Big Hit Entertainment sudah pun bermula dengan TXT. Beliau membuat kesimpulan, “Tetapi jangkaan masih tinggi [untuk TREASURE 13], dengan barisan ahlinya, termasuk empat ahli daripada Jepun, dan kerjasamanya dengan producer dari YG.”

Sumber : Naver