Balai polis Gangnam mengesahkan bahawa mereka sedang membuat serbuan terhadap bangunan enam tingkat milik Daesung pada jam 11 pagi tadi untuk menyiasatnya atas dakwaan melanggar undang-undang kebersihan makanan.
Menurut jurucakap polis yang dilaporkan berkata, “Serbuan itu dibuat untuk mengenalpasti tentang kewujudan menyalahgunakan ruang bangunan bagi tujuan menyediakan khidmat pelacuran. Kami akan menganalisis bukti selepas mengumpul kesemuanya.” Salah satu perniagaan di dalamnya berdaftar sebagai restoren dan hanya menggaji seorang pembantu wanita, tapi sebenarnya diiklankan untuk mendapatkan gadis kelab manakala perniagaan lain pula diketahui telah beroperasi dengan menyediakan hiburan seks kepada pelanggan yang mengunjunginya.
Bangunan milik Daesung tersebut sedang disiasat polis berikutan tularnya laporan yang mengatakan bangunan itu pernah dijadikan sebagai sarang pelacuran. Walaupun Daesung menafikan dia tidak tahu-menahu tentang kegiatan haram yang berlangsung di bangunannya, namun penyelongkaran demi penyelongkaran di ruang media sosial telah mengheret Daesung untuk bertanggungjawab terhadapnya, lagi-lagi pendedahan baru-baru ini bahawa Daesung cuba untuk menjualkan semula bangunan berkenaan pada sekitar Jun lalu dengan menggunakan kabel orang dalam, YG sebagai ‘broker’ menambahkan prasangka buruk netizen terhadapnya.