[Ulasan Album] ‘Color on Me’ cubaan “selamat” Kang Daniel untuk solo pertamanya

Kang Daniel akhirnya kembali dengan EP solo beliau, “Color on Me” pada 25 Julai 2019. EP sulung beliau ini dilihat lebih “ringan” dan mempunyai pengaruh pop dan r&b yang jelas. Daniel juga dikatakan turut mengambil bahagian secara aktif di dalam penghasilan album tersebut demi mencari “warna” nya sendiri. EP ini juga mencatatkan jualan album tertinggi bagi artis solo K-pop, iaitu sebanyak 342,218 unit dalam masa sehari.

Terdapat 5 buah lagu terkandung di dalam album ini iaitu Intro (Through The Night), Color, What are you up to, Horizon dan I HOPE. Daniel turut dikreditkan sebagai penulis lirik untuk empat buah lagu kecuali Intro(Through The Night).

What are you up to dipilih sebagai single utama EP tersebut. Lagu yang mempunyai rentak pop r&b ini bagi penulis adalah pilihan yang “selamat” untuk Daniel, yang pada mulanya lebih dikenali dengan bakat rap dan tariannya di dalam kumpulan Wanna One. Lagu ini tidak terlalu mencabar vokal Daniel, namun ini sesuatu yang boleh dijangka kerana Daniel sendiri tidak mempunyai peluang yang banyak untuk mengasah vokalnya selama ini. Namun bagi penulis, kekurangan ini diseimbangkan dengan koreografi persembahan yang menarik, sesuatu yang menjadi kekuatan bagi Daniel.

Lagu lain yang terkandung di dalam EP ini seperti Color & Horizon lebih terlihat dipengaruhi unsur r&b soul, dan lebih “chill” daripada kebanyakan lagu k-pop lain. I HOPE pula merupakan lagu pop rancak yang didedikasikan buat peminat Daniel, manakala Intro (Through The Night) pula dipengaruhi unsur EDM dengan beat drop.

Secara keseluruhannya, penulis merasakan EP ini merupakan cubaan yang baik tetapi “selamat” dari Kang Daniel. Lagu-lagu yang terdapat di dalam album ini menghiburkan, tetapi kurang sesuatu yang membolehkan ianya menonjol dari penyanyi lain. Penulis berharap di masa akan datang Daniel dapat mengambil risiko untuk menghasilkan lagu yang lebih mencabar kebolehan beliau, seiring dengan pengalaman yang beliau dapati sepanjang menjadi artis solo.

Sumber: Apple Music

loading...