7 penyanyi lelaki Kpop ini berjaya cipta rekod jualan album solo terbaik sepanjang dekad di Korea

1. Baekhyun EXO – City Light [2019] (~267k sehari dan jualan semakin bertambah dari hari ke hari)

Album solo pertama Baekhyun, City Light yang baru menjengah pasaran kelmarin telah merekodkan jualan sekitar 267k unit dalam masa sehari menurut Hanteo, yakni lima kali ganda mengatasi pencapaian dibuat oleh enam lagi penyanyi lain dengan setiap album solo mereka dalam sehari. Lebih menakjubkan, kiraan ini yang masih meningkat secara mendadak saban hari belum pun capai seminggu lagi. Malah, City Light juga telah mencatat jualan ‘pre-order’ sebanyak 400k unit dalam masa lapan hari saja sebelum ini.

Baca lagi: Bangga album solo pertama terjual sehingga 400k unit, Baekhyun tujukan ‘UN Village’ untuk peminat

Album ini dihasilkan sepenuhnya dengan gabungan beberapa orang komposer dan penulis lirik termasuklah LION (penggubah utama lagu single utama ‘UN Village’) , Beenzino, Kenzie dan juga Dark Child. Antara lagu yang tersenarai ialah Diamond, Psycho, Ice Queen (lagu kegemaran Baekhyun), Betcha, Stay Up dan juga UN Village. ‘UN Village’ yang berentak R&B dan disadurkan elemen retro klasik ini merupakan cubaan terbaru Baekhyun untuk menjadi penyanyi balad R&B pada suatu masa nanti. Lirik ‘UN Village’ yang berkisarkan tentang momen-momen dikecapi di bawah sinar rembulan di bukit ‘UN Village’ buat pasangan yang sedang asyik bermadu asmara, ditujukan khas untuk kebahagian peminatnya. City Light dijangka akan mendominasi carta album Gaon untuk minggu-minggu yang seterusnya.

2. Lay Zhang EXO – Lose Control [2016] (~47k sehari & 250k secara keseluruhan)

Album Lose Control yang dilancarkan pada tahun 2016 ini merupakan album solo pertama ahli kumpulan EXO berketurunan China ini. Lose Control mengandungi enam lagu dengan dua daripadanya dijadikan sebagai single iaitu, ‘Lose Control’ dan ‘What U Need?’. Album ini bukan saja gah di Korea dengan meraih jualan sebanyak 47k unit sehari dan keseluruhannya berjumlah 250k unit menurut Hanteo, malah kehebatannya juga dirasai di tanah kelahirannya sendiri sehingga mencipta rekod dunia jualan album terlaris di carta muzik mingguan YinYueTai dengan kekal di tangga pertama selama enam minggu.

Single utama, ‘Lose Control’ adalah berentakkan pop R&B berbahasa Mandarin dengan gabungan petikan melodi gitar yang mengasyikkan. Liriknya menceritakan tentang seorang lelaki yang sudah menyerahkan kesemua jiwa dan raganya demi perempuan dicintainya sehingga dia menjadi terlalu obses.

3. Hwang Chi Yeul – Be Ordinary [2017] (~52k unit sehari & 224k secara keseluruhan)

‘Be Ordinary’ merupakan album solo pertama dikeluarkan oleh Hwang Chi Yeul selepas hampir sepuluh tahun semenjak album ‘Five Sense’ dilancarkan. ‘Be Ordinary’  telah meraih jualan sebanyak 102k unit seminggu dengan keseluruhan berjumlah 224k unit, menurut Hanteo menjadikan Hwang Chi Yeul satu-satunya artis solo bergenre balada yang berjaya berbuat demikian.

Album yang dipilih pelancarannya pada tahun 2017 ini memuatkan beberapa lagu menarik seperti ‘A Daily Song’ dan ‘Alone’. Walaupun ‘A Daily Song’ berentakkan lagu balada yang kedengaran agak tipikal tapi ianya menyerlah kerana paduan vokal Hwang Chi Yeul. Masakan, penangan lagu ini menjadikannya sangat sinonim dalam kalangan rakyat Korea sehingga dijadikan sebagai ‘cover’ nyanyian untuk program realiti tv seperti I Can See Your Voice dan The Return of Superman.

4. Chen EXO – April, and a Flower [2019] (~43k unit sehari & 213k secara keseluruhan)

Seperti juga Baekhyun, ‘April, and a Flower’ merupakan cubaan pertamanya untuk bergerak secara solo. Semenjak dilancarkan pada 1 April 2019 yang lalu, album ini telah terjual sebanyak 103k unit dalam seminggu dan 213k secara keseluruhan, menurut Hanteo.

Baca lagi : Netizen terpukau dengan kegemersikan suara Chen EXO di dalam ‘Beautiful Goodbye’

‘April, and a Flower’ memuatkan lagu popular ‘Beautiful Flower’ yang berjaya menduduki tangga ke-2 dan ke-4 masing-masing di dalam carta muzik Kpop Hot 100 dan Gaon. Muzik video ‘Beautiful Goodbye’ memaparkan Chen menyanyi dengan berlatarbelakangkan pepohon yang sudah tak bermaya sambil ditemani dengan ratusan gadis yang menari dan berpakaian jarang menutup muka.  ‘Beautiful Goodbye’ menandakan hari-hari terakhir untuk mengucapkan selamat tinggal pada perhubungan yang terjalin selama ini. Chen dipuji bukan saja kerana kegemersikan suaranya menyanyikan lagu balad dengan agak baik, tapi juga emosi yang diterjemah dalam bentuk metafor bagi menunjukkan kekecewaannya akibat patah hati.

5. Yunho DBSK/TVXQ/Tohoshinki – True Colors [2019] (~58k unit sehari & 134k secara keseluruhan)

Yunho atau dikenali sebagai U-Know daripada kumpulan kpop yang sangat popular di Korea dan Jepun pada satu masa dahulu, DBSK berjaya tersenarai dalam kalangan 7 penyanyi solo dengan jualan album terbanyak sepanjang dekad menerusi album solo keduanya yang berjudul ‘True Colors’. Album ini yang dilancarkan pada bulan Jun 2019, telah meraih jualan sebanyak 104k unit seminggu dengan 134k secara keseluruhan, menurut Hanteo.

True Colors memuatkan lagu-lagu seperti ‘Swing’ dendangan bersama BoA, ‘Follow’ dan ‘Hit Me Up’. Walaupun lagu-lagu yang dijadikan sebagai single agak kurang menyerlah, namun pencapaian yang dibuat oleh Yunho ini sudah jauh mengatasi bekas rakan sekumpulannya yang kini menganggotai JYJ seperti Park Yoo Chun, Xiah Junsu dan Kim Jaejoong dengan album solo mereka.

6. Jonghyun Shinee – Poet Artist [2018] (~16k unit sehari & 235k secara keseluruhan)

Siapa tak kenal penyanyi yang pernah dilaporkan membunuh diri satu ketika dulu, Jonghyun daripada kumpulan Shinee berjaya meraih jualan sangat tinggi untuk album solonya yang terakhir, Poet Artist yang diterbitkan pada awal tahun 2018 selepas kematiannya dengan kutipan sebanyak 150k unit, menurut Hanteo. Secara keseluruhan, album ini telah mencapai setinggi 235k unit mengikut Gaon.

Poet Artist meninggalkan legasi cukup bersejarah buat Jonghyun dan seringkali mendapat kritikan positif oleh penggiat muzik di Korea di atas penceritaan  tentang kemurungan yang dialaminya selama ini. Poet Artist menghasilkan beberapa lagu menarik seperti Shinin dengan video klipnya dilancarkan untuk paparan umum selepas kematiannya.

7. [Masih dipertikaikan] G-Dragon BigBang – Kwon Ji Yong [2017] (~123k secara keseluruhan setakat ini)

Akhir sekali, G Dragon atau dikenali sebagai Kwon Ji Yong pernah mengeluarkan album solo terakhirnya sebelum beliau menyertai latihan ketenteraan. Pengeluaran album ini yang hanya dalam bentuk USB berbanding fizikal CD telah mencetuskan kontroversi lalu menyebabkan jualannya tak dikira oleh Gaon untuk kedudukan di dalam carta muzik sewaktu album ini memasuki pasaran. Walaubagaimanapun, menurut Hanteo, album ini telah meraih kutipan sejumlah 123k uni menjadikan G Dragon satu-satunya artis keluaran YG yang berjaya berbuat demikian. Jika dibuat perkiraan lebih manpan, Kwon Ji Yong pasti sudah mencecah jualan yang mungkin lebih tinggi daripada catatan yang dikemukakan.

Baca lagi : G Dragon menggegarkan industri muzik dengan album terbaru – “Kwon Ji Yong”

Kwon Ji Yong menghasilkan single ‘Untitled, 2014’ berbentuk balada dengan iringan petikan piano. Tak senasib seperti albumnya, single ‘Untitled, 2014’ tersangat laris dan mencapai jualan sehingga 1.4juta unit, sesuatu yang sangat menakjubkan buat artis Kpop bergelar solo.  ‘Untitled, 2014’ juga pernah mendominasi carta mingguan Gaon untuk seketika.

 

Sumber: Hanteo, Gaon, Naver, Top Stars News