Park Yoo Chun dijatuhkan pergantungan hukuman penjara 10 bulan dan denda 1.4 juta won, selama 2 tahun

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

Park Yoo Chun, bekas ahli kumpulan JYJ telah dijatuhkan pergantungan hukuman 10 bulan penjara dan denda sebanyak 1.4 juta won (~RM4800) selama 2 tahun  oleh mahkamah sebentar tadi di atas kesalahan menyalahguna dadah jenis syabu (methamphetamine). Sekiranya beliau berkelakuan baik di dalam lingkungan dua tahun itu, beliau tak diwajibkan menjalani hukuman berkenaan.

Hakim mahkamah sesyen daerah Suwon, Kim Doo Hong dalam menjatuhkan hukuman berkenaan berkata, “Jenayah berkaitan dadah seharusnya dihukum lebih teruk kerana kesannya yang sangat berbahaya kepada individu dan masyarakat. Kekesalan dan kesalahan pertamanya diambilkira dan sudah cukup sebagai hukuman pergantungan.”

Setelah mendengar keputusan dibacakan oleh mahkamah, Park Yoo Chu terus keluar menundukkan diri sambil disambut dengan tangisan sebilangan peminatnya yang datang dari pelusuk Korea dan juga Jepun. Beliau dilihat mengesatkan air matanya tanda syukur di atas pensabitan hukuman yang diberikan mahkamah.

Sebelum ini, Park Yoo Chun diberkas polis pada 17 Mei lalu setelah didapati membeli 1.5g dadah jenis syabu dan menggunakannya bersama-sama dengan Hwang Hana, bekas tunangnya yang juga merangkap cucu kepada pemilik syarikat Namyang Dairy Products pada enam kejadian antara Februari dan Mac pada tahun ini. Beliau pernah menafikan dakwaan itu dalam satu sidang media tetapi tak mampu lagi untuk menolakkan dakwaan itu setelah polis menjumpai beberapa bukti serta berjaya mengesan positif penggunaan dadah sewaktu menjalani ujian saringan dadah ke atasnya. Akibatnya, Park Yoo Chun telah disingkirkan keluar oleh agensi Cjes Entertainment serta-merta sebagai ahli tetap kumpulan trio JYJ. Selain bergiat aktif menyanyi, beliau merupakan antara pelakon yang berbakat dan sangat dikenali di dalam industri drama korea menerusi drama seperti SBS Rooftop Prince, KBS Sunkyunkwan Scandal, dan SBS The Girl Who Sees Smells.

Sumber: yonhap news , korea herald

loading...