[Siri 22] Keliru dengan Produk “Hydrating” dan “Moisturizing”, apakah beza antaranya?

Pertama sekali, penulis ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, mohon maaf tersilap bahasa mahupun terkasar bahasa. Sempena bulan Syawal yang mulia ini, pasti ramai yang melawat ahli keluarga dan sahabat handai. Dengan cuaca yang tidak menentu, untuk mengelakkan kulit anda “break out” penulis tidak akan menyentuh isu solekan tetapi ingin memberi fokus kepada perapian wajah.

Pernahkah anda mengalami kekeliruan antara “skin care” yang bertulis “hydrating” ataupun “moisturizing? Mitosnya menganggap kedua-dua ini adalah sama. Tidak sama sekali ye wahai pembaca. Walaupun kelihatan hampir sama, kedua-dua ini mempunyai fungsi-fungsi yang berbeza kepada kulit wajah anda.

Hakikatnya, kedua-dua ini mempunyai misi utama untuk memastikan kulit anda memperoleh air yang secukupnya, untuk mengelakkan kekeringan kulit, dehidrasi, tanda-tanda awal penuaan dan pelbagai lagi. Namun apakah yang membezakan antara fungsi “hydrating” dan “moisturizing ini?

Hydration

Produk jenis ini selalunya meningkatkan kandungan air dalam sel kulit dan menyebabkan mereka “swell” dan menjadi lebih “plump” dan “bouncy”. Sekali gus menjadikan kulit anda pejal dan anjal seperti mochi. Produk jenis ini juga akan meningkatkan kebolehan kulit anda untuk memantulkan cahaya dan ia membuatkan kulit anda kelihatan “glowing” “dewy”, dengan kata lain seperti kulit pelakon Kdrama.

Kekurangan air dalam kulit akan meningkatkan lagi tahap dehidrasi yang menyebabkan sel kulit akan menjadi lebih kering dan berkedut. Hasilnya kulit kelihatan lesu dan kusam. Produk jenis “hydration” mengandungi humektan ataupun agen pelembap yang berfungsi untuk menarik kelembapan dalam lapisan kulit dan udara. Agen ini boleh di dapati dalam bahan-bahan seperti Asid Hyaluronik, aloe vera dan Sodium PCA yang akan membantu menyemai sel kulit anda dengan air. Pada masa yang sama,  memperbaiki kemampuan kulit untuk menyerap kelembapan dan nutrien dari produk-produk penjagaan kulit anda.

Moisturizing

Produk jenis ini pula, membantu untuk membina satu lapisan perlindungan untuk mengurangkan kulit dari terus kehilangan air. Dengan kata lain, ia membantu untuk mengelakkan air dari tersejat dan mengurangkan kehilangan air melalui proses transepiderma. Proses ini adalah satu proses natural namun, sekiranya berlaku secara terlampau ia akan mengakibatkan masalah kulit seperti kekeringan, dehidrasi dan juga iritasi pada wajah.

Para penasihat kecantikan sering kali mencadangkan supaya pengguna menggabungkan kedua-dua produk ini untuk mendapatkan kulit yang sihat. Namun, pada pengalaman penulis pula, sesetengah kulit seperti kulit berminyak atau akne, harus berhati-hati dengan produk “hydrating” mahupun produk “moisturizing”. Bukanlah mengatakan pengguna perlu mengelak terus dari kedua-duanya, tetapi lebih kepada memilih produk yang bersesuaian dengan jenis kulit anda.

Munurut KaymanBeauty, keadaan cuaca di Malaysia yang agak panas dan humid ataupun lembap, kebanyakan pengguna sentiasa berpeluh. Oleh itu, mereka menggalakkan pengguna untuk  mencari produk yang berasaskan dari gel ataupun losen yang ringan. Silap hari bulan, wajah anda akan melekit-lekit dan basah serta tidak selesa.  Namun, sekiranya kulit anda sentiasa terdedah kepada keadaan persekitaran yang sejuk dan kering pada masa la seperti di dalam tempat yang mempunyai pendingin hawa seperti di pejabat, anda digalakkan untuk memilih produk yang lebih pekat.

P/S: Kelembapan kulit membantu kulit menyerap lebih banyak nutrien dari produk-produk penjagaan kulit. Tips untuk memperoleh nutrien sepenuhnya dari “sheet mask”, memakai toner terlebih dahulu sebelum meletakkan sheet mask anda. Kulit yang sedia lembap akan menyerap lebih banyak nutrien dari masker berbanding kulit yang kering. Selamat Hari Raya semua.

Sumber: KaymanBeauty