Diugut saman oleh Hyolyn, netizen yang didakwa mangsa bulinya tetap tak mahu berdiam diri

Hyolyn ‘diserang’ sekali lagi oleh netizen yang mendakwa pernah dibuli olehnya pada 15 tahun yang lalu.

Khabarnya, sebaik saja hantaran netizen di laman forum maya Nate Pann itu telah hilang semalam, agensi Hyolyn mengambil tindakan untuk menyaman netizen tersebut setelah mereka dikatakan cuba ‘berunding’ dengan menghubunginya tetapi ditolak permintaan itu kemudiannya.

Namun, netizen itu tampaknya tak mahu berdiam diri walaupun diugut dengan saman. Kali ini, dia meninggalkan komentar terbaru di bawah artikel yang memaparkan tentang kenyataan rasmi bridgʒ berhubung tindakan saman ke atasnya.

“Selepas beberapa jam artikel buli saya diterbitkan, saya terima mesej daripada Kim Hyo Jung (Hyolyn) yang berkata , “Aku dah sampai di lapangan terbang setelah sibuk dengan jadual aktiviti di luar negara… Aku meminta maaf kerana agak lewat hubungi kau . Tak per, aku memang nak jumpa kau dan bercakap dengan kau sekarang… boleh bagi aku nombor telefon?.” Selepas itu, saya tak dengar apa-apa daripadanya. Saya dengar daripada kawan-kawan, dia pernah minta nombor saya, maka saya pun bagi nombor itu dekat instagram nya sendiri. Nate Pann telah menghalang alamat IP saya untuk membuang sebarang hantaran baru. Selepas dia kata nak jumpa dan berbincang, hari ini tiba-tiba pula dia tukar fikiran untuk menyaman tanpa hubungi saya pun lagi.”

bridgʒ belum memberikan apa-apa kenyataan balas terhadap dakwaan baru oleh netizen tersebut setakat awal pagi ini. Sementara itu, pemilik laman web Gallery Ildong telah memutuskan untuk tidak menyokongnya lagi. ” Saya tak mahu lagi dengar lagu-lagunya. Saya dengan ini, mengumumkan Gallery Ildong akan membuang kesemua lagu-lagunya daripada sini.”

Sumber: xsportnews , moneys

loading...