Selama ini Ong Seong Woo ubati kesunyian dengan temui peminat

Dari sebelas orang dan kini berseorangan, Ong Seong Woo tidak menafikan beliau berada di ambang kesunyian yang agak canggung. Malah, di dalam video yang dikongsikan kepada peminat di fan meeting beliau semalam, Ong Seong Woo menunjukkan ruangan kosong di dalam kereta beliau. Ong Seong Woo mengatakan suasana kini amat berbeza dan beliau begitu kesunyian dan merasakan kekosongan dalam jiwa beliau. Namun, Ong Seong Woo beranggapan bahawa peminat beliau yang meletakkan harapan yang tinggi beliau menyebabkan beliau begitu gembira untuk mengadakan fan meeting yang pertama ini. Ong Seong Woo ingin memperlihatkan usaha dan bagaimana beliau begitu gembira mendapat sokongan dan kasih sayang dari peminat yang dikatakan seperti bunga-bunga yang cantik di mata dan hati beliau.

Ong Seong Woo 1st Fan Meeting Eternity telah diadakan pada Sabtu lalu bertarikh 23 Mac 2019. Fan Meeting kali ini dianjurkan oleh Hatchery Co. Ltd dan dihadiri oleh lebih 4000 peminat-peminat Ong Seong Woo dan di antaranya juga Yaya Zahir dan juga Pandelela Rinong. Peminat-peminat antarabangsa dari Thailand, Australia dan juga Amerika Syarikat turut mengambil peluang untuk melihat penyanyi pujaan mereka dari jarak dekat. Peminat meredah panas terik dan kemudian hujan lebat sekitar 4.30 petang untuk melihat Ong Seong Woo. Tidak menghampakan peminat, fan meeting ini bermula pada tepat jam 6 petang seperti yang dijanjikan. Penulis begitu tabik dengan ketepatan waktu dan keselesaan proses masuk ke tempat duduk yang telah di kendalikan dengan penuh cekap oleh pihak penganjur.

Ong Seong Woo, bintang yang menawan ini membuka tirai persembahan beliau dengan memperlihatkan bakat tarian cover dance terhadap lagu Treasure oleh Bruno Mars. Sorakan demi sorakan tidak pernah sunyi sepanjang fan meet ini berlangsung. Peminat begitu berpuas hati dengan layanan istimewa yang diberikan oleh Ong Seong Woo. Ong Seong Woo bukan hanya pandai menari dan menyanyi, beliau juga memperlihatkan sisi comel serta nakal beliau sepanjang majlis berlangsung. Beliau begitu pandai mengambil hati peminat yang begitu bersemangat untuk bertemu beliau.

Sepanjang majlis fan meeting berlangsung, pengacara majlis iaitu Hani Fadzil memberikan satu tablet khas untuk Ong Seong Woo. Beliau memilih 3 aplikasi dan untuk acara pertama beliau memilih aplikasi Ong Talk. Aplikasi ini merupakan satu aplikasi perbualan atas talian dan peminat-peminat memberikan soalan-soalan mereka untuk dijawab oleh Ong Seong Woo. Ong Seong Woo berusaha menjawab semua soalan yang diberikan dengan baik sebagai contoh, apabila peminat bertanyakan mengenai rahsia beliau memiliki wajah yang kacak, beliau mengakui beliau harus berterima kasih kepada ibu bapa beliau yang melahirkan beliau, jurugaya, jurukamera dan peminat belia yang berusaha untuk melihat beliau dalam keadaan yang baik.

Ong Seong Woo mengakui beliau amat menyukai makanan Malaysia seperti laksa, cili kerang, mee goreng, sate dan makanan jalanan ataupun street food. Beliau juga mengakui sanggup ke hutan di Sabah sekali lagi sekiranya disediakan makanan-makanan tempatan yang enak. Ong Seong Woo sempat bergurau dengan peminat, apabila bertanya sekiranya mereka mempunyai masa lapang selepas fan meeting tamat untuk keluar makan bersama.

Apabila ditanyakan mengenai rahsia memiliki suara yang menarik dan seksi, Ong Seong Woo mengatakan beliau hanya memberikan yang terbaik buat peminat. Hani turut menyampaikan soalan dari peminat mengenai kebaikan dan kekurangan menjadi penyanyi solo pula, Ong Seong Woo mengatakan kebaikan lebih kepada peluang untuk karier beliau dan kekurangannya adalah kesunyian beliau, tetapi kesunyian ini diubati oleh kehadiran peminat-peminat beliau. Pelbagai lagi soalan yang ditanya sebagai contoh matlamat beliau, bakat lain dimiliki dan sebagainya lagi. Kesemuanya semuanya dijawab dengan ikhlas oleh Ong Seong Woo di samping pelbagai kecomelan yang ditampilkan oleh beliau. Beliau kelihatan begitu bersahaja tanpa dipaksa ataupun dibuat-buat.

Aktiviti kedua, Ong Seoung Woo memilih aplikasi OngStagram. Aktiviti ini beliau perlu memberitahu peminat makna di sebalik gambar-gambar yang pernah dimuat naik oleh beliau. Lebih kurang 12 keping gambar diperlihatkan dan beliau mengambil masa menjelaskan satu demi satu kenapa gambar tersebut diambil dan apakah perasaan beliau ketika gambar itu di ambil. Beliau turut menjelaskan beliau sering memuat naik gambar di dalam kereta kerana ini memberitahu kepada peminat beliau mengenai aktiviti beliau. Di akhir aktiviti ini, beliau mengeluarkan 5 keping gambar untuk dihadiahkan kepada peminat-peminat bertuah. Peminat bertuah akan dipilih melalui proses cabutan bertuah yang diumumkan oleh Ong Seong Woo sendiri.

Aktiviti seterusnya, Ong Seong Woo memilih aplikasi 360 Ong Play Music. Yang memperlihatkan senarai muzik peribadi beliau dan salah satunya adalah medley lagu-lagu Wanna One. Beliau cuba memenuhi permintaan peminat untuk beliau menari lagu-lagu medley Wanna One. Ong Seong Woo akui bahawa pengalaman ini membuatkan beliau terasa nostalgia menari tanpa teman-temanya.

Selepas aktiviti ketiga, beliau mengambil masa untuk berehat buat seketika, tetapi peminat tidak dibiarkan bersendirian walaupun sekejap. Peminat di tayangkan satu video khas dari Ong Seong Woo. Video ini memaparkan beliau berseorangan di dalam kereta, kesunyian dan ingin pergi ke Gym untuk mempersiapkan diri setelah berjaya mendapat watak utama di dalam satu drama berkonsepkan kisah remaja. Selain itu, Ong Seong Woo turut berkongsikan rakaman-rakaman beliau bekerja di Jepun sebagai model.

Ong Seong Woo kembali ke pentas dengan memakai sepasang suit kelabu dan menawan hati peminat dengan menyanyikan sebuah lagu balada berjudul Please. Kemudiannya, sesi fan meeting ini bersambung dengan permainan mesin Claw yang begitu popular di dalam drama-drama Korea. Ong Seong Woo berjaya memperoleh tiga soft toys. Hadiah-hadiah ini kemudianya diberikan kepada peminat namun, telah dicium dan di tanda tangan oleh Ong Seong Woo terlebih dahulu.

Permainan seterusnya, beliau perlu memilih satu daripada lima Caramel  Machiato yang disediakan, dan perlu mengekalkan wajah yang serius. Kemudiannya, beliau cuba menyanyikan lagu Rasa Sayang tanpa melihat kepada lirik. Ong Seong Woo berjaya menyanyikan lagu Rasa Sayang dengan begitu baik tanpa melihat skrip dengan bantuan dan tunjuk ajar dari peminat dan Hani. Ong Seong Woo memuji peminat-peminat kerana menyanyi dengan begitu baik sekali. Hani kemudiannya mengajar Ong Seong Woo makna sayang dan menjelaskan di Malaysia Sayang awak itu bermakna Saranghae.  Ong Seong Woo mengucapkan sayang awak kepada peminat-peminat.

Satu video khas di sediakan oleh peminat Malaysia telah ditayangkan kepada Ong Seong Woo, di hujung video itu, peminat memohon Ong Seong Woo untuk toleh ke belakang dan melihat peminat memegang kad ucapan kata-kata semangat yang ditujukan kepada beliau. Ong Seong Woo kelihatan begitu terharu dengan video dan perbuatan peminat itu. Beliau menjelaskan dalam hidup akan sentiasa ada waktu seolah-olah hujan, angin dan hari yang tidak baik yang memberi representasi kepada halangan dalam kehidupan beliau. Namun, kemunculan peminat seperti bunga-bunga yang cantik menceriakan kembali hidup beliau. Beliau menjelaskan bahawa beliau amat bersyukur dan mengucapkan Saranghanda kepada peminat-peminat beliau.

Peminat diminta menyalakan glow stick masing-masing sempena lagu kedua yang akan di nyanyikan oleh Ong Seong Woo yang berjudul Love This Moment untuk menutup tirai persembahan beliau. Beliau keluar sekali lagi untuk persembahan encore cover dance Encore sebelum kembali ke belakang pentas. Fan Meeting kali ini merupakan lokasi kedua yang mana lokasi pertama adalah di Bangkok dan akan berakhir di Singapura pada bulan April nanti. Peminat diberi peluang untuk bersama Ong Seong Woo selama lebih dari 2 jam malah, kerana sayangnya osw kepada peminat, beliau sanggup menunggu untuk bertemu dengan setiap peminat yang hadir. Di hujung fan meeting, Hani selaku pengacara majlis membuat pengumuman bahawa, semua peminat yang hadir di fan meet tersebut berpeluang untuk Hi-Touch bersama Ong Seong Woo.

Tanpa sebarang keraguan, fan meeting ini berlangsung dengan jayanya untuk kedua-dua pihak Ong Seong Woo dan tentu sekali sebuah kenangan terindah buat para peminat. Semoga selepas ini, peminat akan sentiasa menyokong Ong Seong Woo tanpa mengira hari indah ataupun di kala hari hujan atau panas terik. Eternity Love for Ong Seong Woo.

loading...