[Siri 2] Seminggu Bersama Produk Kosmetik Dari Pure Theory

Rangkaian Produk Kecantikan Dari Pure Theory

Bersempena dengan pelancaran buku oleh HyunminA pada 20 Oktober lepas, penulis berpeluang berkenalan dengan beberapa wakil dari produk kecantikan Pure Theory Cosmetics. Mereka mengisytiharkan produk keluaran mereka sebagai bebas paraben iaitu sejenis bahan kimia, bebas alkohol dan tidak melakukan percubaan ke atas haiwan. Rangkaian kosmetik terbaru dari Korea Selatan ini berjaya menawan hati penulis untuk mencuba. Hari ini penulis ingin berkongsi pengalaman penulis menggunakan produk-produk Pure Theory ini selama seminggu.

Yang pertama, paling unik bagi penulis adalah Sun Cushion jenama Pure Therory ini. Secara amnya, kelihatan seperti BB Cushion normal, tetapi cukup berbeza dengan BB cushion yang pernah penulis gunakan. Ia sebenarnya merupakan satu cushion berformula ringan yang berfungsi sebagai pelindung sinaran matahari SPF50 ++. Pada masa yang sama, ia juga mempunyai corrector yang boleh membaiki tona kulit supaya kelihatan lebih sekata sambil melindungi kulit anda dari sinaran UVA dan UVB yang merbahaya.

Sun Cushion ini berfungsi untuk mengekalkan kelembapan kulit pengguna. Dengan formula yang ringan, ia begitu senang di pakai, mudah menyerap dan blend in dengan kulit anda. Wakil produk ini turut menerangkan bagaimana ia sesuai untuk semua jenis kulit termasuk kulit sensitif dan mempunyai empat (4) jenis corrector. Pertamanya adalah rona merah jambu untuk menghasilkan warna kulit yang lebih sihat serta mengurangkan kesan-kesan lingkaran gelap pada wajah anda.

Pure Theory Sun Cushion Kod nombor 2 Mint

Rona kedua (pilihan penulis) adalah warna Mint, yang berfungsi untuk mengekalkan kelembapan kulit di samping melindungi kulit dari sinaran cahaya matahari dan pada masa yang sama, mengurangkan cela-cela kemerahan-merahan pada wajah. Penulis seorang yang banyak meluangkan masa di bawah sinaran matahari yang terik, oleh itu, penulis memilih untuk menggunakan warna mint. Selain daripada dua ini, terdapat juga dua warna lagi iaitu warna putih dan warna lavender yang memiliki fungsi yang berbeza-beza. 

Mengikut penerangan wakil produk ini, sun cushion ini selalunya dipakai sebelum mengenakan solekan penuh atau dengan kata lain sebagai satu primer. Namun, secara peribadi penulis tidak berapa gemarkan memakai solekan yang berlapis-lapis dan tebal. Bagi penulis, sudah memadai untuk hanya memakai sun cushion ini dan kemudiannya ditambah dengan olesan nipis concealer dan bedak alas. Hasilnya, walaupun penulis tidak mendapatkan waktu tidur yang mencukupi, wajah penulis kelihatan segar. Instant pick me up pada waktu pagi.

Walaupun formula ringan dan nipis, solekan penulis mampu bertahan untuk jangka masa yang lama walaupun penulis sibuk dengan aktiviti harian di bawah panas terik. Ia diibaratkan seolah-olah penulis memakai foundation. Di sini, penulis ingin mengingatkan kepada mereka yang ingin mencuba sun cushion, jangan takut dengan warna-warna sun cushion ini, ia akan menghilang sejurus anda ratakan di wajah anda dan akan menghasilkan satu natural glow.

Pure Theory Long Lasting Eyebrow Pencil

Penulis turut berpeluang untuk mencuba rangkaian pensel kening dari Pure Theory yang memiliki dua warna iaitu Dark Brown dan Medium Brown. Walaupun rakyat Malaysia rata-ratanya memiliki rambut dan kening berwarna hitam, tetapi penulis tidak boleh memakai pensel kening berwarna hitam kerana ia akan membuatkan penulis kelihatan seperti watak anime Jepun, Shin Chan. Oleh itu, penulis menggunakan warna coklat gelap, agar ia kelihatan lebih natural dan asli. Bersesuaian dengan namanya iaitu, ‘Pure Theory Long Lasting Eyebrow Pencil’, berbentuk segi tiga, nipis di bahagian atas dan tebal di bawah, menjadikannya begitu mudah dipakai dan kekal lama. Penulis tidak perlu membaiki atau menambah sepanjang pemakaian. Untuk satu pensel yang berharga RM24, ia begitu berbaloi.

Penulis juga merupakan seorang yang amat menggemari gincu. Bagi penulis gincu itu, boleh di gunakan dengan beberapa cara dan bukan hanya untuk dioleskan di bibir sahaja. Sebagai contoh, penulis mencuba tiga (3) jenis gincu dari Pure Theory iaitu Peach Livid dari rangkaian Semi Matte Lipstick, Brash dari rangkaian Creamy Lipstick dan yang terakhir adalah My Absolute Lip Gloss. Walaupun ketiga-tiganya begitu berbeza, ia boleh digabungkan dalam satu pemakaian untuk menghasilkan the Korean Gradient Lips Look.

Gincu Pure Theory Semi Matte kod Peaching Livid

Sedikit penerangan mengenai rangkaian gincu dari Pure Theory – rangkaian semi matte yang  memiliki dua belas warna dari warna ungu ke merah jambu dan Nude. Sebelum ini, agak susah untuk mendapatkan warna Nude yang bersesuaian dengan tona wajah Melayu penulis namun, di bawah rangkaian ini penulis berjaya menemui ‘The Perfect Nude Colour’ untuk tona wajah Melayu dengan bantuan wakil dari Pure Theory. Rangkaian semi matte ini sangat berpigmen dan mempunyai bahan-bahan seperti minyak Kastor, minyak Argan, Shea Butter, Minyak Macadamia, minyak Jojoba dan juga minyak bunga matahari untuk memastikan kelembapan bibir pengguna serta mengekal bibir dalam keadaan yang sihat.

Gincu Pure Theory Creamy kod Brash

Berbeza dengan rangkaian semi matte, rangkaian  Creamy Lipstick memiliki barisan warna-warna cerah dan ceria. Dari warna oren ke merah, rangkaian ini lengkap dengan tiga belas warna yang sudah pasti akan menceriakan hari anda. Apa yang paling penulis suka dengan gincu ini adalah, disebabkan teksturnya bersifat creamy itu, penulis juga boleh menggunakannya  sebagai cream blusher dan kelihatan seperti memiliki natural glow yang di idamkan oleh penulis selama ini.

Pure Theory Lip Gloss My Absolute

Bagi yang ingin tahu mengenai Lip Gloss keluaran Pure Theory Cosmetic, secara umumnya ia kelihatan hampir sama dengan Lip Gloss keluaran Fenty. Cuma perbezaan yang jelas setelah menggunakannya, penulis lebih menyukai ‘My Absolute Lip Gloss’ ini. Ini adalah disebabkan oleh teksturnya lebih ringan dan kurang melekit. Hasilnya penulis lebih selesa dan merasakan seolah-olah tidak memakai lip gloss dan bibir  kekal lembut walaupun memakai tiga lapisan gincu.

Secara peribadinya, penulis amat gembira dan berpuas hati dengan pengalaman selama seminggu menggunakan produk Pure Theory ini. Bagi penulis, rangkaian ini bukan hanya cantik, lembut, simple tetapi juga lebih mesra poket dengan harga yang mampu milik. Bagi yang berminat bolehlah ke laman web rasmi Pure Theory  ataupun mendapatkannya di Aeon Wellness serta melalui aplikasi Honestbee yang menjanjikan hanya dua jam waktu penghantaran. Target penulis seterusnya, tentulah sun cushion berwarna merah jambu untuk menyembunyikan semua bukti-bukti penulis tidak mendapat tidur yang cukup sepanjang bulan ini!

Kepada anda yang masih belum membaca kupasan pertama penulis tentang Misteri di sebalik kecantikan selebriti Korea yang putih berseri, boleh  membacanya di SINI. Nantikan kupasan penulis selanjutnya berkaitan K-Beauty selepas ini. Buat anda yang gemar mencuba sesuatu yang baru, selamat mencuba!

loading...