Yoo Seung Ho sanggup dituduh samseng sekolah kerana Jo Bo Ah di dalam SBS Revenge is Back ?

Produksi SBS sedang merancang untuk menerbitkan drama siri terbaru menggandingkan Yoo Seung Ho dan Jo Bo Ah bersama berjudul ‘Bok Soo’s Return’ atau dikenali sebagai ‘Revenge is Back’.  Yoo Seung Ho telah pun mengesahkan penglibatannya di dalam ini semalam manakala Jo Bo Ah  pula masih lagi sedang menimbang tawaran diberikan kepadanya.

Yoo Seung Ho akan memegang watak bernama Kang Bok Soo yang agak panas baran tetapi sangat setia pada cinta. Kerana mahu mempertahankan cinta pertamanya terhadap Son Soo Jung (dikatakan bakal dilakonkan oleh Jo Bo Ah) , dia membiarkan dirinya dituduh sebagai samseng sekolah kerana telah menyebabkan kecederaan kepada pelajar lelaki bernama Oh Se Ho. Akibat daripada itu, Kang Bok Soo dihukum buang sekolah.

Setelah beberapa bulan kemudian, Kang Bok Soo kembali ke sekolah itu semula dengan harapan untuk membalas dendam terhadap kedua-duanya dan menegakkan balik ketidakadilan yang berlaku pada dirinya sebelum ini. Tetapi, dengan tak semena-mena , Kang Bok Soo sekali lagi berhadapan dengan sesuatu peristiwa yang tak dijangkakan yang akhirnya telah mengubah anggapannya terhadap Son Soo Jung. Apakah yang menyebabkan Kang Bok Soo berubah hati dan mencintai Son Soo Jung sekali lagi?

Ini ialah drama pertama Yoo Seung Ho selepas MBC I am Not Robot yang digandingkan bersama Chae So Bin dan juga merupakan drama pertama Jo Bo Ah sebagai peneraju utama drama bertemakan romantis. Sebelum ini, Jo Bo Ah hanya memegang watak pembantu terutamanya di dalam SBS Temperature of Love, sebagai seorang gadis yang kurang matang yang mendambakan cinta. Pemilihan Jo Bo Ah mungkin bersesuaian Son Soo Jung yang tampak licik tetapi sebenarnya seorang yang naif dan mudah diolok-olokkan kerana cinta. Semestinya Yoo Seung Ho sebagai Kang Bok Soo akan mengingatkan anda kepada lakonan air matanya yang penuh dengan dendam di dalam SBS Remember.

SBS Revenge is Back digarap oleh Kim Yoon Young , seorang penulis maknae dan bakal diarahkan oleh PD Ham Joo Ho yang dikenali dengan drama SBS Greasy Melo. Revenge is Back dijangka mendapat slot tayangan Isnin-Selasa mulai Februari 2019 depan selepas SBS Fox Bride Star selesai disiarkan.

Sumber: OSEN , newsen1 , newsen2

loading...