Anda kena tahu 5 tempat menarik yang telah diterokai Law Of The Jungle edisi Sabah

Korang peminat setia rancangan “Law Of The Jungle”?  “Law of the Jungle” ialah sebuah rancangan dokumentari realiti dari Korea Selatan yang disiarkan di SBS. Setiap episod menampilkan selebriti yang dihantar untuk bertahan(survive) di lokasi terpencil di seluruh dunia. Pelawak Korea Selatan, Kim Byung-man telah  mencipta Undang-undang Jungle Kim Byung-man (Kim Byung-man’s Law of the Jungle) pada tahun 2011. Kim Byung Man adalah peserta tetap rancangan ini kecuali edisi di Fiji di mana pelawak ini tidak menyertainya ekoran tercedera ketika aktiviti skydiving di Amerika Syarikat.

Setiap episod, selebriti Korea termasuk pelakon dan idol K-pop, menyertainya ke lokasi terpencil di seluruh dunia untuk mengalami sendiri kehidupan di alam semula jadi. Di setiap lokasi, tetamu ditugaskan untuk memburu, menyediakan makanan, dan membuat tempat tinggal.

Untuk edisi terbaru, para peserta dan tenaga produksi Law Of The Jungle telah membuat penggambaran di negeri Sabah. Antara jemputan yang akan turut menyertai Kim Byung Man adalah  Ong Seong Woo dan Ha Sung Woon dari Wanna One, Eric Mun, Lee Min Woo dan Andy Lee dari Shinhwa, Tony Ahn dari HOT, Kim Nam Joo dari Apink, Lee Da Hee, Yoon Shi Yoon, Sung Hoon, Kangnam , Park Sol Mi, Park Jung Chul, Jang Dong Yoon dan Park Sung Kwang.

Penggambaran rancangan ini yang dibuat dibeberapa lokasi yang terpencil di Sabah menjadikan lokasi tersebut satu misteri kepada seluruh dunia. Begitupun, lokasi penggambaran “Law Of The Jungle” kini bukan lagi rahsia kepada para pelancong yang gemar menerokai keindahan alam.

Jom kami kongsikan 5 tempat menarik ini yang terletak di negeri bawah bayu, Sabah.

1.Maliau Basin

Ia pernah digelar ‘The Lost World’. Semuanya disebabkan misteri alam semula jadi yang dianggarkan berusia jutaan tahun yang masih belum terungkai sehingga kini. Meliputi keseluruhan kawasan seluas 588.4 kilometer persegi, kawasan hutan ini disempadani oleh tebing yang menjangkau ketinggian 1,675 meter dari atas laut.

Maliau Basin yang mendapat namanya daripada besen Maliau ataupun Lembangan Maliau kerana dikatakan kawasannya berbentuk sebuah besen, ia menjadi syurga kepada pencinta flora dan fauna di seluruh dunia. Maliau itu sendiri membawa maksud kelam dalam bahasa kaum Murut merujuk kepada air Sungai Maliau yang berwarna gelap berikutan keadaan fosil batuannya.

Pada tahun 1997, kerajaan Sabah mewartakan lembah sungai itu sebagai kawasan Hutan Simpan Dilindungi (Kelas 1) iaitu ia tidak boleh diteroka pada masa kini dan masa depan. Maliau Basin ini menjadi syurga kepada para penyelidik dan pencinta flora dan fauna.

Dianggarkan terdapat lebih daripada 1600 spesis tumbuhan di Maliau Basin yang terdiri daripada 9 spesis tumbuhan periuk kera, 440 spesis pokok dan 80 spesis bunga orkid. Bagi fauna, terdapat 69 spesis mamalia, 290 spesis burung dan lebih daripada 35 spesis amfibia telah direkodkan.  Satu spesis bunga Rafflesia tengku adlinii yang jarang ditemui juga hidup disini. Selain itu, badak sumbu Sumatera, orang utan, monyet proboscis, harimau dahan, beruang Malaya dan gajah paling kecil di dunia – borneo pygmy elephant adalah antara spesies haiwan yang boleh ditemui di situ.

 

Satu lagi keistimewaan lembangan itu adalah kawasan tadahan airnya yang besar yang dialir dari Sungai Maliau sebelum berakhir di Sungai Kinabatangan. Maliau Basin juga merupakan kawasan paling banyak air terjun di negara ini. Sehingga kini lebih 40 buah air terjun telah ditemui termasuk yang paling terkenal iaitu air terjun tujuh tingkat setinggi 28 meter terletak di Sungai Maliau. Bagaimanapun, perlu diingat akses komunikasi dan keselamatan amatlah terhad. Anda perlu mendapatkan maklumat lanjut mengenai Maliau Basin kepada pihak berkaitan terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan anda. Yang pasti lokasi ini menjadi pilihan buat pengunjung yang gemarkan meneroka kehidupan di tengah-tengah hutan belantara yang masih belum terusik sepenuhnya.

2. Gunung Trusmadi

 

Gunung Trusmadi adalah gunung kedua tertinggi di Sabah, kira-kira 2.64m di atas paras laut. Walau bagaimanapun, laluan ke puncak itu terbukti lebih mencabar daripada Gunung Kinabalu, puncak tertinggi di Malaysia.

Kredit Photo Sunrise Odyssey

Para pendaki perlu memanjat batu-batu curam yang kebanyakannya menegak, dan dengan bantuan tali pada masa-masa tertentu. Mereka juga perlu peka dengan persekitaran mereka kerana terdapat batang dan cabang pokok yang jatuh di sepanjang jalan. Dengan pelbagai flora dan fauna, kawasan ini pasti menjanjikan pengalaman meneroka alam semula jadi yang sangat bernilai buat para pengembara.

3. Crocker Range Park / Taman Banjaran Crocker

Taman Banjaran Crocker di Sabah, Malaysia memiliki keluasan 110 kilometer panjang dan 15 kilometer lebar. Ia menjadi salah satu hutan simpan di bawah Jabatan Perhutanan Sabah pada 1969 sebelum diwartakan pada 1984. Taman Banjaran Crocker juga disenarai di bawah Program MAB, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO). Ia juga nerupakan tadahan air untuk kawasan pantai barat Sabah.

Taman Banjaran Crocker  merupakan kawasan terpelihara, menjadi tumpuan pencinta alam dan mempunyai biodiversiti yang kaya dengan pelbagai jenis flora. Dari hutan rendah tropika dan hutan dipterocarp ke hutan di atas gunung, para pelawat berpeluang melihat banyak hidupan liar tropika yang jarang ditemui di luar Borneo. Anda boleh memilih dari pelbagai pakej bermalam yang termasuk ekspedisi Salt Trail, mendaki Gunung Alab dan penginapan desa tradisional Dusun. Crocker Range Park juga merupakan destinasi utama bagi peminat burung untuk melihat burung endemik Borneo seperti Bristelhead Borneo dan Magpie Black Borneo.

4. Danum Valley / Lembah Danum

 

Lembah Danum terletak jauh di dalam hutan hujan tropika dara di Sabah dan merupakan Hutan Dipterokarp Pamah. Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum yang berkeluasan 43 800 hektar (438 km persegi) ini adalah Hutan Simpan Kelas 1 di bawah Kawasan Pengurusan Hutan Yayasan Sabah.

Dianggap sebagai ekosistem yang paling kompleks di dunia, Lembah Danum berfungsi sebagai rumah kepada lebih daripada 500 spesies mamalia, burung, reptilia, dan amfibia yang hidup di sini. Pelancong tidak hanya berpeluang untuk meneroka tapak kuburan Kadazandusun purba dengan keranda belian dan balang semangat seramik, mereka juga berpeluang untuk melihat salah satu permandangan matahari terbit terbaik di Borneo dari puncak Bukit Atur, serta tidur di atas buaian berdekatan dengan air terjun.

Aktiviti di Lembah Danum pastinya tidak lengkap jika tidak mencuba berjalan di atas titi gantung sepanjang 100 meter di atas pokok yang mencecah ketinggian 40 meter di hutan itu.  Bagi yang gayat, pastinya pemandangan dari atas titi gantung mampu melupakan seketika kerisauan berada di tempat tinggi. Perjalanan di titi gantung itu bermula pada ketinggian 35 meter merentasi Sungai Danum pada jarak 50 meter pertama dan ketinggian titi gantung itu meningkat kepada 40 meter pada laluan 50 meter kedua yang membolehkan pengunjung melihat dengan lebih dekat Hutan Simpan Segama Malua.

5. Orou Sapulot

 

`Orou’ bermaksud matahari dalam bahasa Murut yang merupakan kaum ketiga terbesar di Sabah. Berada di Orou Sapulot, pengunjung akan disajikan dengan pemandangan hijau hutan serta kepelbagaian flora dan fauna.

Di Orou Sapulot, anda akan merasai pengalaman serta  diberi layanan terbaik untuk mempelajari cara hidup dan budaya orang Murut. Antaranya seperti meminum wain beras dari balang seramik yang besar dan mendengar cerita mengenai nenek moyang mereka tanpa henti.

Bagi mereka yang ingin menikmati pengembaraan epik, anda boleh mendaki puncak batu kapur setinggi 800 kaki yang juga dikenali sebagai Batu Punggul. Anda juga boleh meneroka gua-gua yang penuh misteri, atau berehat di atas buaian.

Bukan itu sahaja, anda juga boleh menikmati makanan tradisional orang Murut dan menyusuri sungai untuk melihat keindahan alam dengan menaiki bot panjang tradisonal.

Melihatkan kepada lima tempat-tempat menarik di atas yang menjadi destinasi pilihan Law Of The Jungle di Sabah, kami pasti ianya tidak akan mengecewakan anda. Mungkin anda boleh merasai pengalam meneroka tempat-tempat ini dengan sendiri suatu hari nanti.

Apapun, jangan lupa saksikan tayangan perdana Law Of The Jungle in Sabah pada 31 Julai (setiap Selasa) jam 11 malam hanya di ONE HD Ch 393.

Sumber : Maliau Basin, Taman Banjaran Crocker, Lembah Danum, Orou Sapulot