11 Sebab kenapa drama Melayu Mona Lisa MESTI ditonton

Peminat Kdrama khususnya peminat drama harian, pastinya mengikuti drama bersiri popular SBS –The Women’s Room. Drama sepanjang 119 episode mula ditayangkan pada 5 Ogos 2013 sehingga 17 Januari 2014 ini dibarisi oleh  Park Eun Hye, Wang Bit Na, Kang Ji Sub, Kang Kyung-Joon serta ramai lagi. Lakonan cemerlang Wang Bit-Na  juga pernah diangkat menerusi kategori ‘Excellence Award’ untuk ‘Full-Length Drama’ di SBS Drama Awards 2013.

Jika anda mengikuti drama The Women’s Room, anda berpeluang menonton drama Mona Lisa yang diadaptasi dari karya drama asal. Seperti The Women’s Room, Mona Lisa juga adalah sebuah naskah melodrama yang memaparkan kisah konflik perhubungan yang didorong perasaan khianat dan dengki demi mengecapi kebahagiaan. Mereka melakukan apa sahaja demi menggapai kemahuan sehingga sanggup merampas hak orang lain.

Mona Lisa diterajui oleh pelakon hebat seperti Zara Zya, Nazim Othman, Hafreez Adam dan pendatang baru Mona Allen. Drama ini juga turut dibintangi oleh Iman Suhana, Roy Azman, Laila Nasir, Amyza Adnan, Elmy Moin serta ramai lagi. Drama ini yang berdurasi selama 60 minit akan bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat untuk 80 episode menerusi slot Tiara secara eksklusif di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).

Baca juga : Nazim Othman akan menjadi Kang Ji Sub dalam drama melayu adaptasi korea, SBS The Women’s Room?

Sebagai tambahan, Mona Lisa bukanlah drama adaptasi pertama yng disiarkan Astro Prima. Sebelum ini beberapa drama adaptasi telah menerima sambutan positif seperti ‘Lara Aishah’ yang diadaptasi daripada siri telenovela Mexico popular ‘La Loba’, ‘Papa Ricky’ daripada siri ‘Papi Ricky’ (Chile), ‘DendamAurora’ daripada siri telenovela ‘Tuscan Passion’ (Itali) dan ‘Syurga Yang Kedua’ (Indonesia).

Sinopsis Mona Lisa

Drama ‘Mona Lisa’ mengisahkan tentang Melisa (lakonan Zara Zya) yang digambarkan mempunyai kehidupan sempurna dan memiliki segala-galanya. Melisa juga merupakan pewaris kepada perniagaan hotel mewah yang dimiliki oleh keluarganya. Keperibadian Melisa cukup disenangi ramai dan memiliki teman lelaki bernama Johan (lakonan Nazim Othman) yang amat menyayanginya. Walau bagaimanapun, perkenalannya dengan Ramona (lakonan Mona Allen) mengubah segalanya.

Layanan baik Melisa terhadap Ramona yang bersimpati dengannya dibalas dengan tuba. Ramona rupanya dalam diam cemburu dengan kehidupan yang Melisa miliki lalu berazam untuk merampas kebahagiaan tersebut demi kepuasan hati. Segala yang Melisa miliki daripada segi kedudukan, reputasi harta dan cinta semuanya dirampas oleh Ramona. Namun, Melisa tekad untuk mengambilnya semula!

https://www.youtube.com/embed/GSRVzIXNVSs

Apa kata wakil ASTRO

Realiti yang berlaku hari ini, gelombang fenomena terhadap ‘K-wave’ yang meliputi drama, muzik dan fesyen sudahpun menguasai tembok pasaran dunia. Di kalangan peminat hiburan di Malaysia khususnya, ketaksuban terhadap drama Korea atau istilah lebih tepat, K-drama serta muzik K-pop ini bermula lebih sedekad yang lalu dengan pengaruh besar drama Korea, ‘Winter Sonata’ sekitar tahun 2002 yang masih menjadi sebutan ramai sehingga hari ini.

Bukan setakat menonton, penonton juga turut menjiwai dan menangis kerana meratapi nasib watak dalam drama tersebut yang mengisahkan pengorbanan dan kehebatan kuasa 2 cinta. Ini membuktikan bahasa bukan penghalang untuk menarik perhatian penonton dari seluruh dunia asal sahaja pengisian tersebut berkualiti dengan naratif penceritaan yang menarik.

Manakala trend menghasilkan drama adaptasi berdasarkan novel dan naskah popular dari luar negara di platform Astro pula sudahpun terbukti keberkesanannya berdasarkan pelbagai karya adaptasi yang pernah diterbitkan sebelum ini. Mengambil kira impak besar faktor-faktor ini yang sememangnya diakui memainkan peranan yang signifikan dalam industri penerbitan drama televisyen, Astro sebagai peneraju kandungan hiburan tanah air ingin meneruskan gelombang fenomena K-wave menerusi penerbitan drama adaptasi ‘Mona Lisa’ yang dipilih berdasarkan kecemerlangan naskah asal di Korea.

Raqim Ahmad, Ketua Saluran Melayu Astro

Sedikit Trivia drama Mona Lisa

  1.  Karya adaptasi terbitan pihak Astro dengan kerjasama produksi Radius One ini diarahkan oleh sutradara Shahrul Ezad Mohameddin. Beliau turut dibantu oleh Uchee Fukada selaku Pengarah Bersama.
  2. Lokasi utama penggambaran drama ‘Mona Lisa’ telah dijalankan di sekitar Putrajaya, Cyberjaya dan Lembah Klang serta mengambil masa hampir tujuh bulan untuk diselesaikan.
  3. Sebahagian besar penggambaran turut dibuat di Hotel Pullman Putrajaya yang juga merupakan Penaja Lokasi drama ‘Mona Lisa’.
  4. Tajuk drama ‘Mona Lisa’ ini dipilih berdasarkan nama hotel yang digunakan dalam naskah asal ‘The Women’s Room’.
  5.  Walaupun diadaptasi dari negara luar, plot penceritaan drama ‘Mona Lisa’ telah diolah semula mengikut kesesuaian jalan cerita dan adam resam masyarakat tempatan agar tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. Namun jalan cerita naskah asal masih dikekalkan.
  6. Antara cabaran besar untuk mengadaptasi drama ‘Mona Lisa’ ialah proses memindahkan naskah asal menjadi sebuah interpretasi baharu tanpa menyalin bulat-bulat karya asal.
  7. Naskah asal ‘The Women’s Room’ mempunyai 119 buah episod. Cabaran terbesar ialah mengadaptasikannya kepada 80 buah episod untuk drama ‘Mona Lisa’.
  8.  Sedikit berbeza dengan kebiasaan drama yang sering menampilkan watak hero dan heroin sebagai teraju utama, ‘Mona Lisa’ pula memberi kelainan dengan mempertaruhkan dua pelakon wanita iaitu Zara Zya dan pendatang baharu, Mona Allen
  9.  Kesemua barisan pelakon yang dipilih untuk menjayakan drama ini juga adalah berdasarkan kesesuaian watak untuk memastikan lakonan yang berkesan.
  10.  Lagu runut bunyi dan video muzik istimewa terbitan Hype Beat Sdn Bhd untuk drama ‘Mona Lisa’ berjudul ‘Esok Masih Ada’ ciptaan Akil Hyper Act dan lirik oleh Frozen dinyanyikan oleh artis muda kelahiran Singapura, Hannah Delisha yang mula dikenali menerusi drama Mencintaimu Mr Photographer.
  11.  Manakala lagu ‘Luluh’ ciptaan & lirik sendiri oleh penyanyi Khai Bahar serta ‘Di Sini’ nyanyian Idayu ciptaan Farouk Abd Razak & lirik oleh Amylea Azizan pula turut ditampilkan sebagai lagu sisipan dalam drama ini.

Pandangan peribadi penulis

Saya pernah menonton drama The Women’s Room ini sebanyak dua kali. Pada sesiapa yang tidak meminati drama panjang, pastinya drama ini membosankan. 119 episode, bukanlah seperti drama Korea yang biasa.

link : https://www.youtube.com/embed/hSCHy0OBBhU

The Women’s Room penuh dengan pelbagai konflik yang seringkali berlaku dalam masyarakat kita. Ianya terjadi apabila seseorang itu didorong perasaan khianat dan dengki demi mengecapi kebahagiaan. Semuanya bermula apabila Eun Hee Soo mempersoalkan betapa bertuahnya hidup Min Kyung Chae yang memiliki segalanya sedangkan dia tidak punya aa-apa. Dari hubungan seorang kawan kepada rakan sekerja, sifat tamak Eun Hee Soo mengatasi semuanya. Dia sanggup mengkhianati sebuah persahabatan untuk kepentingan diri sendiri sehingga tercetusnya pelbagai konflik.

 

Menerusi drama ini, penonton di bawa kepada empat bahagian. Bahagian pertama menceritakan bagaimana seseorang polos (Eun Hee Soo) boleh mewujudkan perasaan tamak haloba, iri hati untuk menjadi orang yang berkuasa dan berharta. Dengan penuh kepura-puraan dia sanggup khianati Kyung Chae dengan cuba merampas apa yang Kyung Chae miliki. Penonton boleh saksikan betapa kejamnya Hee Soo demi cita-citanya.

Bahagian kedua, penonton akan disajikan dengan kejatuhan Kyung Chae, adik dan ayahnya sehingga beliau diberhentikan dari hotel Mewah Mona Lisa. Hidup mereka tidak ubah seperti papa kedana apabila rumah mereka juga telah dijual dan mereka tidak punya wang. Bagaimana, seseorang dari pernah memiliki segalanya  terpaksa memulakan kehidupan dari mula. Inilah cabaran yang dihadapi Kyung Chae demi kelangsungan hidupnya. Sedangkan Hee Soo, bergembira menyaksikan musuhnya tewas. Kyung Chae mula hilang semangat juangnya.

 

Bahagian ketiga pula, Kyung Chae mula bangkit untuk mendapatkan kembali haknya apabila kebenaran semakin tersingkap. Kyung Chae bersedia menghadapi apa yang datang dengan penuh yakin. Kali ini Hee Soo pula tidak duduk diam dan kembali bekerja untuk memastikan Kyung Chae tidak berjaya melakukan apa-apa. Boleh dilihat, saat ini Hee Soo berada dalam tekanan bagi memastikan apa yang dimilikinya tetap menjadi miliknya. Kyung Chae pula dilihat berbeza apabila beliau tidak lagi dibayangi perasaan mudah simpati dan terlalu lembut.

Bahagian akhir, walaupun kebenaran membuktikan Hee Soo bersalah, namun dia tetap bertegas semuanya adalah tidak benar. Dia cuba memindahkan segala permasalahan kepada Kyung Chae, namun semuanya sia-sia. Sungguhpun begitu, Hee Soo tetap tidak mengaku bersalah dah masih lagi cuba yang terbaik untuk membuktikan dia benar manakala Kyung Chae yang bersalah.

 

 

Apa yang berlaku sebenarnya? Anda perlu tonton penuh drama The Women’s Room. Mungkin  serba sedikit akan menyuntik minat anda untuk terus ikuti drama adaptasinya iaitu Mona Lisa. Pastinya saya akan mengikuti drama Mona Lisa untuk mengetahui drama adaptasi ini dari perspektif rakyat Malaysia dan sebagai tanda sokongan penuh saya untuk produk Malaysia.

Sekali lagi, drama Mona Lisa bakal bersiaran secara eksklusif pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 20 Mac 2018 menerusi slot Tiara secara eksklusif di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135). Untuk pilihan yang fleksibel, drama ‘Mona Lisa’ juga turut boleh diakses menerusi aplikasi Astro Go dan perkhidmatan ‘on demand’.

Untuk perkembangan terkini boleh follow Radius One di Facebook dan Instagram.