Muzik Dua Negara Bergema dipentas yang sama sempena Japan x Malaysia Friendship Concert 2017

Japan x Malaysia Friendship Concert 2017 diadakan bersempena Ulang Tahun ke-60 hubungan diplomatic antara Malaysia dan juga Jepun. Program ini juga merupakan julung-julung kali diadakan dengan menghimpunkan artis-artis Jepun dan juga artis-artis Malaysia untuk membuat persembahan di atas pentas yang sama. Muzik itu sememangnya bersifat universal jadi dengan adanya program ini dapat meluaskan lagi pemahaman mengenai budaya muzik dikalangan kedua-dua Negara.

Sidang Media Bersama Artis Terlibat

Sekitar jam 3 petang, bertempat di Sunway Spa & Resort, satu sidang media telah diadakan untuk para media. Acara ini diadakan bagi memperkenalkan barisan artis dari kedua-dua Negara yang bakal membuat persembahan disebelah malamnya serta sessi Q&A.

Sebelum bermulanya sidang media, pihak penganjur (Saudari Yuri dari Toybox Project) telah diminta untuk memberi sepatah dua kata. Team KMania berasa bangga dan terharu dengan kecekalan serta ketabahan mereka dalam memastikan konsert ini berjalan seperti yang dirancang. Tahniah kami ucapkan kepada para penganjur. You did it well!

Ketika sidang media berlangsung suasana bertukar menjadi ceria terutamanya dengan penampilan Ratu Rock Jepun, Anna Tsuchiya yang sangat bersahaja serta peramah. An Café pula mencuri tumpuan dengan penampilan fesyen mereka yang unik. Bagi artis dari Malaysia, FAZZ antara nama baru bagi kami. Mereka dikenali dengan lagu-lagu berentak kabaret, blues, rock & roll, jazz dan menghasilkan persembahan ala Broadway.

Antara artis yang terlibat pada sidang media ini adalah:

Dari Jepun:

  • Anna Tsuchiya
  • An Café
  • Tomomi Itano
  • Charisma.com
  • Juice=Juice
Dari Malaysia:

  • Joe Flizzow
  • Jaclyn Victor
  • Alvin Chong
  • FAZZ

 

Nota : Kumpulan Bunkface tidak dapat turut serta kerana komitmen yang tidak dapat dielakkan

Malam Konsert

Biarpun pertama kali dianjurkan, ianya tetap mendapat sambutan dikalangan peminat muzik Jepun dan juga peminat siri anime. Kehadiran dan sokongan mereka membuktikan muzik dari Negara matahari terbit itu mempunyai kelompok peminat yang tersendiri di Malaysia.

Juice=Juice

Perkarangan konsert mula dipenuhi oleh para peminat dan media sedari jam 5.00 petang. Sekitar jam 6.30 petang konsert dimulakan dengan persembahan kumpulan penyanyi wanita dari Jepun iaitu Juice = Juice.

Ditubuhkan pada tahun 2013, kumpulan ini dianggotai oleh tujuh remaja kawaii terdiri daripada Akari Uemura, Sayuki Takagi, Karin Miyamoto, Tomoko Kanazawa, Ruru Kanazawa, Nanami Yanagawa dan Yuka Miyazaki.

Mereka mempersembahkan lagu popular mereka dengan gerak tari yang lincah dan bertenaga. Persembahan yang kelihatan kawaii itu ternyata dapat menarik perhatian para penonton sehinggakan mereka juga ikut menari. Lagu Fiesta Fiesta nyanyian Juice=Juice sudah cukup untuk membuatkan anda bergerak mengikut rentaknya yang rancak itu.

FAZZ

Persembahan dari Kumpulan FAZZ adalah persembahan yang kami nantikan kerana ini kali pertama kami mengenali kumpulan tersebut. Apa yang boleh kami katakan, persembahan mereka sangat menghiburkan dan sangat hebat. Paduan vocal yang merdu dengan irama muzik yang rancak serta versatile bukti mereka adalah pemuzik yang berbakat.

Melihatkan persembahan dan mendengarkan nyanyian mereka secara live membuatkan kami seolah-olah berada di sebuah cabaret sekitar tahun 1940an. Muzik dibawakan kumpulan ini diterima baik oleh masyarakat antarabangsa terutama di Jepun.

FAZZ juga akan kembali ke Jepun untuk membuat persembahan selama tiga minggu bermula 3 Oktober ini sempena FAZZPromoTour2017. Kali pertama mereka ke Jepun adalah sempena Haneda International Anime Festival 2015.

Alvin Chong

Kemunculan Alvin Chong buat peminat artis tersebut bersorak hebat sambil mengangkat sepanduk LED tanda sokongan padu. Tampil dengan gaya kasual Alvin mempersembahkan tiga lagu dalam bahasa Mandarin.

Beliau juga sempat melemparkan light stick dan juga poster kearah para penonton. Lagu yang paling memberi kesan kepada para penonton adalah lagu ciptaan beliau sendiri iaitu Don’t Ask Me Why yang bergenre balada. Lagu ini diinspirasi daripada nenek kesayangan Alvin yang telah pergi meninggalkan beliau. Kelihatan light stick dihayunkan mengikut alunan muzik nyanyian Alvin.

Charisma.com

Suasana bertukar rancak dan bertenaga apabila kumpulan duo Charisma.com atau Karisuma Dotto Komu dari Jepun naik ke pentas. Kumpulan yang berkonsepkan muzik electro/rap ini ditubuhkan pada tahun 2011. Pergabungan kemahiran Itsuka menzahirkan kata melalui rapping dan muzik techno yang catchy, melodi yang terhasil buat mereka unik dan berbeza.

Gaya rapping MC Itsuka yang stylo dan DJ Gonchi yang penuh gaya patut diberikan pujian.

Selari dengan nama Charisma.com, persembahan mereka penuh berkarisma, bertenaga dan membuatkan para penonton berasa teruja melihat aksi mereka yang hebat.

Bunkface

Kehadiran kumpulan Bunkface di atas pentas menggamatkan suasana. Pastinya ramai penonton menunggu kemunculan Bunkface. Lagu dendangan kumpulan ini Malam Ini Kita punya seakan merujuk kepada malam itu adalah malam untuk kita semua. Dengan muzik dimainkan secara live, vocal bertenaga dari Sam serta pilihan lagu yang hebat benar-benar buat penonton rasa puas hati dan terhibur. Aksi bertenaga yang dipamerkan oleh Bunkface sudah kami jangkakan dan persembahan mereka wajar diberikan pujian. Sebelum ini, Bunkface pernah mewakili Malaysia ke Jepun sempena Summer Sonic.

Ketika sesi temubual, Anna Tsuchiya sangat mengagumi kehebatan Bunkface serta menyukai lagu Darah Muda dan berharap agar kumpulan tersebut dapat mengajarnya menyanyikan lagu tersebut. Sam lantas mengajarnya, manakala Anna hanya dapat menyebut beberapa patah perkataan sahaja, selainnya dia sekadar bersenandung(humming) mengikut rentak lagu.

An Cafe

Pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia tidak mematahkan semangat An Café dengan tagline Nyappy untuk memberikan persembahan yang begitu bertenaga. Kami amat menantikan persembahan dari kumpulan ini yang mempunyai imej visual oshare kei dan menggambarkan muzik mereka sebagai “Harajuku Dance Rock Band”.

Seperti yang dijanjikan ketika sesi interview yang lalu, An Café mempersembahkan single terbaru mereka yang bertajuk Ikenai Mousou×Abunai Monster yang akan dilancarkan sekitar bulan Oktober ini. Lagu berkenaan adalah pertama kali diperdengarkan dipersada antarabangsa dan pastinya kami amat berbangga Malaysia antara Negara yang bertuah.

Sempat berswafoto dengan para peminat. Kredit gambar – Blog Nyappy Forever

Persembahan mereka sangat menghiburkan dan para penonton begitu asyik dengan sajian nyanyian serta muzik secara live dari mereka. Miku selaku ketua kumpulan menyatakan masakan kari di Malaysia adalah lebih sedap berbanding masakan kari di Jepun. Namun begitu, mereka tidak menggemari durian kerana bau dan rasanya yang agak kuat.

Jaclyn Victor

Penyanyi yang mempunyai vocal lantang dan mampu mencapai not tinggi ini pastinya memukau setiap penonton yang hadir. Tampil dengan dress serba hitam buat Jaclyn Vinctor kelihatan menyerlah malam itu. Ketika menyanyikan lagu rancak, Jac secara berseloroh memberitahu bahawa dia perlu mencabutkan kasut tumit tingginya kerana risau sesuatu yang tidak diingini terjadi.

Seperti yang dijangka, Jac juga menyanyikan lagu bertuahnya iaitu Gemilang. Jac juga mengajak para penonton menyanyi bersamanya.Seakan lagu itu penuh bertenaga, penonton begitu bersemangat dan teruja untuk menyanyikannya. Saat Jac mencapai not yang tinggi, kedengaran sorakan daripada para peminat. Jac juga menyuarakan hasratnya untuk mengembangkan lagi karier seninya ke Negara matahari terbit itu.

Itano Tomomi

Itano Tomomi seterusnya menghangatkan pentas. Dengan penampilan yang agak seksi dan tarian yang penuh keasyikan membuat penonton lelaki bersorak.

Itano merupakan bekas ahli kumpulan wanita AK48 sebelum bergerak secara solo. Kini beliau juga dikenali sebagai ikon fesyen dek kerana fesyen yang ditampilkan sentiasa mendapat perhatian ramai dan penampilan beliau dikatakan berbeza mengikut program yang dihadirinya.

Joe Flizzow

Joe Flizzow, satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Rapper stylo dari Malaysia ini sentiasa mendapat perhatian ramai dek kerana muzik yang dihasilkan sentiasa segar dan unik. Tampil menyanyikan lagu secara medley, nampaknya para peminat seakan tidak merasa puas dengan persembahan beliau. Bakal tampil dengan single terbaru pada bulan Oktober ini, pastinya buat para peminat muzik tidak sabar untuk menantikan karya terbaru beliau.

Joe Flizzow juga memberitahu beliau mempunyai hubungan yang baik dengan rapper-rapper dari Negara Jepun. Diakhir persembahan beliau, Joe Flizzow melemparkan topinya kearah para peminat yang berebut-rebut untuk memilikinya.

Anna Tsuchiya

Persembahan yang paling kami nantikan sedari awal lagi iaitu dari Ratu Rock Jepun, Anna Tsuchiya. Biarpun Anna juga pertama kali datang ke Malaysia ternyata persembahan yang disajikan beliau amat bertenaga. Bukan sahaja kami yang teruja malahan rata-rata penonton juga merasakan yang sama.

Dengan penampilan rock, beliau tidak lupa untuk menyanyikan lagu tema siri anime popular Nana yang telah menjulang nama beliau. Seperti yang disiarkan dalam interview yang lepas, Anna sememangnya mempunyai kelompok peminat di Malaysia. Jika tidak, masakan para penonton ikut serta menyanyi lagu Kuroi Namida (Black Tears),sebuah lagu sentimental rock. Paling istimewa, Anna Tsuchiya tidak lupa untuk menyanyilan lagu Rasa Sayang dalam versi Anna sendiri untuk para peminatnya di Malaysia. Kami amat menghargai kegigihan beliau dalam menyahut cabaran tersebut.

15 tahun dalam bidang muzik cukup membuatkan persembahan beliau penuh karisma, professional, matang dan mantab. Nyanyian lagu Rasa Sayang adalah penutup bagi konsert ini dan kesemua artis yang terlibat naik ke pentas dan menyanyikan lagu tersebut bersama-sama Anna.

Konsert tamat sekitar jam 10.30 malam. Kami pasti rata-rata penonton terhibur dengan keseluruhan persembahan dari artis kedua-dua negara. Dari irama pop ke balada dan seterusnya irama rock buat penonton menghayati kesemua persembahan. Kami juga terhibur dengan pengacara pada malam itu dan juga pengarcara jemputan iaitu Miku dari An Café. Kami sedikit iri hati akan kefasihan pengacara dalam berbahasa Jepun. Miku selaku pengacara jemputan juga tidak kurang hebatnya dalam mencuit hati para penonton dengan menggunakan broken English dan cara pengacaraan yang sedikit lucu .

Biarpun gelombang muzik Jepun tidak sehebat gelombang muzik Korea, kami pasti permintaan terhadap gelombang muzik Jepun (J-Wave) akan mula berkembang di Malaysia. Dengan program seumpana ini dapat memberikan peluang kepada rakyat Malaysia terutamanya untuk mengenali budaya muzik Jepun.Tahniah kepada para penganjur di atas kejayaan ini. Kami juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kerana memberikan peluang keemasan ini kepada kami. Kami berharap agar program seumpama ini dapat dilaksanakan lagi pada masa hadapan.

JAPAN x MALAYSIA Friendship Concert 2017 was jointly organized by IME Malaysia and Toybox Projects, endorsed by Japan Embassy, Wisma Putra, Japan External Trade Organization (JETRO), Japan National Tourism Organization (JNTO) and Japan Foundation and partnered with Ishida Taiseisha, Sunway Lagoon as the Official Venue, Sunway City as the Official Destination, Animax as the Official Cable TV, MYFM as the Official Radio, Special Thanks to Malaysia Magazine, Sunway Pyramid as Sponsor and Oishi as the Official Green Tea.

Untuk lebih informasi boleh ikuti laman Facebook Toybox Projects, IME Malaysia dan Friendship Concert 2017

Untuk lihat klip video persembahan artis sila ikuti kami di Insta KMania