Lee Jung Shin Jadi Doktor Sempurna yang Tewas kepada Cinta dalam ‘What a Boss Wants’

Lee Jung Shin daripada kumpulan CNBLUE bakal membawa watak seorang doktor kanak-kanak yang kacak, penyayang dan hampir sempurna menerusi drama Korea terbaharu, What a Boss Wants. Menjelang tayangan drama ini, pelakon tersebut turut berkongsi tentang personaliti wataknya serta keserasian bersama pelakon Oh Se Young.

What a Boss Wants merupakan drama romantik berdasarkan novel web yang mengisahkan Kwon Do Hyuk (Sung Hoon), pewaris keluarga konglomerat yang kehilangan deria rasa dan berusaha mencari wanita di sebalik suara yang didengarinya menerusi sebuah album. Wanita tersebut ialah Lee Eun Chae (Oh Se Young), vokalis utama sebuah kumpulan muzik indie.

Lee Jung Shin Bawa Watak Doktor Kacak dan Penyayang

 

Dalam drama ini, Lee Jung Shin memegang watak Moon Tae Kyung, seorang doktor kanak-kanak berbakat yang memiliki penampilan menarik serta personaliti mesra dan penyayang. Sikapnya yang lembut dan mudah didekati turut memberikan pesona tersendiri kepada watak tersebut.

Tae Kyung digambarkan sebagai lelaki yang hampir sempurna dalam pelbagai aspek. Namun, di sebalik kelebihan yang dimilikinya, dia mempunyai satu kelemahan apabila melibatkan cinta, khususnya perasaannya terhadap Eun Chae.

Lee Jung Shin merumuskan wataknya melalui tiga ungkapan, iaitu “yes-man”, “lelaki sempurna” dan “si lurus bendul”. Walaupun Tae Kyung kelihatan sempurna, dia mudah mengalah apabila berhadapan dengan wanita yang dicintainya, malah cenderung bersetuju dengan apa sahaja yang dikatakan Eun Chae.

Bagi menghidupkan watak tersebut, Lee Jung Shin memberi perhatian kepada penyampaian emosi Tae Kyung melalui dialog, pandangan mata dan ekspresi wajah agar perasaan wataknya dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada penonton.

Lee Jung Shin Puji Keserasian Bersama Oh Se Young

Lee Jung Shin turut berkongsi pengalamannya bergandingan dengan Oh Se Young yang memainkan watak Lee Eun Chae. Menurutnya, Oh Se Young membantu mewujudkan suasana yang selesa di set penggambaran, sekali gus membolehkan mereka berinteraksi secara semula jadi.

Keserasian tersebut turut memudahkan kedua-duanya bertukar dialog spontan atau ad-lib ketika penggambaran. Hubungan yang terjalin antara mereka dijangka menambah daya tarikan kepada kisah percintaan Tae Kyung dan Eun Chae.

What a Boss Wants dijadualkan memulakan tayangan pada 11 November 2026, pukul 9.20 malam waktu Malaysia, menerusi saluran MBN.

Sumber :  1 | 2