Mastercard Tampil dengan Mikrodrama Korea ‘Tap Into My Heart’ untuk Tingkat Kesedaran Keselamatan Pembayaran

Diterbitkan dalam tiga episod, siri ini menggunakan elemen romantik dan suspen ala K-drama untuk menyampaikan mesej keselamatan pembayaran digital kepada penonton di Asia Tenggara.

Mastercard tampil dengan pendekatan baharu untuk meningkatkan kesedaran tentang keselamatan pembayaran menerusi Tap Into My Heart, sebuah mikrodrama Korea yang menggabungkan penceritaan ala K-drama dengan mesej perlindungan pengguna dalam urusan pembayaran digital.

Dilancarkan pada 13 Oktober 2026, siri yang mengandungi tiga episod ini mengetengahkan situasi harian yang dekat dengan kehidupan pengguna bagi menjadikan topik keselamatan pembayaran lebih mudah difahami dan menarik untuk diikuti.

Dibangunkan dengan kerjasama McCann Singapore, Tap Into My Heart akan diperkenalkan secara berperingkat di enam negara Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina, sepanjang tempoh lapan minggu.

Selain YouTube, kandungan pendek daripada siri ini turut disiarkan menerusi TikTok, Facebook dan Instagram sepanjang kempen berlangsung.

Gabungkan Elemen K-Drama dengan Kesedaran Keselamatan Digital

Idea di sebalik Tap Into My Heart tercetus daripada populariti budaya Korea di peringkat global serta peningkatan minat terhadap format mikrodrama yang menyampaikan cerita dalam episod pendek.

Menurut Tinjauan Hallyu Luar Negara 2026 yang dipetik oleh Mastercard, penonton di 30 negara menghabiskan purata 14.7 jam setiap bulan untuk menikmati kandungan Korea. Media sosial dan platform yang mengutamakan penggunaan melalui telefon mudah alih turut menjadi antara saluran penemuan kandungan tersebut.

Pada masa sama, mikrodrama semakin mendapat perhatian di Asia menerusi penceritaan ringkas yang sarat dengan emosi, konflik dan jalan cerita yang mudah dikongsi.

Mastercard mengambil peluang daripada trend ini untuk menyampaikan mesej keselamatan pembayaran melalui format hiburan yang lebih dekat dengan minat penonton, khususnya peminat K-drama.

“Keselamatan pembayaran kekal sebagai antara perkara paling penting dalam ekonomi digital hari ini. Namun, kesedaran dan pendidikan mengenainya sering disampaikan melalui pendekatan yang menyebabkan pengguna cepat hilang minat,” kata Dheeraj Raina, Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Pemasaran Bersepadu dan Komunikasi Mastercard bagi Asia Tenggara.

Menurutnya, Mastercard mahu mengubah pendekatan tersebut dengan memanfaatkan cerita, hiburan dan pengalaman budaya yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan pengguna.

Melalui Tap Into My Heart, mesej keselamatan pembayaran diharap dapat disampaikan dengan cara yang lebih dekat dengan kehidupan seharian, mudah diingati dan relevan kepada penonton.

Unsur Romantik dan Suspen untuk Menyampaikan Mesej Keselamatan

Menurut Pengarah Kreatif McCann Singapore, Dan Parmenter, elemen yang sering dikaitkan dengan K-drama seperti emosi yang memuncak, rasa curiga, helah dan konflik romantik sesuai digunakan untuk menggambarkan kebimbangan yang dirasai pengguna terhadap penipuan serta keselamatan pembayaran.

Bekerjasama dengan pengarah dan pelakon dari Korea, pasukan kreatif menggunakan ciri-ciri tersebut sepanjang siri bagi membina jalan cerita yang membawa penonton ke arah keyakinan baharu ketika melakukan pembayaran.

Dalam pendekatan ini, ciri keselamatan Mastercard diterapkan secara semula jadi ke dalam penceritaan, tanpa mengganggu perjalanan cerita untuk menyampaikan mesej jenama secara langsung.

Usaha Berterusan Mastercard dalam Pendidikan Keselamatan Pembayaran

Pelancaran Tap Into My Heart meneruskan usaha Mastercard mencari pendekatan kreatif untuk meningkatkan kesedaran pengguna tentang keselamatan pembayaran digital.

Awal tahun ini, Mastercard turut bekerjasama dengan Sticky Monster Lab menerusi kempen Protected Monsters. Kempen tersebut menggabungkan teknologi tangkapan gerakan berasaskan kecerdasan buatan (AI), penceritaan oleh pencipta kandungan dan bahan digital bagi menjelaskan konsep keselamatan pembayaran melalui situasi harian yang mudah difahami.

Kedua-dua inisiatif ini mencerminkan usaha Mastercard untuk memanfaatkan perubahan budaya popular dan teknologi dalam menyampaikan maklumat keselamatan digital kepada pengguna.

Episod pertama Tap Into My Heart kini boleh ditonton menerusi YouTube DI SINI, manakala episod seterusnya akan dilancarkan secara berperingkat sepanjang lapan minggu. Kandungan pendek daripada siri ini turut tersedia menerusi TikTok dan platform Meta sepanjang kempen berlangsung.

Tonton episod pertama di bawah