Baek Jin Hee Kongsi Kisah Cinta Bersama Tunang, Bakal Berkahwin Januari Depan

Baek Jin Hee bakal melangkah ke fasa baharu dalam hidup apabila aktres itu mengumumkan bahawa dia akan berkahwin dengan teman lelakinya yang bukan selebriti pada Januari tahun depan.

Pada 7 September, agensi Baek Jin-hee mengesahkan bahawa aktres berusia 36 tahun itu akan melangsungkan perkahwinan pada 23 Januari 2027 di sebuah hotel di Seoul. Majlis tersebut akan diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri oleh keluarga kedua-dua belah pihak.

Sehari selepas pengumuman tersebut, Baek Jin-hee berkongsi surat tulisan tangan buat peminat menerusi Instagram.

“Mungkin anda semua sudah mengetahui berita ini terlebih dahulu menerusi artikel, tetapi saya mahu berkongsi perasaan saya sendiri dengan anda.. sebab itu saya akhirnya menulis surat ini.

Saya sendiri masih tidak percaya.. tetapi! Saya.. akan berkahwin..”

Baek Jin-hee turut berkongsi bahawa dia telah bertemu dengan seorang insan yang mengajarnya tentang betapa berharganya hari-hari biasa yang dilalui bersama, dan membuatkannya mahu menghabiskan masa yang panjang bersamanya.

Dia berjanji untuk tidak melupakan kasih sayang dan perhatian yang diberikan peminat, selain terus menunjukkan sisi dirinya yang lebih baik sebagai seorang pelakon dan sebagai seorang insan.

Bertemu Di Kanada

Dalam video di saluran YouTubenya, ‘Jinny Is Back’, Baek Jin-hee kemudiannya berkongsi sedikit lagi mengenai kisah cintanya.

Menurutnya, dia pertama kali bertemu tunangnya ketika belajar bahasa Inggeris di Kanada pada tahun lalu. Mereka kemudiannya menjalani hubungan jarak jauh antara Korea Selatan dan Kanada.

Baek Jin-hee memperkenalkan nama Inggeris tunangnya sebagai Henry, sambil menjelaskan bahawa dia merupakan seorang pekerja pejabat biasa.

Aktres itu turut menafikan spekulasi bahawa tunangnya merupakan seorang ahli perniagaan atau bekerja dalam bidang kewangan.

“Dia seorang pekerja pejabat biasa yang paling teruja apabila tiba pagi Jumaat.”

Baek Jin-hee menjelaskan bahawa Henry merupakan individu yang mengajarnya betapa berharganya dan menyeronokkannya kehidupan seharian. Dia juga memberinya rasa kestabilan, sama ada ketika segala-galanya berjalan lancar mahupun ketika melalui masa sukar.

Daripada situlah, mereka secara semula jadi mula berbincang mengenai masa depan bersama.

Teruskan Kerjaya Selepas Berkahwin

Walaupun bakal berkahwin, Baek Jin-hee tidak mempunyai rancangan untuk meninggalkan dunia lakonan.

Dia berkata akan terus terlibat dalam produksi sambil berulang-alik antara Korea Selatan dan Kanada, malah merancang untuk berkongsi sedikit kehidupan hariannya di kedua-dua negara menerusi YouTube.

“Saya tidak akan melepaskan kedua-duanya,” katanya.

Baek Jin-hee membuat debut pada 2009 menerusi filem Looking for a Person sebelum mendapat perhatian menerusi sitkom High Kick: Revenge of the Short Legged. Dia kemudiannya membintangi pelbagai drama popular termasuk Empress Ki, My Daughter, Geum Sa-wol, Jugglers, The Real Has Come! dan The Judge Returns.

Tahniah buat Baek Jin-hee dan bakal suaminya atas fasa baharu ini! 🤍


Sumber: 1 | 2