Daripada Heeseung kepada EVAN — perubahan itu bukan sekadar nama pentas. Ia menandakan permulaan sebuah perjalanan baharu, kali ini dengan EVAN sendiri menentukan cerita yang mahu disampaikan menerusi muziknya.
Pada 7 September, EVAN secara rasmi membuka era solonya menerusi album mini pertama, DEATH OF ME. Namun di sebalik kemunculan ini, satu persoalan masih mengiringi langkahnya: selepas bertahun-tahun dikenali sebagai Heeseung daripada ENHYPEN, siapakah EVAN sebagai seorang artis?
Jawapannya mungkin tidak terletak pada usaha untuk menjadi seseorang yang sepenuhnya berbeza, tetapi pada sejauh mana dia mampu menjadikan muziknya sebagai cerminan dirinya sendiri.
EVAN meninggalkan ENHYPEN pada Mac lalu selepas membuat debut bersama kumpulan tersebut pada 2020 sebagai vokalis utama. Dia bagaimanapun kekal di bawah agensi yang sama dan meneruskan kerjaya sebagai artis solo, selain menukar nama pentas daripada Heeseung kepada EVAN.
Dalam showcase media sempena pelancaran DEATH OF ME di Grand Peace Palace, Kyung Hee University, Seoul, EVAN berkata keputusan untuk bergerak solo dibuat selepas dia mengambil masa yang panjang untuk memikirkan bagaimana dan dalam bentuk apa dia mahu mempersembahkan muziknya.
“Saya telah meluangkan banyak masa untuk memikirkan bagaimana saya mahu mempersembahkan muzik saya dan dalam bentuk apa saya mahu menunjukkannya. Selepas berkongsi hasil kerja yang saya hasilkan dengan pihak syarikat dan mengadakan perbincangan secara mendalam, selepas pertimbangan yang panjang, saya memutuskan untuk memilih laluan sebagai artis solo.”
Walaupun persoalan mengenai pemergiannya daripada ENHYPEN masih menjadi perhatian, EVAN tidak memberikan sebab khusus mengenai keputusan tersebut.
Malah, ketika ditanya sama ada terdapat muzik yang ingin diterokainya tetapi tidak dapat dilakukan ketika masih bersama ENHYPEN, EVAN memilih untuk berhati-hati dalam memberikan jawapan.
“Ramai pihak terlibat dalam proses peralihan kepada kerjaya solo, jadi agak sukar untuk saya menjawab soalan itu seorang diri.”
Daripada cuba memberikan penjelasan lanjut mengenai masa lalunya, EVAN nampaknya memilih untuk membiarkan muziknya sendiri memperkenalkan siapa dirinya sekarang.
Dari “Ride or Die” Kepada “DEATH OF ME”

Sebelum melancarkan DEATH OF ME, EVAN terlebih dahulu memperkenalkan muzik solonya menerusi digital single “RIDE OR DIE” yang dilancarkan pada 22 Jun 2026, bersama lagu “Overflow”. Kedua-dua lagu tersebut kemudiannya turut dimuatkan dalam album mini pertamanya.
Debut solonya itu turut menerima sambutan memberangsangkan. “Ride or Die” menduduki tempat pertama carta masa nyata Bugs dan memasuki Melon Hot 100 di No. 5, manakala “Overflow” turut mencatat kedudukan No. 7.
“Ride or Die” juga mencapai tempat pertama carta iTunes Top Songs di beberapa negara dan wilayah, termasuk Malaysia.
Perjalanan solo EVAN turut mula menerima pengiktirafan sebelum DEATH OF ME dilancarkan. Pada Ogos, dia menjadi penerima pertama kategori Global-K Artist di 2026 TMElive International Music Awards (TIMA) di Hong Kong.
Beberapa hari kemudian, EVAN turut membawa pulang K-World Dream Best All-Round Musician Award di 2026 K-World Dream Awards, sebagai pengiktirafan terhadap penglibatannya dalam penulisan lagu, komposisi dan produksi.
Pencapaian ini memberikan gambaran awal bahawa EVAN bukan sekadar mahu tampil sebagai penyanyi, tetapi turut mengambil peranan lebih besar dalam menentukan muzik yang dibawanya.
“DEATH OF ME” Sebagai Cerminan Diri
Bagi EVAN, DEATH OF ME bukan sekadar album untuk menandakan permulaan kerjaya solonya.
Dia menggambarkan album tersebut sebagai “cermin” yang mencerminkan ketakutan, keinginan dan pemikirannya ketika berdepan dengan fasa baharu dalam kehidupan.
“Ada ketakutan tentang apa yang bakal berlaku, tetapi pada masa yang sama terdapat kisah yang sangat jujur dan mentah tentang keinginan untuk terus bergerak ke hadapan dan mencapai lebih banyak perkara. Saya rasa album ini mencerminkan pemikiran saya dengan tepat.”
Album mini tersebut mengandungi lapan lagu, termasuk title track “Death of Me” serta dua lagu daripada digital single terdahulunya, Ride or Die.
Menariknya, EVAN menulis lirik untuk kesemua lapan lagu dan menggubah tujuh daripadanya, selain turut terlibat dalam proses penerbitan album.
Penglibatan kreatif itu memberikan EVAN ruang yang lebih besar untuk memasukkan idea serta pengalaman peribadinya ke dalam muzik.
Di sinilah EVAN mula membina perbezaannya sebagai artis solo.
Ia bukan semestinya tentang menghasilkan muzik yang langsung berbeza daripada apa yang pernah didengari peminat sebelum ini, tetapi tentang siapa yang berada di sebalik muzik tersebut dan cerita apa yang ingin disampaikan.
Lebih Daripada Sekadar Album Selepas ENHYPEN

Title track “Death of Me” hadir dengan bunyi pop R&B yang kuat, membawa mesej tentang berdepan dengan batas diri dan enggan membiarkan dirinya dihentikan ketika membuka lembaran baharu dalam kerjaya.
Namun, EVAN menegaskan bahawa DEATH OF ME tidak seharusnya dilihat hanya sebagai kisah mengenai keputusannya meninggalkan ENHYPEN.
Sebaliknya, album tersebut turut membawa nilai dan pengalaman yang telah membentuk dirinya sejak kecil.
Salah satu perkara paling bermakna yang dikongsinya ialah mengenai kepentingan harapan, sesuatu yang menurutnya sudah difahaminya sejak usia muda.
“Saya menyedari sejak kecil betapa pentingnya harapan, dan mesej itu turut tercermin dalam album ini.”
EVAN turut mengaitkan mesej tersebut dengan pengalaman hidupnya ketika kecil, termasuk perjuangannya melawan limfoma malignan.
Baginya, pengalaman tersebut menjadi sebahagian daripada perjalanan yang membentuk cara dia melihat kehidupan dan muzik.
“Jika anda mendengar kesemua lagu, saya rasa anda akan dapat menemukan sinar harapan dalam lirik setiap lagu.”
Justeru, di sebalik tajuk DEATH OF ME yang kedengaran gelap, mesej album ini sebenarnya lebih dekat kepada kehidupan, ketahanan dan keinginan untuk terus bergerak ke hadapan.
EVAN Dan Identiti Baharunya

Persoalan tentang identiti EVAN sebagai artis solo mungkin masih belum mempunyai satu jawapan yang lengkap.
Namun, DEATH OF ME memberikan petunjuk tentang arah yang ingin dibawanya.
Daripada penglibatannya dalam penciptaan muzik sehingga kisah-kisah peribadi yang dimasukkan ke dalam lagu, EVAN kelihatan mahu memastikan bahawa suara yang didengari kali ini benar-benar datang daripada dirinya sendiri.
Dari segi bunyi pula, perubahan yang dibawa EVAN tidak semestinya terlalu drastik. Produksi “Death of Me” yang gelap dan penuh tenaga serta persembahan berorientasikan performance masih boleh terasa familiar kepada pendengar yang sudah biasa dengan muziknya bersama ENHYPEN.
Namun, perbezaannya mungkin terletak pada pemilikan cerita dan pengalaman yang dibawanya sendiri.
Dan mungkin itulah perbezaan paling penting antara Heeseung yang pernah dikenali peminat melalui sebuah kumpulan dan EVAN yang kini berdiri sebagai artis solo.
Bukan tentang memadam siapa dirinya dahulu, tetapi tentang memberikan dirinya ruang untuk menentukan sendiri siapa dirinya selepas ini.
Permulaan Yang Memberangsangkan

Dari segi sambutan, langkah pertama EVAN sebagai artis solo menerusi DEATH OF ME juga bermula dengan cukup kukuh.
Album tersebut mencatat lebih 461,000 salinan pada hari pertama, sekali gus menduduki tempat pertama carta album harian Hanteo bagi 7 September.
Title track “Death of Me” pula menduduki tempat pertama carta masa nyata Bugs tidak lama selepas dilancarkan dan memasuki Melon Hot 100 di kedudukan No. 5.
Pada masa yang sama, EVAN turut menyatakan rasa bangga terhadap ENHYPEN selepas kumpulan tersebut mencatat pencapaian No. 1 di Billboard 200 buat kali pertama.
“Saya bangga dengan mereka. Bukan mudah untuk mencapai No. 1 di Billboard 200. Saya rasa perkara terbaik yang boleh saya lakukan adalah terus bekerja keras dan kita semua menunjukkan yang terbaik dalam posisi masing-masing.”
Bagi EVAN, DEATH OF ME mungkin baru langkah pertama dalam perjalanan panjang sebagai artis solo.
Namun menerusi album ini, dia bukan sekadar memperkenalkan muzik baharu — dia sedang memperkenalkan versi dirinya yang mahu dikenali dunia selepas ini.
Dan sejauh mana EVAN mampu membina identitinya sendiri sebagai artis solo, perjalanan itu baru sahaja bermula.


