‘The Early Spring’ Raih No. 2 Carta TV Global Netflix, Tembusi Top 10 di 22 Pasaran

Drama romantik di tempat kerja yang sarat dengan chemistry dan momen intim turut mencatatkan kedudukan dalam Weekly Top 10 di 22 pasaran termasuk Asia Tenggara, Amerika Latin, Timur Tengah dan banyak lagi.

Chemistry yang memikat antara Jing Bo-ran dan Sun Qian telah melonjakkan drama romantik berlatarkan dunia pekerjaan berbahasa Mandarin, The Early Spring, ke kejayaan global sejak ditayangkan pada 26 Ogos lalu.

Diarahkan oleh Chiang Chi-cheng (Had I Not Seen the Sun) serta ditulis dan diterbitkan oleh Gao Xiao-xian, siri ini mengisahkan eksekutif korporat berbakat, Luke Luan (Jing Bo-ran), dan Flora Shang (Sun Qian), seorang pendatang baharu yang penuh semangat dan ikhlas ketika cuba mencari tempatnya dalam dunia korporat.

Ketika berdepan tekanan dalam persekitaran kerja yang pantas, pasangan ini turut perlu merahsiakan hubungan romantik mereka di pejabat agar segala yang telah mereka usahakan tidak musnah begitu sahaja.

Bagi minggu 24 hingga 30 Ogos, The Early Spring membuat kemunculan di tempat No. 2 dalam senarai Global Non-English TV Netflix, dengan meraih 2.4 juta tontonan dan 21.5 juta jam tontonan.

Siri ini kemudiannya mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan penonton dan berjaya memasuki Weekly Top 10 di 22 pasaran, termasuk Indonesia, Malaysia, Brazil, Venezuela, Qatar dan banyak lagi. Siri ini turut menduduki tempat teratas carta TV mingguan Netflix di Thailand, Taiwan, Hong Kong dan Vietnam.

Penonton turut terpikat dengan ketegangan yang berkembang secara perlahan serta momen-momen intim antara Jing Bo-ran dan Sun Qian. Chemistry semula jadi antara kedua-duanya memberikan gambaran cinta dewasa yang lebih bernuansa dan menyegarkan di layar.

Jing Bo-ran membawakan watak Luke Luan, seorang pengarah kreatif yang tajam kata-katanya, bergaya dan mempunyai kehadiran skrin yang memukau sehingga digelar sebagai “ultimate heartthrob” oleh penonton.

Penerbit dan penulis skrip Gao Xiao-xian memuji komitmen Jing terhadap wataknya:

“Jing Bo-ran sentiasa datang dengan persediaan yang rapi. Sebelum penggambaran, kami akan berbincang secara terperinci tentang perjalanan emosi watak tersebut.”

Jing turut terlibat dalam merancang gaya penampilan Luke dengan teliti, termasuk membawa beberapa pakaian daripada koleksi peribadinya sendiri serta mendapatkan sokongan daripada jenama-jenama utama bagi menyerlahkan imej Luke yang mengutamakan fesyen. Dia juga menjalani latihan fizikal hampir setiap hari untuk menjayakan watak tersebut.

Sun Qian pula membawakan watak Flora Shang, seorang pendatang baharu dalam dunia pekerjaan yang mempunyai hubungan rumit dengan bosnya, Luke — antara tarikan utama siri ini.

Sun mengakui:

“Saya tidak pernah menjalani banyak penggambaran babak intim sebelum ini, jadi pada awalnya saya agak malu dan gementar. Penyelia babak intim kami membantu menjadikan proses tersebut lebih selesa dan natural. Babak yang paling saya ingat ialah adegan ‘body charades’. Fikiran saya hampir kosong ketika merakamkannya!”

Penampilan semula jadinya di skrin, lakonan ekspresif serta persembahan yang penuh nuansa turut mendapat pujian daripada penonton.

Sun berkongsi:

“Seperti Flora, saya berasal dari Harbin dan berpindah ke Beijing untuk mengejar kerjaya. Kisahnya merangkumi tempoh sepuluh tahun, dan ini juga merupakan tahun kesepuluh saya dalam industri. Saya rasa sangat dekat dengan perjalanan hidupnya.”

Sun turut mengucapkan terima kasih kepada penonton:

“Saya harap anda mendapat kekuatan daripada wanita muda yang berani, tabah dan gigih ini.”

Penonton turut memuji Jing dan Sun sebagai “pelakon yang sangat tepat” untuk watak Luke dan Flora.

Mengenai chemistry antara kedua-duanya, Pengarah Chiang berkata:

“Kontras dan chemistry mereka terasa begitu natural. Mereka bukan pasangan tipikal dalam drama idola dan mempunyai kehadiran serta rentak emosi tersendiri.”

Penerbit dan penulis skrip Gao menjelaskan bahawa mencari pelakon yang bukan sahaja mampu menghidupkan watak asal, tetapi juga menyampaikan kedalaman emosi mereka, merupakan keutamaan utama pasukan produksi.

Beliau memuji Jing kerana berjaya menampilkan pesona Luke yang kemas dan sofistikated, manakala Sun berjaya membawa semangat muda serta kematangan kepada perjalanan Flora ketika dia berkembang sebagai seorang wanita.

Pengarah Chiang turut berkongsi visi beliau untuk The Early Spring:

“Saya mahu menghasilkan sesuatu yang berbeza daripada drama romantik konvensional — daripada gaya visual, dinamik watak hinggalah kepada cara hubungan intim digambarkan — serta meneroka cinta daripada perspektif yang lebih matang. Saya tidak pernah menjangka siri ini akan mendapat sambutan daripada begitu ramai penonton, jadi respons yang diterima benar-benar sangat bermakna.”

Kisah cinta ini masih berada di fasa awal musim bunganya, dengan lebih banyak perkara yang bakal berkembang.

16 episod pertama The Early Spring kini boleh distrim secara global di Netflix, manakala episod seterusnya akan menyusul tidak lama lagi.

Kenapa The Early Spring Wajar Ditonton?

The Early Spring tampil dengan pendekatan yang sedikit berbeza daripada drama romantik Cina konvensional. Berbanding kisah cinta yang terlalu idealistik, drama ini mengetengahkan hubungan orang dewasa yang lebih kompleks, termasuk soal kerjaya, pilihan hidup, emosi dan usaha untuk bertahan dalam dunia pekerjaan yang penuh tekanan.

Antara kekuatan utama drama ini ialah chemistry matang antara Jing Bo-ran dan Sun Qian. Hubungan Luke dan Flora berkembang melalui ketegangan fizikal dan emosi yang dibina secara perlahan, termasuk beberapa babak intim yang terasa lebih berani berbanding kebanyakan drama romantik Cina. Penggunaan penyelia babak intim dalam produksi turut membantu kedua-dua pelakon membawa adegan tersebut dengan lebih selesa dan natural.

Drama ini juga tidak menampilkan karakter yang serba sempurna. Luke dan Flora mempunyai kelemahan, beban emosi serta konflik masing-masing, sementara latar dunia korporat memberikan ruang untuk drama ini meneroka tekanan kerjaya, persaingan dan politik di tempat kerja.

Dalam masa yang sama, perjalanan Flora sebagai wanita yang membina kehidupannya sendiri menjadi antara aspek menarik dalam siri ini. Dia bukan sekadar bergantung kepada Luke untuk menyelesaikan masalahnya, sebaliknya perlu belajar berdiri sendiri, membuat pilihan untuk dirinya dan menentukan hala tuju hidup serta kerjayanya.

Dari segi visual pula, The Early Spring hadir dengan gaya sinematik dan atmosfera yang lebih melankolik, selari dengan kisah cinta serta kehidupan bandar yang menjadi latarnya. Persembahan Jing Bo-ran dan Sun Qian turut membantu menjadikan hubungan Luke dan Flora terasa lebih natural, sekali gus memberikan drama ini identiti tersendiri.

Pendek kata, The Early Spring mungkin bukan pilihan untuk penonton yang mencari rom-com ringan semata-mata. Namun, bagi yang menggemari romance slow-burn dengan chemistry kuat, konflik kerjaya, perkembangan karakter dan kisah cinta yang lebih matang, drama ini sememangnya menarik untuk dimasukkan dalam watchlist.