Konsert 2026 &TEAM CONCERT TOUR ‘BLAZE THE WAY’ IN KUALA LUMPUR akhirnya membawa &TEAM ke Malaysia buat kali pertama pada 19 Ogos, menandakan debut mereka di negara ini.
Hampir empat tahun sejak debut, kumpulan lelaki multinasional sembilan anggota di bawah label Jepun HYBE, YX LABELS, terdiri daripada ketua kumpulan dari Korea, EJ, anggota Taiwan NICHOLAS, naib ketua dari Jepun FUMA, serta K, YUMA, JO, HARUA, TAKI dan anggota berdarah Jerman-Jepun, MAKI.

Buat pertama kali beraksi di Malaysia, kesemua sembilan anggota tampil di pentas dengan persalinan kulit yang bergaya, diserikan dengan warna hijau yang menjadi identiti jelajah ini.
Mereka terus menghangatkan venue yang dipenuhi LUNÉ menerusi persembahan bertenaga seperti “Back to Life,” “Lunatic” dan “War Cry”, yang disambut dengan sorakan gemuruh daripada peminat.

Terharu dengan sambutan yang diterima, para anggota berkata, “Terima kasih kerana datang. Akhirnya kami dapat datang ke Malaysia untuk berjumpa dengan semua!”
View this post on Instagram
Mereka turut mencuri hati peminat dengan beberapa frasa Bahasa Melayu yang jelas telah dipelajari khas untuk persembahan di Malaysia, termasuk “Rindu kami tak?”, “Saya sayang korang” dan “Mantap!”, memperlihatkan hubungan mereka yang mesra dan bersahaja dengan LUNÉ Malaysia.
Sepanjang hampir tiga jam persembahan, &TEAM memperlihatkan keserasian serta kemahiran persembahan yang mantap menerusi lagu-lagu seperti “Road Not Taken,” “Deer Hunter,” “Go In Blind” dan “Bewitched.”
Mereka kemudiannya membawakan lagu daripada siri bertemakan empat musim, termasuk “五月雨 (Samidare),” “十五夜 (Jyuugoya)” dan “雪明かり (Yukiakari)”, sebelum menaikkan lagi suasana dengan “We On Fire.”
Para anggota turut memuji tenaga luar biasa LUNÉ Malaysia dan beberapa kali memberitahu peminat, “You’re amazing! Your screams are so loud!”
&TEAM kemudian mengajak penonton menyanyi bersama menerusi “Aoarashi.” Harmoni suara peminat yang bergema dalam venue membuatkan para anggota memuji mereka kerana bunyinya “sangat bagus”, malah suara LUNÉ Malaysia dikatakan lebih kuat berbanding di negara lain.
Untuk segmen encore, &TEAM kembali ke pentas dengan memakai T-shirt jelajah berwarna putih yang dihiasi rekaan lukisan tangan sebelum memulakan persembahan “Run Wild.”
HARUA, FUMA dan TAKI kemudian menceriakan suasana menerusi dance battle spontan bersama peminat, yang sekali lagi membuatkan seluruh venue gamat.
Seperti tradisi mereka di beberapa lokasi jelajah sebelum ini, setiap kali kata kunci untuk lagu “Really Crazy” disebut, para anggota perlu mengulangi persembahan lagu tersebut.
Untuk konsert di Kuala Lumpur, kata kunci yang dipilih ialah “Saya Sayang Korang”, menjadikan segmen tersebut seperti satu sesi pengakuan cinta tidak dijangka buat LUNÉ Malaysia.
Hasilnya, &TEAM akhirnya membawakan “Really Crazy” sebanyak lima kali.
&TEAM turut mengambil sedikit masa untuk mengucapkan terima kasih kepada peminat atas sokongan yang tidak berbelah bahagi.
NICHOLAS mendedahkan bahawa mereka pada awalnya bimbang tiada siapa yang akan hadir ke konsert pertama mereka di Malaysia.
“Kami risau tiada siapa yang akan datang ke konsert ini, tetapi anda semua datang! Kami akan terus bekerja keras dan berharap dapat kembali ke Malaysia untuk berjumpa LUNÉ lagi tidak lama lagi!”
Menjelang penghujung konsert, jelas kelihatan bahawa penonton masih belum mahu beredar. Laungan “Encore!” terus bergema sehingga &TEAM kembali ke pentas untuk empat pusingan encore.
Mereka menambah “Aoarashi,” “Big Suki” dan “Drop Kick” ke dalam setlist sebelum akhirnya menutup persembahan malam tersebut.

Dalam konsert sulung mereka di Malaysia, &TEAM meninggalkan Kuala Lumpur dengan persembahan bertenaga, interaksi rapat bersama peminat dan pastinya laungan “Saya Sayang Korang” yang menjadi antara momen paling mencuri perhatian malam tersebut.
Pandangan KMania

Secara peribadi, debut &TEAM di Malaysia meninggalkan kesan yang cukup baik. Bukan sahaja kerana persembahan mereka yang bertenaga, tetapi juga cara kesemua anggota berinteraksi dengan LUNÉ.
Walaupun mereka baru sahaja melalui jadual konsert yang padat, semangat dan sokongan hebat yang ditunjukkan LUNÉ Malaysia jelas membuatkan mereka terharu. Apa yang menarik, &TEAM turut memberikan tenaga yang sama kepada peminat sepanjang persembahan, seolah-olah mereka saling mengisi tenaga antara satu sama lain.
Usaha mereka menggunakan Bahasa Melayu dan bermain dengan kata kunci “Saya Sayang Korang” juga membuatkan konsert ini terasa lebih dekat dan istimewa buat peminat Malaysia.
Penulis sendiri sangat kagum dengan sokongan yang ditunjukkan oleh LUNÉ. Suasana begitu happening sehingga penulis turut sama terbawa-bawa dengan kemeriahannya. Sebelum persembahan bermula, kebanyakan peminat hadir dengan dress code hitam dan hijau, lengkap dengan light stick masing-masing, memberikan gambaran jelas tentang betapa bersatunya LUNÉ untuk menyambut debut &TEAM di Malaysia.
&TEAM juga jelas terharu melihat sambutan tersebut. Mereka bukan sahaja beberapa kali memuji semangat peminat, malah turut mengajak LUNÉ menyanyi bersama. Walaupun terdapat perbezaan bahasa, nyanyian bersama itu tetap menghasilkan satu momen yang cukup indah. Para anggota juga menyatakan betapa gembiranya mereka akhirnya dapat menjejakkan kaki ke Malaysia.
Dari segi vokal, &TEAM sememangnya mengagumkan. Vokal mereka kedengaran stabil ketika menyanyi secara langsung sambil melakukan koreografi yang rancak, sesuatu yang turut mendapat pujian daripada ramai peminat.
Dari segi muzik, &TEAM menampilkan pelbagai warna dalam persembahan mereka, daripada lagu yang lebih agresif dan bertenaga kepada lagu yang lebih emosional dan sentimental. Antara lagu yang kini menjadi pilihan penulis ialah “Mismatch,” “Run Wild,”, “Go in Blind” dan “Back to Life.” Namun, yang paling istimewa buat penulis pada malam tersebut ialah “Who Am I”, yang menampilkan sisi lebih emosional dan meninggalkan kesan tersendiri.
Selain vokal, tarian mereka juga antara kekuatan utama &TEAM. Sembilan anggota ini mempunyai tahap penyelarasan yang sangat baik. Walaupun koreografi mereka laju dan mencabar, gerakan tetap kelihatan serentak dan kemas, menjadikan persembahan terasa bertenaga dari awal hingga akhir.
Apa yang turut menarik perhatian penulis ialah cara &TEAM menghargai peminat. Mereka bukan sekadar menyampaikan ucapan terima kasih, tetapi sentiasa cuba mendekati peminat dengan menggunakan bahasa tempatan ketika berkunjung ke negara berbeza. Segmen-segmen penghargaan mereka juga terasa cukup ikhlas dan emosional.
Secara keseluruhannya, suasana konsert &TEAM di Kuala Lumpur memang membara. LUNÉ memberikan tenaga yang luar biasa dan &TEAM pula membalasnya dengan tenaga yang sama di atas pentas.
Namun, secara peribadi, ada empat anggota yang lebih mencuri perhatian penulis — K, TAKI, EJ dan NICHOLAS.
Penulis pernah menyaksikan mereka dalam sebuah rancangan realiti kira-kira enam tahun lalu. Sebab itu, melihat perkembangan mereka hari ini terasa sedikit berbeza. Dari apa yang pernah dilihat ketika mereka masih muda sehingga kini, jelas kelihatan bagaimana masa, pengalaman dan usaha telah membentuk mereka menjadi artis yang jauh lebih matang dan yakin di atas pentas.
Bakat tidak mengkhianati mereka. Apa yang mereka miliki sejak dahulu terus berkembang melalui masa dan usaha sehingga membawa mereka ke tahap hari ini.

Namun, K tetap menjadi perhatian penulis dari awal hingga akhir konsert.
He’s growing up beautifully.
Dan sebagai seseorang yang pernah melihat perjalanan mereka sejak dahulu, penulis bangga melihat sejauh mana K telah berkembang.
Apa pun, “2026 &TEAM CONCERT TOUR ‘BLAZE THE WAY’ IN KUALA LUMPUR” sememangnya meninggalkan pengalaman yang istimewa buat penulis. Jika &TEAM benar-benar kembali ke Malaysia seperti yang mereka harapkan, penulis juga tidak sabar untuk menyambut mereka sekali lagi.
Terima kasih kepada iMe Malaysia atas jemputan ke konsert ini.
Jangan lupa untuk Follow dan Like KMania di Facebook, Twitter, Instagram , TikTok , Threads dan Youtube untuk tonton lebih banyak lagi video 2026 &TEAM CONCERT TOUR ‘BLAZE THE WAY’ IN KUALA LUMPUR dan untuk mendapatkan lebih banyak perkembangan terkini tentang dunia hiburan Korea.


