Jung Hae In dan Ha Young Terjerat Dalam Cinta, Pembohongan dan Buruan Ketua Sindiket Jenayah di “Our Sticky Love”

Drama komedi romantik terbaharu “Our Sticky Love” yang dibintangi Jung Hae In dan Ha Young akhirnya menemui penonton hari ini!

“Our Sticky Love” mengisahkan Go Eun Sae (Ha Young), seorang pendakwa raya yang kehilangan ingatan selepas terlibat dalam satu insiden misteri. Kehidupannya berubah apabila dia tinggal sebumbung dengan Jang Tae Ha (Jung Hae In), seorang jurulatih tinju yang mendakwa dirinya ialah teman lelaki Eun Sae.

Berlatarbelakangkan sebuah perkampungan yang terkenal dengan kedai yeot (gula-gula tradisional Korea), kehidupan bersama mereka yang bermula secara tidak dijangka mencetuskan pelbagai situasi lucu, romantik dan menghangatkan hati.

Drama ini diarahkan oleh Kim Jang Han, yang sebelum ini mengarahkan Do You Like Brahms? dan My Demon, manakala naskhahnya ditulis oleh Mo Ji Hye. Kedua-duanya kembali berganding bahu buat kali pertama dalam tempoh empat tahun selepas bekerjasama menerusi You Raise Me Up.

Selain memaparkan kisah cinta yang berkembang antara Tae Ha dan Eun Sae, drama ini turut menyelitkan elemen aksi dan noir apabila mereka diburu oleh ketua sindiket jenayah Baek Sang Gil (Heo Sung Tae) yang percaya Eun Sae sepatutnya sudah mati. Kehadiran penduduk Kampung Yeot yang penuh warna-warni pula menambahkan elemen komedi dan kemesraan sepanjang penceritaan.

Jung Hae In membawakan watak Jang Tae Ha, bekas ahli organisasi jenayah yang meninggalkan kehidupan lamanya demi memulakan hidup baharu. Namun, pertemuannya semula dengan cinta pertamanya, Go Eun Sae, memaksanya mencipta satu pembohongan besar apabila mengaku dirinya ialah teman lelaki wanita itu.

Sementara itu, Ha Young memegang watak Go Eun Sae, seorang pendakwa raya elit yang kehilangan ingatan. Sebelum kemalangan tersebut, Eun Sae yang menggunakan nama Go Ji Won sedang menyiasat sebuah organisasi jenayah berbahaya sebelum insiden itu menyebabkan dia tidak sedarkan diri. Setelah sedar di sebuah hospital yang asing baginya, dia mengikut Tae Ha pulang ke Kampung Yeot selepas lelaki itu berkeras mendakwa mereka merupakan pasangan kekasih.

Heo Sung Tae pula memainkan watak Baek Sang Gil, ketua sindiket jenayah yang menyangka dia telah berjaya menyingkirkan Go Ji Won selepas wanita itu menemui kelemahan terbesar organisasinya. Namun, apabila mengetahui Eun Sae masih hidup, dia melancarkan usaha tanpa henti untuk memburunya.

Drama ini turut dibintangi Kim Young Ok, Jeon Bae Soo, Seo Jung Yeon, Jang Hye Jin, Cha Chung Hwa, Kim Mi Hwa, Lee Jae Won, Jung Soon Won dan Choi Yu Ju sebagai penduduk Kampung Yeot yang menceriakan perjalanan cerita.

Berkongsi mengenai naskhah tersebut, pengarah Kim Jang Han berkata fokus utama pasukan produksi adalah untuk mengekalkan identiti drama komedi romantik dengan memastikan perkembangan hubungan dan elemen komedi antara dua watak utama kekal menghiburkan, tanpa membiarkan elemen noir menjadi terlalu berat.

“Our Sticky Love” mula distrim di Netflix bermula 7 Ogos.

Sumber : 1