Lee Jung Eun, Gong Hyo Jin, Park So Dam dan Lee Yeon Sembunyikan Misi Balas Dendam Dalam ‘The Journey to Gyeongju’

Menjelang tayangannya di pawagam bulan depan, filem “The Journey to Gyeongju” terus meningkatkan keterujaan penonton apabila mendedahkan poster rasmi serta beberapa foto pegun baharu yang memberikan gambaran lebih jelas mengenai kisah penuh misteri dan balas dendam yang bakal dipaparkan.

Diterajui Lee Jung Eun, Kong Hyo Jin, Park So Dam dan Lee Yeon, filem ini mengisahkan seorang ibu bersama tiga anak perempuannya yang memulakan satu perjalanan luar biasa selepas menunggu selama lapan tahun demi mencari keadilan buat anak bongsu mereka, Gyeong Ju, yang tidak pernah pulang daripada lawatan sekolah.

Empat Wanita Dengan Misi Berbeza

Ok Sil (Lee Jung Eun) ialah seorang ibu yang masih dibelenggu kesedihan selepas kehilangan anak bongsunya. Dahulu, Ok Sil menjalani kehidupan biasa dengan mengusahakan kedai jahit kejiranan “Ok Fashion”, namun kehilangan tersebut menyebabkan dia menghabiskan lapan tahun berikutnya dalam rasa bersalah dan kesedihan, sebelum akhirnya menjadikan dendam sebagai tujuan hidupnya.

Sebagai penggerak utama misi balas dendam empat wanita tersebut, Lee Jung Eun membawakan watak Ok Sil dengan gabungan kasih sayang seorang ibu, kemarahan, keazaman dan konflik emosi yang mendalam.

Sementara itu, Jang Ju (Gong Hyo Jin) merupakan anak sulung yang banyak memikul tanggungjawab terhadap keluarganya. Sejak kecil, dia membantu ibunya menguruskan kedai “Ok Fashion” sambil menjaga adik-adiknya. Walaupun sudah berkahwin, Jang Ju masih mengutamakan keluarganya dan menyertai misi untuk membalas dendam atas kehilangan adik bongsunya.

Namun, dia turut dihantui kebimbangan mengenai nasib keluarganya sendiri sekiranya rancangan balas dendam mereka gagal. Gong Hyo Jin dilaporkan turut menyumbangkan idea bagi beberapa perincian wataknya, termasuk penggunaan pelindung matahari berwarna putih dan tatu kening, bagi menjadikan Jang Ju lebih realistik.

Young Ju (Park So Dam) pula merupakan anak kedua yang bersikap praktikal dan terkenal dengan sifatnya yang terus terang. Pernah menjadi graduan sekolah undang-undang yang menjadi harapan terbesar keluarganya, Young Ju kini tidak lagi menduduki peperiksaan bar kebangsaan dan menghabiskan masa sebagai penganggur sambil memantau carta dagangan mata wang kripto.

Walaupun menganggap rancangan ibunya terlalu melulu, Young Ju menggunakan kepintarannya untuk merancang alibi yang kukuh bagi memastikan misi mereka berjalan lancar, sekali gus menjadikannya strategi utama keluarga.

Anak ketiga, Dong Ju (Lee Yeon), pula merupakan bekas ahli gusti profesional yang lebih banyak bertindak mengikut naluri. Bersifat panas baran dan mudah terlibat dalam masalah, Dong Ju sering bertindak sebelum sempat berfikir.

Selepas menamatkan kerjaya gustinya akibat kecederaan, dia menyalurkan tenaganya kepada tugas-tugas yang memerlukan kekuatan fizikal sepanjang misi balas dendam keluarga. Bagi menghidupkan watak tersebut, Lee Yeon dilaporkan menjalani latihan aksi gusti profesional yang intensif dan turut ke Jepun untuk mendapatkan gaya rambut shaggy cut yang bersesuaian dengan wataknya.

Di Sebalik Senyuman, Tersimpan Satu Misi

Pada pandangan pertama, poster utama filem ini kelihatan seperti sebuah keluarga yang sedang menikmati percutian menaiki van berwarna kuning. Namun, setiap watak sebenarnya mempamerkan sisi yang berbeza. Si ibu, Ok Sil (Lee Jung Eun), menggenggam tasbih sambil berdoa, manakala anak sulungnya Jang Ju (Gong Hyo Jin) memandu dengan penuh berhati-hati sambil memerhatikan keadaan sekeliling.

Sementara itu, Young Ju (Park So Dam) dilihat menguji kamera pakai buang yang bakal digunakan sebagai sebahagian daripada alibi mereka, manakala anak ketiga Dong Ju (Lee Yeon) pula tidur lena seolah-olah tidak menyedari apa yang sedang berlaku.

Namun, suasana tenang itu berubah sepenuhnya apabila poster berkenaan memaparkan siluet merah berbentuk manusia bersama slogan “Kami menculik pembunuh itu.” Frasa tersebut memberi petunjuk bahawa perjalanan keluarga ini sebenarnya menyimpan misi yang jauh lebih berbahaya daripada sekadar sebuah percutian.

Poster kedua pula memperlihatkan keempat-empat wanita itu bergambar ceria di hadapan Istana Donggung dan Kolam Wolji, salah satu mercu tanda paling terkenal di Gyeongju. Mengenakan kemeja-T sedondon bertulis “FAMILY”, mereka kelihatan seperti sebuah keluarga bahagia yang sedang bercuti. Namun, di sebalik senyuman tersebut tersembunyi rancangan balas dendam yang telah dirancang sejak lapan tahun lalu.

Slogan “Perjalanan ini ialah alibi. Misi kami ialah membalas dendam. Kami menculik pembunuh itu.” bersama kesan tompokan darah pada poster turut menguatkan lagi misteri yang menyelubungi kisah mereka.

Selain poster, beberapa foto pegun baharu turut mendedahkan sisi berbeza setiap watak sepanjang misi tersebut. Ok Sil tampil dengan renungan yang penuh tekad selepas kehilangan anak bongsunya, manakala riak wajah Jang Ju pula menggambarkan kebimbangan bahawa rancangan mereka mungkin tidak berjalan seperti yang diharapkan.

Young Ju, yang bertanggungjawab merancang setiap langkah mereka dengan teliti, serta Dong Ju yang lebih bertindak mengikut gerak hati, turut dipaparkan berhadapan antara satu sama lain di sebalik jeriji besi. Babak itu memberi bayangan bahawa misi mereka bakal berdepan pelbagai halangan dan kejadian di luar jangkaan.

Beberapa adegan lain turut meningkatkan debaran apabila keluarga tersebut dilihat mengejar seorang lelaki yang dipercayai bertanggungjawab atas kehilangan Gyeong Ju, selain berganding bahu menarik sesuatu objek bersama-sama dalam situasi yang penuh ketegangan.

Apa yang menjadikan “The Journey to Gyeongju” lebih menarik ialah gabungan elemen balas dendam dan komedi gelap. Pada waktu siang, mereka kelihatan seperti pelancong biasa yang bergambar di sekitar bandar Gyeongju. Namun apabila malam menjelma, empat wanita itu dilihat memakai baju hujan sambil membawa penyodok dan menggali tanah di tengah hutan, sekali gus memperlihatkan sisi gelap perjalanan mereka.

Sebelum ditayangkan di Korea Selatan, “The Journey to Gyeongju” turut menerima perhatian di peringkat antarabangsa apabila dijemput menyertai beberapa festival filem utama termasuk Hawaii International Film Festival dan Florence Korea Film Fest. Filem ini juga berjaya merangkul Anugerah Pilihan Penonton di Festival Filem Florence Korea ke-24, sekali gus membuktikan sambutan positif yang diterimanya.

Dengan gabungan barisan pelakon hebat, premis yang unik serta sentuhan elemen misteri, balas dendam dan komedi gelap, “The Journey to Gyeongju” dijangka menjadi antara filem Korea yang paling dinantikan apabila menemui penonton di pawagam pada 26 Ogos.


Sumber:  1 | 2