Siri original Netflix, “The East Palace”, akhirnya menemui penonton hari ini!
Menggabungkan elemen fantasi, misteri dan aksi berlatarbelakangkan era Joseon, drama ini mengisahkan Gu Cheon (Nam Joo Hyuk), seorang pemburu roh yang mampu merentas dunia manusia dan alam roh, serta Saeng Gang (Roh Yoon Seo), seorang dayang istana yang memiliki kebolehan mendengar suara roh. Bersama Raja (Cho Seung Woo), mereka berusaha membongkar rahsia di sebalik sumpahan yang menyelubungi Istana Timur.
Menjelang tayangan perdananya, Netflix berkongsi tiga sebab utama mengapa drama ini tidak harus dilepaskan.
1. Gandingan pelakon hebat diterajui Nam Joo Hyuk, Roh Yoon Seo dan Cho Seung Woo
Nam Joo Hyuk membawakan watak Gu Cheon, seorang lelaki yang mampu merentasi dunia manusia dan alam roh. Mengulas mengenai wataknya, beliau berkongsi bahawa cabaran utama adalah menghidupkan dunia roh agar terasa nyata dan meyakinkan buat penonton.
Selain itu, wataknya yang sering bertarung dengan roh menggunakan pedang turut menjanjikan pelbagai babak aksi yang mendebarkan.
Roh Yoon Seo pula melakonkan watak Saeng Gang, seorang dayang istana yang mampu mendengar suara roh. Pelakon itu menjelaskan bahawa beliau memberi perhatian terhadap hubungan wataknya dengan Raja dan Gu Cheon bagi memahami emosi yang ingin disampaikan sepanjang penceritaan.
Sementara itu, Cho Seung Woo tampil sebagai Raja yang bertekad memburu roh misteri yang mengancam istana. Menurutnya, cabaran terbesar adalah menampilkan seorang raja yang menyembunyikan perasaan sebenar di sebalik pelbagai lapisan personalitinya.
Turut memperkukuhkan barisan pelakon ialah Kwak Dong Yeon, Jang Young Nam, Tae In Ho, Hwang Young Hee, Hong Seo Joon dan Lee Hong Nae yang dijangka menambah lagi misteri serta ketegangan dalam drama ini.
2. Gabungan pasukan produksi berpengalaman membina dunia fantasi yang unik
Satu lagi tarikan utama “The East Palace” ialah barisan produksi di belakang tabir.
Drama ini diarahkan oleh Choi Jung Gyu, yang sebelum ini mengarahkan “The Devil Judge”, manakala skripnya dihasilkan oleh Kwon So Ra dan Seo Jae Won, penulis di sebalik “Bulgasal: Immortal Souls” serta “The Guest”.
Bagi membezakan dunia manusia dan alam roh, pengarah menggunakan pendekatan visual yang berbeza dengan tona biru yang lebih dingin bagi dunia manusia, manakala alam roh dipaparkan dalam rona merah yang lebih menyeramkan.
Malah, kebanyakan makhluk ghaib yang muncul dalam drama ini turut diinspirasikan daripada cerita rakyat dan legenda Korea. Walaupun terdapat sedikit penyesuaian untuk memenuhi keperluan jalan cerita, setiap roh dipilih bagi memainkan peranan penting dalam membongkar misteri yang menyelubungi istana.

3. Visual memukau dan aksi yang penuh intensiti
Turut menjadi kekuatan drama ini ialah nilai produksinya yang menggabungkan keindahan seni bina tradisional Korea dengan elemen fantasi.
Daripada suasana istana diraja yang elegan hinggalah dunia roh yang menyeramkan, setiap lokasi dipersembahkan dengan visual yang cukup mengagumkan.
Babak aksi yang menampilkan kerjasama Gu Cheon dan Saeng Gang pula diperkaya dengan koreografi dinamik, kesan visual (VFX), teknik sinematografi kreatif serta suntingan yang mampu meningkatkan impak emosi setiap adegan.
Keseluruhan pengalaman itu turut disempurnakan dengan pencahayaan, muzik latar dan rekaan kostum yang membantu menghidupkan lagi dunia misteri “The East Palace”.
“The East Palace” mula distrim di Netflix bermula 17 Julai.
Sumber : 1


