“Tidak mengapa untuk menjadi diri sendiri.”
Itulah mesej utama yang ingin disampaikan PSYCHIC FEVER from EXILE TRIBE menerusi album studio penuh kedua mereka, DIFFERENT.
Bersempena pelancaran album tersebut, KMania berpeluang mengadakan temu bual eksklusif secara maya bersama PSYCHIC FEVER from EXILE TRIBE bagi berkongsi inspirasi di sebalik penghasilan DIFFERENT, perkembangan mereka sebagai artis serta pengalaman bertemu peminat di seluruh dunia.Temu bual penuh boleh ditonton menerusi video yang disertakan di akhir artikel.
Dianggotai oleh TSURUGI, RYOGA NAKANISHI, REN WATANABE, JIMMY, KOKORO KOHATSU, RYUSHIN HANDA dan WEESA, PSYCHIC FEVER terus mengembangkan sayap di pentas antarabangsa sejak membuat debut pada 2022. Dengan slogan “IGNITE OUR DREAMS”, mereka berharap muzik yang dihasilkan mampu memberi keberanian dan inspirasi kepada peminat yang dikenali sebagai ForEVER.
Bagi RYOGA, DIFFERENT bukan sekadar judul album, sebaliknya mencerminkan pengalaman yang mereka kutip sepanjang membuat persembahan di pelbagai negara.
“Semakin banyak tempat yang kami lawati, semakin kami sedar setiap orang mempunyai latar belakang dan pengaruh muzik yang berbeza. Tetapi perbezaan itulah yang menjadikan kami PSYCHIC FEVER,” katanya.
Beliau berharap album yang menghimpunkan 10 lagu itu dapat memberi keyakinan kepada pendengar untuk menerima diri sendiri tanpa perlu membandingkan kehidupan mereka dengan orang lain.

Perjalanan PSYCHIC FEVER sejak beberapa tahun lalu turut membawa banyak perubahan.
Menurut TSURUGI, setiap ahli melalui pelbagai cabaran sebelum berada di tahap sekarang. Pengalaman itu bukan sahaja membantu mereka berkembang sebagai penghibur, malah mengajar mereka untuk lebih menghargai diri sendiri.
Katanya lagi, beberapa ahli turut mengambil bahagian dalam proses menghasilkan lagu-lagu dalam DIFFERENT, sesuatu yang disifatkannya sebagai antara perubahan terbesar berbanding karya terdahulu.
Dari sudut muzik pula, JIMMY menyifatkan album itu dengan tiga perkataan — R&B, Hip-Hop dan Afrobeat.
R&B dan Hip-Hop kekal menjadi identiti utama PSYCHIC FEVER, manakala Afrobeat membuka ruang kepada mereka untuk mencuba sesuatu yang baharu. Gabungan ketiga-tiga genre itu juga dipengaruhi oleh cita rasa muzik setiap ahli sejak kecil, sekali gus memberikan warna yang lebih segar kepada keseluruhan album.
Perubahan itu turut dapat dirasai menerusi I Got Ways, yang menampilkan sisi lebih matang kumpulan tersebut.
WEESA mendedahkan mereka mengulang rakaman lagu itu beberapa kali bagi mendapatkan tona vokal yang tepat, selain perlu berdepan cabaran menjalani penggambaran video muzik dalam hujan sebenar.
“Bukan mudah kerana cuaca sangat sejuk, tetapi kami gembira dengan hasil akhirnya,” katanya.
Selain berkongsi mengenai album, PSYCHIC FEVER turut mengimbau pengalaman mereka bertemu peminat di luar Jepun.
KOKORO berkata aktiviti antarabangsa mereka bermula di Thailand sebelum berkembang ke negara-negara lain, sekali gus membuka peluang untuk berinteraksi dengan peminat daripada pelbagai latar belakang.
Baginya, muzik menjadi bahasa yang menyatukan semua orang walaupun berbeza budaya dan bahasa.
REN pula mengakui beliau sering tersentuh apabila mendengar peminat di luar Jepun menyanyikan lagu-lagu PSYCHIC FEVER, termasuk bahagian lirik dalam bahasa Jepun.
“Setiap kali itu berlaku, saya benar-benar merasakan kami disatukan melalui muzik. Momen seperti ini memberi kami semangat untuk terus menghasilkan lagu yang mampu menghubungkan lebih ramai orang.”
Malaysia turut menyimpan kenangan istimewa buat kumpulan itu.
Mengimbau PSYCHIC FEVER ASIA TOUR 2024 ‘HEAT’, RYUSHIN mengakui beliau masih mengingati sambutan luar biasa yang diberikan peminat tempatan ketika mereka mengadakan persembahan penuh buat pertama kali di negara ini.
“Peminat di Malaysia memberikan tenaga yang luar biasa. Mereka benar-benar menyokong kami sepenuh hati dan pengalaman itu masih saya ingat hingga hari ini. Saya berharap kami dapat kembali ke Malaysia tidak lama lagi.”
Berita yang pastinya menggembirakan peminat apabila JIMMY mengesahkan bahawa PSYCHIC FEVER kini sedang merancang jelajah dunia.
Walaupun belum dapat berkongsi maklumat lanjut, beliau berharap peminat akan terus mendengarkan DIFFERENT supaya mereka dapat sama-sama menyanyikan lagu-lagu baharu apabila kumpulan itu kembali membuat persembahan di Malaysia.
“Sila dengarkan album baharu kami terlebih dahulu. Apabila kami kembali nanti, marilah menyanyi bersama-sama di konsert.”
Menutup temu bual, ketujuh-tujuh ahli PSYCHIC FEVER turut merakamkan penghargaan kepada ForEVER di Malaysia yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan sepanjang perjalanan mereka.
Bagi mereka, DIFFERENT bukan sekadar sebuah album baharu, tetapi juga peringatan bahawa setiap orang mempunyai keunikan tersendiri. Dan seperti yang dikatakan RYOGA di awal temu bual, tidak mengapa untuk menjadi diri sendiri.
📺 Tonton Temu Bual Penuh
Saksikan temu bual eksklusif penuh KMania bersama PSYCHIC FEVER menerusi video di bawah.


