WinWin secara rasmi akan mengakhiri perjalanan bersama NCT dan SM Entertainment selepas lebih sedekad bersama agensi tersebut.
Pada 8 Julai, SM Entertainment mengumumkan bahawa kontrak eksklusif WinWin bersama syarikat itu akan berakhir secara rasmi pada 9 Julai. Selepas melalui perbincangan bersama, kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan kontrak tersebut, sekali gus mengakhiri segala aktivitinya sebagai ahli NCT.
Dalam kenyataannya, SM Entertainment turut merakamkan penghargaan kepada WinWin atas dedikasinya sepanjang lebih 10 tahun bersama syarikat itu sejak bergelar pelatih, selain mendoakan kejayaannya dalam perjalanan baharunya.
Selepas pengumuman itu dibuat, WinWin turut berkongsi sepucuk surat yang menyentuh hati menerusi Instagram peribadinya.
Mengimbau perjalanan sejak debut pada tahun 2016, WinWin berkata tempoh 10 tahun bersama NCT merupakan antara bab paling berharga dalam hidupnya.
“Daripada bergelar pelatih sehingga debut bersama NCT 127 dan kemudian WayV, saya hanya dipenuhi dengan rasa syukur terhadap semua insan yang saya temui dan segala kenangan yang kami cipta sepanjang 10 tahun ini.”
WinWin mengakui sepanjang tempoh itu dia pernah melalui pelbagai cabaran dan saat-saat sukar. Namun, kenangan indah bersama ahli kumpulan, kakitangan dan peminat menjadi sumber kekuatan yang membentuk dirinya sehingga hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SM Entertainment kerana memberinya peluang untuk debut sebagai artis serta membuat persembahan di pentas di seluruh dunia.
“Sepuluh tahun ini akan sentiasa menjadi salah satu bab paling berharga dalam hidup saya.”
Dalam surat yang sama, WinWin turut mengucapkan terima kasih kepada Czennie, WayZenNi serta semua peminat yang sentiasa menyokongnya sejak hari pertama. Beliau berjanji akan terus berusaha mengejar impian dan berkembang menjadi insan yang lebih baik pada masa hadapan.
WinWin memulakan kerjaya sebagai ahli NCT 127 pada tahun 2016 sebelum menyertai subunit WayV pada 2019. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beliau lebih aktif di China menerusi pelbagai projek lakonan dan aktiviti solo, termasuk menubuhkan studio miliknya sendiri pada tahun 2021.
Semoga maju jaya buat WinWin dalam perjalanan baharunya!


