Lee Jae Wook dan Shin Ye Eun bergandingan sebagai doktor dan jururawat yang tinggal di sebuah pulau terpencil Korea — tempat di mana semua orang tahu hal masing-masing.
Bila seorang pakar bedah plastik yang terlalu fokus dengan kerjaya dihantar ke sebuah pulau terpencil Korea untuk menjalani khidmat ketenteraan, hidupnya mula berubah apabila bertemu seseorang yang menjadi satu-satunya tempat bergantung untuk terus bertahan.
Itulah kisah “Doctor on the Edge”, drama romantik perubatan baharu yang bakal ditayangkan di Disney+ mulai 1 Jun ini.
Selama bertahun-tahun, Do Jiui berusaha keras untuk menjadi pakar bedah plastik terbaik di salah sebuah universiti terkemuka Korea. Terlalu obses dengan kerjayanya hingga mengabaikan emosi sendiri, hidup Jiui berubah secara drastik apabila dia diarahkan bertugas selama setahun di sebuah pulau terpencil sebagai sebahagian daripada khidmat ketenteraannya.
Rakan-rakannya memberi amaran supaya dia tidak terlibat dengan kemalangan, orang sekeliling atau cinta jika mahu kembali fokus pada kerjayanya. Namun sebaik saja menjejakkan kaki ke feri menuju pulau tersebut, semuanya mula menjadi huru-hara.
Dalam keadaan tertekan, emosional dan mula mempersoalkan nasib dirinya, satu-satunya harapan Jiui untuk bertahan ialah Yuk Hari — seorang jururawat yang baru berpindah ke pulau itu atas sebab yang masih menjadi misteri.
Lee Jae Wook membawakan watak Do Jiui, doktor pelatih pembedahan plastik yang ditempatkan di Pulau Pyeondongdo, manakala Shin Ye Eun memainkan watak Yuk Hari, jururawat dari bandar besar yang berpindah ke pulau tersebut atas sebab yang tidak diketahui.
Poster baharu yang dikongsi turut memperlihatkan Do Jiui dan Yuk Hari duduk bersebelahan sambil berkongsi earphone dan menikmati pemandangan laut bersama.
Pandangan Do Jiui terhadap Yuk Hari memberi bayangan tentang bibit-bibit romantik yang bakal berkembang, manakala riak wajahnya yang kelihatan resah ketika memandang laut pula menggambarkan trauma dan kesukaran yang bakal dihadapinya sepanjang berada di pulau tersebut.


Drama ini diarahkan oleh Lee Myoung Woo yang sebelum ini terkenal menerusi The Fiery Priest, manakala skrip ditulis oleh Kim Ji Soo yang pernah menghasilkan Missing Crown Prince.
“Doctor on the Edge” akan mula distrim di Disney+ pada 1 Jun jam 10:30 malam (MYT). Drama 12 episod ini akan menayangkan episod baharu setiap Isnin dan Selasa sehingga 6 dan 7 Julai.


