Kenapa “Absolute Value of Romance” Wajib Masuk Watchlist Korang

Bersedia untuk drama remaja yang penuh emosi, kelakar dan sedikit huru-hara kehidupan sekolah! Barisan pelakon dan produksi “Absolute Value of Romance” baru-baru ini mencuri perhatian di sidang media di Seoul, memperkenalkan drama coming-of-age yang ringan tetapi menyentuh hati.

Diarahkan oleh Lee Tae-gon dan dibintangi Kim Hyang Gi, Cha Hak-yeon, Kim Jae-hyun, Son Jeong-hyuk dan Kim Dong-gyu, drama ini menggabungkan momen remaja yang awkward, imaginasi kreatif dan proses membesar dalam satu cerita yang menarik.

Kisah ini mengikuti Yeo Eui-ju (Kim Hyang Gi), seorang pelajar sekolah menengah biasa yang sebenarnya menjalani kehidupan rahsia sebagai penulis web novel yang bercita-cita tinggi. Hidupnya berubah apabila empat guru baharu yang kacak dan berkarisma — Ga Woo-su (Cha Hak-yeon), Noh Da-ju (Kim Jae-hyun), Jung Gi-jeon (Son Jeong-hyuk) dan Yoon Dong-ju (Kim Dong-gyu) — menjadi inspirasi kepada tulisannya.

Drama ini akan mula ditayangkan pada 17 April di Prime Video di lebih 240 negara, dengan episod baharu setiap minggu.


Ini antara sebab kenapa korang kena tengok “Absolute Value of Romance”:

1. Kim Hyang Gi Tampil Berbeza Dengan Watak Komedi

Kim Hyang Gi membawa watak Yeo Eui-ju, pelajar biasa yang diam-diam menjadi penulis web novel.

Menurutnya, skrip drama ini menarik kerana wataknya terasa seperti dalam komik tetapi tetap realistik. Ini juga merupakan kali pertama dia mencuba genre komedi, dan dia mengakui mahu benar-benar menghidupkan elemen humor dalam watak tersebut.

Dia turut memberi perhatian pada penampilan dan gaya Eui-ju untuk menyerlahkan personaliti watak itu, sekali gus menampilkan sisi baharu yang lebih ceria dan menghiburkan.


2. Empat Guru, Empat Personaliti Berbeza

Empat guru dalam drama ini masing-masing mempunyai daya tarikan tersendiri.

Cha Hak-yeon sebagai Ga Woo-su kelihatan dingin pada luarannya, tetapi sebenarnya ada sisi kelakar yang tersorok.

Kim Jae-hyun pula memainkan Noh Da-ju, seorang yang ceria dan menjadi “mood maker” dalam kumpulan.

Kim Dong-gyu sebagai Yoon Dong-ju membawa aura guru yang hangat dan mudah didekati.

Manakala Son Jeong-hyuk sebagai Jung Gi-jeon ialah guru sukan yang boleh diharap dan sentiasa menyokong orang sekeliling.

Gabungan personaliti berbeza ini menjadikan dinamika mereka lebih hidup dan menyeronokkan.


3. Sentuhan Pengarah Yang Faham Dunia Remaja

Drama ini diarahkan oleh Lee Tae-gon (Hello My Twenties!, True to Love), yang terkenal dengan gaya penceritaan yang dekat dengan realiti.

Menurutnya, apa yang menarik perhatian beliau ialah elemen remaja dan keseronokan dalam skrip. Drama ini sebenarnya tentang proses membesar — pengalaman di zaman sekolah yang membentuk siapa diri kita hari ini.


4. Watak Yang Mengingatkan Zaman Sekolah

Barisan pelajar dalam drama ini membawa suasana yang penuh nostalgia dan relatable.

Menurut Kim Dong-gyu, konsep drama ini sangat unik dan menyeronokkan. Son Jeong-hyuk pula menyamakan suasananya seperti waktu rehat di sekolah yang riuh dan penuh tenaga.

Cha Hak-yeon menambah bahawa drama ini benar-benar menggambarkan semangat remaja — seperti berlari ke kantin waktu rehat. Kim Hyang Gi pula berharap penonton akan rasa “healing” sambil mengimbau kenangan zaman sekolah.


5. Konsep “Kisah Dalam Kisah” Yang Unik

Salah satu elemen paling menarik dalam drama ini ialah konsep “kisah dalam kisah”.

Cerita bukan sahaja berlaku di sekolah, tetapi juga dalam dunia imaginasi hasil tulisan Eui-ju. Dalam dunia tersebut, watak guru berubah menjadi karakter yang berbeza, mencipta suasana yang lebih kreatif dan tidak dijangka.

Cha Hak-yeon berkongsi bahawa wataknya dalam dunia tersebut lebih bebas tanpa batas, manakala Kim Jae-hyun pula sengaja mengubah gaya lakonan supaya lebih ekspresif.

Kim Hyang Gi juga mendedahkan bahawa dalam babak tersebut, dia bertindak seperti “pencipta cerita” yang mengawal situasi — menjadikan pengalaman menonton lebih unik.


Dengan gabungan humor, emosi dan penceritaan kreatif, “Absolute Value of Romance” membawa kisah remaja yang penuh warna — tentang cinta pertama, imaginasi dan persahabatan yang membentuk diri kita.

Drama ini akan mula distrim secara eksklusif di Prime Video bermula 17 April, dengan episod baharu setiap hari Jumaat.