Beberapa Peminat Cedera Selepas Pagar Runtuh Di KSPO Dome Ketika Konsert Super Junior, SM Mohon Maaf

Beberapa peminat dilaporkan cedera dalam satu insiden cemas yang berlaku semasa konsert Super Junior di Seoul.

Pada 5 April, Super Junior mengadakan persembahan encore terakhir bagi jelajah ulang tahun ke-20 mereka, “Super Show 10”, di KSPO Dome, Daerah Songpa.

Insiden tersebut berlaku ketika segmen encore, apabila para ahli bergerak menghampiri penonton untuk berinteraksi dengan peminat. Ketika itu, Ryeowook dilaporkan cuba menyentuh tangan peminat, sebelum pagar keselamatan di kawasan tempat duduk tiba-tiba runtuh.

Situasi menjadi kelam-kabut apabila penonton di kawasan tersebut meluru ke hadapan, menyebabkan beberapa peminat terjatuh dan mengalami kecederaan.

Menurut SM Entertainment, tiga individu yang cedera segera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Mereka dilaporkan mengalami kecederaan ringan seperti keseleo dan lebam, dan dinasihatkan untuk berehat selama kira-kira dua minggu.

Ryeowook turut dilihat segera mendapatkan bantuan staf sejurus kejadian berlaku, malah meninggalkan pentas untuk memastikan peminat yang terlibat menerima bantuan dengan segera.

Susulan insiden itu, SM Entertainment mengeluarkan kenyataan rasmi dengan memohon maaf kepada mangsa serta keluarga mereka.

“Kami amat memohon maaf kepada mereka yang terjejas dan keluarga mereka. Sebagai penganjur, kami mengambil tanggungjawab penuh dan akan memperketatkan langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” menurut kenyataan tersebut.

Agensi itu juga menegaskan bahawa mereka akan memberikan sokongan penuh terhadap rawatan mangsa, selain melakukan penilaian semula terhadap aspek keselamatan dan pengurusan penonton.

Walaupun kejadian ini mengejutkan, tiada kecederaan serius dilaporkan.

Kami mendoakan agar semua mangsa yang terlibat cepat sembuh.


Sumber : 1 | 2 | 3