KBEE 2025 Bawa Sensasi Baru Dunia Hiburan & Jenama Korea ke Kuala Lumpur

Korea Brand & Entertainment Expo (KBEE) 2025 membawa kehangatan Gelombang Korea ke Kuala Lumpur apabila acara tersebut berlangsung dari 11 hingga 13 Disember 2025, menghimpunkan budaya, hiburan dan industri Korea dalam satu festival penuh warna.

Menggabungkan tarikan Hallyu seperti selebriti Korea dan konsert K-Pop bersama pameran produk dan perkhidmatan, KBEE tampil sebagai platform yang meraikan gaya hidup Korea secara menyeluruh. Acara ini menampilkan pameran K-Brand, aktiviti K-Culture, konsert K-Pop, sesi pertemuan peminat serta mesyuarat perniagaan, sekali gus menarik minat peminat dan pemain industri dari pelbagai latar belakang.

Sepanjang expo, pengunjung bukan sahaja disajikan dengan hiburan, malah diberi peluang meneroka pelbagai produk Korea termasuk barangan K-Pop, fesyen, penjagaan kulit, solekan dan makanan. Menariknya, beberapa jenama fesyen turut menampilkan produk mesra Muslim, khususnya untuk wanita berhijab, yang mendapat sambutan positif dalam kalangan pengunjung tempatan.

Kehadiran selebriti terkenal seperti Moon Ga Young, kumpulan xikers, dan NEXZ menjadi antara detik yang paling dinantikan. Sorakan dan keterujaan peminat jelas terasa, terutamanya ketika sesi pertemuan peminat bersama NEXZ dan Moon Ga Young yang berlangsung pada 13 Disember 2025 di Sunway Pyramid Convention Centre.

Dalam suasana penuh ceria, ahli kumpulan NEXZ meluahkan rasa terharu dengan sambutan hangat peminat Malaysia. Mereka turut berkongsi pengalaman singkat tetapi bermakna sepanjang berada di negara ini, sambil menyatakan harapan untuk kembali berjumpa peminat pada masa akan datang.

Sementara itu, sesi tandatangan bersama Moon Ga Young menjadi pengalaman istimewa buat peminat bertuah. Pelakon tersebut bukan sahaja menyapa peminat dengan mesra, malah sempat berkongsi tip penjagaan diri ringkas seperti kepentingan membersihkan wajah dan menjaga kebersihan kulit. Menurutnya, acara tersebut merupakan sesi tandatangan pertamanya dan meninggalkan kenangan tersendiri.

Dibawakan oleh Korea Trade Investment Promotion Agency (KOTRA), KBEE 2025 bukan sekadar sebuah expo, tetapi menjadi ruang pertemuan budaya yang memperlihatkan bagaimana Hallyu terus menghubungkan peminat, industri dan generasi muda merentas sempadan.