Drama baharu berjudul “Nice To Not Meet You”, sebuah komedi romantik yang menggabungkan bintang-bintang ternama Korea — Lee Jung Jae, Lim Ji Yeon, Kim Ji Hoon dan Seo Ji Hye — dalam satu kisah penuh warna tentang cinta, karier dan dunia hiburan yang tidak selalu seindah di luarannya.
Drama ini mengisahkan hubungan cinta-benci antara Im Hyun Joon (lakonan Lee Jung Jae), seorang pelakon A-list yang sudah jauh terpisah dari akar asalnya, dan Wi Jung Shin (lakonan Lim Ji Yeon), seorang wartawan politik yang berpegang teguh pada prinsip keadilan namun akhirnya dinafikan hak dan diturunkan pangkat ke meja hiburan selepas terlibat dalam satu skandal besar.
🎬 Lee Jung Jae sebagai Im Hyun Joon – Pelakon Hebat Yang Cuba Keluar Dari Bayang Sendiri

Sementara itu, Lee Jung Jae kembali ke layar kecil sebagai Im Hyun Joon, pelakon A-list yang terkenal dengan watak detektif nasional dalam drama hit “Good Detective Kang Pil Gu.” Lakonannya yang mantap menjadikan karakter tersebut sebagai simbol nasional, membawa pulang pelbagai anugerah dan pengiktirafan besar.
Dalam foto yang dikongsi, Hyun Joon kelihatan yakin di karpet merah, menerima sorakan peminat — namun di sebalik senyuman itu tersembunyi konflik dalaman. Dia kini ingin mengubah haluan karier dan mencuba nasib sebagai pelakon romantik, namun perjalanan keluar dari bayangan watak lamanya tidak semudah disangka.
“Penonton boleh menantikan lakonan meyakinkan Lee Jung Jae sebagai pelakon kebangsaan Im Hyun Joon. Dari babak detektif mendebarkan hingga sisi ceria dan bersahaja, beliau akan membawa elemen hiburan yang menyegarkan,” ujar pasukan produksi.
🌟 Lim Ji Yeon sebagai Wi Jung Shin – Wartawan Hebat Yang Terperangkap Dalam Skandal

Lim Ji Yeon menampilkan sisi baharu melalui watak Wi Jung Shin, wartawan politik muda yang pernah digelar ‘ace’ dan penerima termuda anugerah kewartawanan berprestij. Namun, kehidupannya berubah 180 darjah selepas disingkirkan akibat skandal rasuah besar-besaran, memaksanya bertugas di bahagian hiburan — jauh daripada dunia serius yang menjadi minatnya.
Foto terbaharu menunjukkan Wi Jung Shin dengan ekspresi serius dan penuh semangat, sebelum bertukar bingung selepas dipindahkan ke jabatan hiburan — menggambarkan perjalanan adaptasi penuh lucu dan cabaran. Dari wartawan politik berpengaruh, kini dia berdepan dunia gosip selebriti dan sensasi. Dalam kekalutannya itu, takdir mempertemukannya dengan pelakon popular Im Hyun Joon, mencetuskan hubungan yang tidak dijangka.
“Selepas beberapa projek berat dan serius, saya mahukan sesuatu yang segar. Watak Jung Shin ini melalui perjalanan yang huru-hara tapi menarik. Saya yakin saya boleh menjiwainya,” kata Lim Ji Yeon.
“Jung Shin ialah seseorang yang berani mempertahankan kepercayaannya. Tapi dunia membuatkannya berubah dan berkembang — bukan saja sebagai wartawan, tetapi juga sebagai manusia.”
💼 Kim Ji Hoon sebagai Lee Jae Hyung – Bekas Atlet Yang Kini Jadi CEO Menawan

Menambahkan warna pada jalan cerita, Kim Ji Hoon melakonkan watak Lee Jae Hyung, CEO baharu syarikat media Sports Eunsung. Dahulunya seorang bintang besbol terkenal, Jae Hyung kini memulakan lembaran baharu sebagai pemimpin yang karismatik dan berhati lembut.
Namun, kehidupannya mula berubah apabila dia terlibat dalam hubungan tidak dijangka dengan pekerjanya, Wi Jung Shin. Dikenali sebagai lelaki yang berani dalam soal cinta, Jae Hyung bersedia untuk menggoncang dunia Jung Shin dengan keikhlasannya.
“Skrip drama ini mempunyai daya tarikan ringan dan menyeronokkan. Saya juga teruja bekerjasama dengan Lee Jung Jae, Lim Ji Yeon dan Seo Ji Hye,” kata Kim Ji Hun.
“Watak Jae Hyung ialah lelaki berjaya, kacak dan romantik. Saya berikan perhatian khusus pada gaya dan aura sutnya bagi menonjolkan personalitinya yang elegan dan hangat.”
👩🏻💼 Seo Ji Hye sebagai Yoon Hwa Young – Ketua Editor Cantik, Bijak & Penuh Strategi

Seo Ji Hye pula memegang watak Yoon Hwa Young, ketua editor hiburan Sports Eunsung yang disegani ramai. Sebagai ketua editor termuda dalam sejarah syarikat, Hwa Young dikenali dengan intuisi tajam dan gaya profesional yang menawan. Namun di sebalik wajah tenangnya, tersembunyi emosi dan sisi rapuh yang tidak diketahui sesiapa.
Kehadirannya sering menimbulkan ketegangan dengan wartawan baharu Wi Jung Shin, dan apabila CEO baharu Lee Jae Hyung mula mempengaruhi hidupnya, dunianya yang selama ini seimbang mula tergugat.
“Saya tertarik dengan Yoon Hwa Young kerana dia kompleks — kelihatan dingin di luar, tapi sangat manusiawi di dalam. Saya mahu menggambarkan sisi lembut dan emosinya secara halus,” ujar Seo Ji Hye.
📺 Tarikh Tayangan
Drama “Nice To Not Meet You” dijadualkan tayang perdana pada 3 November, jam 8:50 malam (KST) di tvN,
dan boleh juga ditstrim menerusi platform Prime Video Malaysia.
Dengan gabungan empat pelakon hebat — Lee Jung Jae, Lim Ji Yeon, Kim Ji Hun dan Seo Ji Hye, drama ini menjanjikan kisah cinta, konflik dan kerjaya yang menghiburkan, dibalut dengan humor, karisma serta sindiran manis terhadap dunia hiburan Korea.

