3 Sebab Kenapa Anda Perlu Tonton Drama “Shin’s Project”

Bersiap sedialah untuk tayangan perdana drama terbaru tvN, “Shin’s Project”!

Drama ini menampilkan Han Suk Kyu sebagai Mr. Shin, bekas perunding legenda yang kini menguruskan sebuah restoran ayam goreng sederhana sambil menyembunyikan rahsia misteri. Sebagai ‘hero kejiranan’, Mr. Shin sering tampil membantu menyelesaikan pertelingkahan dan memberi keadilan dalam situasi yang kelihatan mustahil untuk diselesaikan.

Menjelang tayangan perdana, pihak produksi berkongsi tiga sebab kenapa anda wajib menonton drama ini!


1. Chemistry hebat antara pelakon utama

Han Suk Kyu dijangka memikat penonton dengan transformasi lakonan terbarunya, yang memaparkan sisi berbeza antara seorang perunding legenda dan pemilik restoran ayam. Beliau mampu menampilkan karisma yang seimbang — dingin tetapi juga penuh kehangatan.

Kehadiran Bae Hyeon Seong sebagai Jo Philip dan Lee Re sebagai Lee Si On menambah keterujaan untuk menyaksikan gandingan generasi berbeza yang menarik. Tidak ketinggalan, barisan penyokong Mr. Shin seperti Choi Chul (Kim Sung Oh), Kim Sang Geun (Kim Sang Ho), Madame Joo (Woo Mi Hwa), dan Kim Soo Dong (Jung Eun Pyo) menjanjikan hubungan pelbagai warna yang bakal mencetuskan lebih banyak intrik.


2. Cara unik Mr. Shin menyelesaikan konflik

Dengan kemahiran memasak yang hebat dan kepakaran berunding, telefon di restorannya berfungsi sebagai talian pesanan sekaligus talian penyelesaian masalah. Mr. Shin tidak terikat dengan peraturan semata-mata, sebaliknya menggunakan cara fleksibel — termasuk ‘melentur’ undang-undang — untuk mencari penyelesaian yang adil dan memuaskan kedua-dua pihak.

Kebolehannya berkomunikasi dan berunding dengan bijak akan menghadirkan pengakhiran yang memuaskan dalam situasi yang penuh tekanan, sekali gus memberikan rasa lega kepada penonton.


3. Jalan cerita penuh misteri

Pernah menjadi penasihat pasukan rundingan krisis Interpol dan profesor termuda di Harvard, kini Mr. Shin memilih untuk menguruskan restoran ayam selepas satu insiden di masa lalu. Ini menimbulkan tanda tanya besar — apakah yang mendorong beliau meninggalkan kerjaya hebatnya?

Walaupun kelihatan sudah menutup buku lama sebagai perunding, dia tetap sering ditarik kembali ke dunia perjanjian berisiko tinggi. Masa lalunya yang penuh misteri membuatkan penonton tertanya-tanya rahsia apa yang sebenarnya disembunyikan oleh Mr. Shin.


“Shin’s Project” akan ditayangkan pada 16 September jam 9.15 malam (MYT) di tvN Asia – Astro Ch395 & Astro GO | unifi TV Ch211 & unifi playTV. Siri ini juga turut tersedia untuk tontonan di Viu Malaysia.

Sumber : 1