12 Drama Terbaru Pelbagai Genre & Barisan Pelakon Hebat Akan Tayang Sepanjang September 2025

Annyeong, chinguyaa~~

Seperti biasa, kami takkan biarkan korang tercicir dari perkembangan drama Korea terbaru yang akan bersiaran sepanjang bulan September 2025

Bulan September ni memang meriah habis sebab banyak drama baru yang confirm akan temani hari-hari korang. Dari kisah cinta manis, survival penuh emosi, sampai lah ke thriller yang buat jantung berdegup laju — semuanya ada!

Apa yang best, barisan pelakonnya pun bukan calang-calang. Bayangkan nama besar macam Song Joong Ki, Kim Go Eun, Jun Ji Hyun, Kang Dong Woon, Rowoon, Lee Young Ae turun padang, mesti hype kan? Jadi standby je popcorn sebab watchlist korang memang akan jadi makin panjang bulan ni.

Jom kita tengok 12 drama Korea terbaru September 2025 yang wajib ada dalam radar korang! 

1. My Youth

  • Tarikh Tayangan: 5 September 2025
  • Penyiar: JTBC | Viu Malaysia
  • Barisan Pelakon: Song Joong Ki, Chun Woo Hee, Lee Joo Myoung, Seo Ji Hoon

“My Youth” ialah sebuah drama romantik penuh emosi yang menyoroti kisah Sunwoo Hae (Song Joong Ki), bekas pelakon kanak-kanak yang kini memilih kehidupan sederhana sebagai novelis dan pemilik kedai bunga. Hidupnya yang tenang mula berubah apabila cinta pertamanya, Sung Je Yeon (Chun Woo Hee), kembali selepas sedekad menghilang.

Pertemuan semula ini membuka kembali kenangan manis, luka lama yang belum sembuh, dan kemungkinan untuk sebuah permulaan baharu. Dengan tema penyembuhan, nostalgia, dan cinta yang tidak lapuk dek masa, “My Youth” menjanjikan sebuah kisah romantik yang menggetarkan hati.

2. Queen Mantis

  • Tarikh Tayangan: 5 September 2025
  • Penyiar: SBS | Netflix
  • Barisan Pelakon: Go Hyun Jung, Jang Dong Yoon, Lee El, Cho Seung Ha

“Queen Mantis” ialah sebuah drama thriller jenayah adaptasi daripada siri Perancis La Mante. Kisahnya berpusat pada Jung Yi Shin (Go Hyun Jung), pembunuh bersiri bergelar The Mantis yang dipenjara selepas membunuh lima lelaki dua dekad lalu. Namun, apabila muncul pembunuh baharu meniru gaya kejamnya, polis terpaksa mendapatkan bantuannya.

Lebih rumit, kes ini turut mempertemukannya dengan anaknya sendiri, Cha Soo Yeol (Jang Dong Yoon), seorang detektif yang membenci ibunya tetapi terpaksa bekerjasama dengannya demi menumpaskan pembunuh tiruan tersebut.

Sebuah thriller penuh ketegangan dengan konflik emosi ibu dan anak sebagai nadi utama kisahnya.

3. Confidence Queen

  • Tarikh Tayangan: 6 September 2025
  • Penyiar: TV Chosun | Prime Video Malaysia
  • Barisan Pelakon: Park Min Young, Park Hee Soon, Joo Jong Hyuk

“Confidence Queen” ialah drama penipuan bergaya tinggi yang diadaptasi daripada siri Jepun popular The Confidence Man JP.
Park Min Young membawakan watak Yoon Yi Rang, penipu genius dengan IQ 165 yang menggunakan kepintarannya untuk menipu golongan kaya dan korup melalui skema rumit.

Bersamanya, James (Park Hee Soon) si abang besar berkarisma klasik yang menjadi tonggak tenang kumpulan, dan Myung Gu Ho (Joo Jong Hyuk), si rookie polos tetapi penuh semangat yang menceriakan pasukan.

Gabungan trio unik ini menjanjikan strategi licik, penyamaran kreatif, serta kisah penuh humor dan kejutan plot twist yang mendebarkan.

4. Tempest

  • Tarikh Tayangan: 10 September 2025
  • Penyiar: Disney+ Hotstar Malaysia
  • Barisan Pelakon: Gianna Jun (Jun Ji Hyun), Kang Dong Woon, John Cho, Lee Mi Sook, Yoo Jae Myung, Park Hae Joon, Oh Jung Se, Kim Hae Sook, 

“Tempest” mengisahkan Moon Ju (lakonan Jun Ji Hyun), seorang duta besar PBB yang terkenal dengan ketegasan dan kredibiliti. Hidupnya berubah apabila beliau cuba membongkar kebenaran di sebalik cubaan pembunuhan terhadap calon presiden Korea, yang turut berkait rapat dengan ketegangan politik antara Korea Utara dan Selatan.

Dalam misi berisiko ini, Moon Ju dilindungi oleh Baek San Ho (lakonan Kang Dong Won), seorang ejen khas elit tanpa identiti kewarganegaraan yang jelas serta mempunyai masa silam penuh misteri. Bersama-sama, mereka membentuk pakatan rapuh — dibayangi rasa syak wasangka, rahsia negara, dan pengkhianatan yang menguji kepercayaan antara satu sama lain.

Dengan produksi bergaya, barisan pelakon ternama,“Tempest” menjanjikan sebuah spy thriller premium yang pantas, tegang, dan sesuai untuk ditonton maraton setiap minggu.

5. You and Everything Else

  • Tarikh Tayangan: 12 September 2025
  • Penyiar: Netflix
  • Barisan Pelakon: Kim Go Eun, Park Ji Hyun

“You and Everything Else” mengisahkan perjalanan dua sahabat seumur hidup, Eun Jung (Kim Go Eun) dan Sang Yeon (Park Ji Hyun). Hubungan mereka penuh kasih sayang, kekaguman, dan keakraban, namun tidak terlepas daripada rasa cemburu, perbandingan, serta dendam yang tersembunyi.

Seiring usia mereka menjangkau ke era 40-an, persahabatan ini berubah-ubah bentuk — kadang menjadi sokongan, kadang pula bertukar menjadi persaingan. Dalam keindahan dan kepedihan yang bercampur-baur, drama ini menyingkap makna persahabatan sebenar, luka akibat perbandingan yang berpanjangan, dan keindahan sebuah perdamaian.

Sebuah kisah introspektif yang menyentuh hati, “You and Everything Else” membawa penonton menyelami kerumitan hubungan wanita, yang kadangkala menjadi persaingan sengit, tetapi pada masa sama, ikatan yang mustahil dilepaskan.

6. A Hundred Memories

  • Tarikh Tayangan: 13 September 2025
  • Penyiar : Viu Malaysia
  • Tarikh Tayangan: 14 September 2025
  • Penyiar: vN Asia – Astro Ch395 & Astro Go, unifi TV Ch211 & unifi playTV⁣, Setiap Ahad  & Isnin, 9.15PM MYT
  • Barisan Pelakon: Kim Da Mi, Shin Ye Eun, Heo Nam Jun

“A Hundred Memories” membawa penonton kembali ke era penuh nostalgia tahun 1980-an melalui kisah persahabatan, cinta pertama, dan impian anak muda.

Drama ini mengisahkan Go Young Rye (Kim Da Mi), seorang konduktor bas muda di laluan 100 yang rajin bekerja tetapi menyimpan impian besar untuk melanjutkan pengajian ke universiti. Dia ditemani sahabat karibnya yang ceria dan penuh semangat, Seo Jong Hee (Shin Ye Eun). Bersama-sama, mereka juga berkongsi cinta pertama dengan Han Jae Pil (Heo Nam Jun), yang menambah lapisan manis dan pahit dalam perjalanan hidup mereka.

Menggabungkan elemen ketawa, persahabatan tulus, cinta remaja, serta cabaran hidup dalam masyarakat yang sedang berubah pesat, drama ini menjanjikan kisah yang penuh kehangatan dan emosi menyentuh hati. Penonton boleh menjangkakan nostalgia indah, percintaan lembut, dan penggambaran bersahaja tentang erti persahabatan sejati yang kekal segar walaupun masa berlalu.

7. Shin’s Project

  • Tarikh Tayangan: 15 September 2025
  • Penyiar:  Viu Malaysia
  • Tarikh Tayangan: 16 September 2025
  • Penyiar: tvN Asia – Astro Ch395 & Astro Go, unifi TV Ch211 & unifi playTV⁣, Setiap Selasa & Rabu, 9.15PM MYT
  • Barisan Pelakon: Han Suk Kyu, Bae Hyun Sung, Lee Re

“Shin’s Project” menyorot kisah Mr. Shin (lakonan Han Suk Kyu), seorang lelaki yang pernah digelar legenda dalam dunia rundingan. Dahulu, beliau menjadi penasihat krisis untuk FBI dan Interpol, malah mencatat sejarah sebagai profesor termuda yang mengajar kelas rundingan di Harvard.

Namun secara mengejutkan, Mr. Shin kini memilih kehidupan sederhana sebagai pemilik restoran ayam goreng di kejiranannya. Walaupun sudah meninggalkan kerjaya gah, naluri lamanya tidak pernah pudar. Beliau kerap mencampuri konflik — besar atau kecil — dengan kebijaksanaan serta keadilan, menjadikan dirinya seolah-olah pendamai rasmi komuniti setempat.

Disokong oleh Bae Hyun Sung dan Lee Re, drama ini menyajikan kisah penuh kehangatan tentang komuniti, belas kasihan, serta erti wira dalam kehidupan seharian. Penonton boleh menjangkakan gabungan mesej kehidupan, detik menyentuh hati dan watak yang penuh karisma.

8. To The Moon

  • Tarikh Tayangan: 19 September 2025
  • Penyiar: MBC
  • Barisan Pelakon: Lee Sun Bin, Ra Mi Ran, Jo Aram, Kim Young Dae

“To The Moon”, adaptasi daripada sebuah novel popular yang mengangkat kisah survival tiga wanita kelas pekerja. Drama ini mengisahkan realiti getir hidup bergaji kecil, diskriminasi di tempat kerja dan beban hutang yang menjerut kehidupan mereka. Dalam keadaan terdesak, mereka akhirnya memilih untuk terjun ke dunia pelaburan mata wang kripto sebagai jalan keluar.

Berdasarkan novel asalnya, drama tempat kerja ini mengikuti kisah tiga pekerja kontrak di sebuah syarikat konfeksi. Lee Sun Bin membawakan watak Jung Da Hae, seorang wanita yang cuba menyeimbangkan impian peribadi dengan masalah kewangan. Ra Mi Ran pula memegang watak Kang Eun Sang, seorang yang pragmatik, manakala Jo A Ram melakonkan Kim Ji Song, gadis ceria dan bebas. Kehadiran ketua pasukan data yang karismatik, Ham Ji Woo (lakonan Kim Young Dae) mencetuskan cabaran baharu serta percikan romantik yang tak disangka.

Drama ini membawa cerita yang realistik dan penuh makna, menggabungkan perjuangan hidup, keinginan mencapai cita-cita, serta cahaya harapan.

9. Walking On Thin Ice

  • Tarikh Tayangan: 20 September 2025
  • Penyiar: KBS
  • Barisan Pelakon: Lee Young Ae, Kim Young Kwang, Park Yong Woo

Walking on Thin Ice menandakan drama penuh suspens yang menyaksikan Lee Young Ae membuat kemunculan semula sebagai Kang Eun Soo — seorang suri rumah yang hidupnya mula musnah apabila suaminya jatuh sakit tenat dan keluarganya dibebani masalah kewangan.

Dalam keputusasaan, Eun Soo menemui sebuah beg misteri berisi dadah di rumahnya — penemuan yang membuka pintu ke dunia gelap yang langsung tidak pernah dibayangkannya. Ketika cuba menghubungi pengedar dadah, dia secara tidak sengaja bertemu Lee Kyung (Kim Young Kwang), guru seni sambilan kepada anak perempuannya, Soo Ah. Hubungan mereka yang pada mulanya sekadar ibu dan guru perlahan-lahan bertukar menjadi satu perjanjian sulit yang penuh risiko.

Ketegangan semakin memuncak apabila Detektif Jang Tae Gu (Park Yong Woo) mula menghidu jejak mereka. Antara keputusasaan, dilema moral dan perjuangan untuk terus bertahan, drama ini menawarkan sebuah kisah mendebarkan, emosional, dan sarat dengan kejutan.

10. The First Lady

  • Tarikh Tayangan: 20 September 2025
  • Penyiar: MBN
  • Barisan Pelakon: Eugene, Ji Hyun Woo, Lee Min Young

“The First Lady” mengisahkan Cha Soo Yeon (Eugene) yang sejak sekian lama mengimpikan kedudukan sebagai first lady. Namun, hidupnya porak-peranda apabila suaminya, presiden terpilih Hyun Min Cheol (Ji Hyun Woo), secara mengejut menuntut penceraian hanya 67 hari sebelum majlis angkat sumpah.

Drama ini bukan sahaja menyorot konflik rumah tangga yang sengit, malah membongkar jaringan konspirasi politik dan rahsia keluarga yang lama tersembunyi. Dalam tempoh getir menjelang hari bersejarah itu, kesetiaan, perasaan, dan kuasa diuji habis-habisan — menjadikan “The First Lady” sebuah melodrama politik yang penuh intensiti dan kejutan.

11. The Murky Stream

  • Tarikh Tayangan: 26 September 2025
  • Penyiar: Disney+ Hotstar Malaysia
  • Barisan Pelakon: Rowoon, Shin Ye Eun, Park Seo Ham

“The Murky Stream” adalah sebuah drama berlatar era Joseon abad ke-16, di sepanjang Sungai Gyeong — yang kini dikenali sebagai Sungai Han — aliran perdagangan bukan sahaja menjadi nadi ekonomi, tetapi turut dipenuhi dengan rasuah, perebutan kuasa dan penindasan.

Di sinilah bermula takdir tiga anak muda yang terikat oleh masa lalu tetapi terpisah kerana keadaan. Siyul (Rowoon), seorang bangsawan muda yang dikhianati hingga menjadi buruan dan akhirnya penguat kuasa geng; Jung Chun (Park Seo Ham), sahabat lamanya yang berjaya menjadi pegawai polis — posisi yang pernah diimpikan Siyul; serta Choi Eun (Shin Ye Eun), pedagang bijak dan berani yang berjuang di antara survival dan pemberontakan.

Takdir mempertemukan mereka semula. Terpisah oleh peranan, namun disatukan oleh tujuan, mereka akhirnya membentuk pakatan luar jangka untuk menentang kuasa besar yang menindas rakyat jelata.

12. Ms. Incognito

  • Tarikh Tayangan: 29 September 2025
  • Penyiar: ENA | Genie TV
  • Barisan Pelakon: Jeon Yeo Been, Jinyoung, Jang Yoon Ju, Joo Hyun Young, Seo Hyun Woo

“Ms. Incognito” ialah drama bergenre romantis, jenayah, dan thriller yang mengisahkan Kim Young Ran (Jeon Yeo Been), seorang pengawal peribadi dengan masa silam yang kelam. Terperangkap dalam hidup miskin, dia melihat peluang mengubah nasib apabila bersetuju untuk berkahwin kontrak dengan seorang pengerusi chaebol yang sedang nazak.

Bagi melindungi harta pusaka keluarga Gasung Group daripada mereka yang tamak, Young Ran diberikan identiti baharu sebagai Boo Se Mi — seorang wanita berhati hangat dari latar keluarga baik-baik. Selama tiga bulan, dia harus menyamar sebagai guru tadika di sebuah kampung kecil, sambil mengelak daripada ancaman yang memburu dirinya.

Namun, penyamarannya mula diragui oleh Jeon Dong Min (Jinyoung), seorang bapa tunggal yang bekerja sebagai petani strawberi dan juga penjaga kepada anaknya yang berada dalam kelas Se Mi. Walaupun penduduk kampung menyayanginya, Dong Min menjadi satu-satunya orang yang tidak mudah percaya pada guru sempurna itu. Dalam keadaan penuh tipu daya, cinta dan bahaya mula berjalin, membawa kepada konflik besar yang menguji siapa sebenarnya “Ms. Incognito”.

7 Of Our Favorite K-Drama Female Friendship Trios - Trends - In-Depth K-Pop  & K-Culture Insights | Kpopmap

Jadi, untuk peminat drama Korea, jangan lepaskan peluang untuk menonton drama-drama terbaru ini! Namun, perlu diingat bahawa setiap siaran drama ini mungkin tertakluk kepada sebarang perubahan oleh rangkaian penyiaran yang berkaitan. Penulis akan sentiasa mengemaskini jika terdapat sebarang perubahan. Happy watching, gais!