Kuala Lumpur, 15 Ogos 2025 – Malam 15 Ogos lalu menjadi detik penuh makna buat peminat K-POP di Malaysia apabila ahli kumpulan terkenal INFINITE, Jang Dong Woo, berjaya memukau ribuan penonton menerusi konsert jelajah solonya, 2025 JANG DONG WOO FAN-CON TOUR <CONNECTION> IN KUALA LUMPUR yang berlangsung di ZEPP Kuala Lumpur.
Acara bermula tepat jam 8 malam dengan penuh rasa hormat apabila lagu kebangsaan Malaysia, “Negaraku”, diperdengarkan sebagai pembukaan fan-con. Seluruh dewan berdiri sambil menyanyikan lagu kebangsaan, mencipta suasana penuh kebanggaan sebelum Jang Dong Woo muncul di pentas.
Malam penuh energi itu menampilkan setlist khas yang dipersembahkan secara eksklusif untuk peminat Malaysia:
-
TGIF
-
Romeo
-
News
-
Gun
-
Checkmate
-
Party Girl
-
Sugarcoat
-
UP
-
Something Between
Sebagai penutup, Jang Dong Woo kembali ke pentas dengan persembahan encore istimewa menerusi dua lagu kegemaran peminat iaitu Perfect dan You.
Selain persembahan muzik, segmen “Ddoddo Stagram” mencuri perhatian apabila Jang Dong Woo berkongsi gambar-gambar aktivitinya sehari sebelum fan-con. Beliau tiba lebih awal di Kuala Lumpur untuk berjalan-jalan, dan beberapa foto dipaparkan di skrin besar. Antaranya ketika beliau menikmati durian dan sate di Jalan Alor, serta berjalan-jalan di Pavilion.
Momen lucu tercipta apabila beliau menceritakan pengalaman terkena hujan di Kuala Lumpur. Daripada membeli payung, Jang Dong Woo memilih untuk menutup kepala dengan plastik kerana berpendapat payung terlalu mahal. Lawak spontan itu membuatkan peminat ketawa berdekah, apatah lagi apabila beliau dengan selamba berkata, “lebih baik guna plastik daripada beli payung.”
Jang Dong Woo turut meluahkan rasa sukanya terhadap makanan tempatan, terutamanya sate. “Saya sangat suka sate di Malaysia, kuah kacangnya sedap sekali, sangat sesuai dimakan bersama sate,” katanya, sambil mendapat sorakan bangga daripada peminat tempatan.
Lebih menarik, Jang Dong Woo turut mengadakan segmen permainan interaktif berjudul “2025 JDW AWARDS IN CONNECTION.” Semua penonton diberikan poster bernombor 1 dan 2 untuk menjawab soalan kuiz yang diajukan sendiri olehnya. Gelak tawa memenuhi dewan setiap kali soalan diumumkan, dan peminat yang berjaya menjawab dengan betul dipilih sebagai pemenang lalu menerima hadiah istimewa terus daripada tangan Jang Dong Woo.
Sepanjang acara, Jang Dong Woo tidak hanya menghiburkan peminat dengan persembahan mantap, tetapi juga dengan perwatakan ceria dan sikap mesra yang membuatkan suasana terasa intim dan penuh kekeluargaan. Setiap ucapannya diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh penterjemah rasmi acara, memastikan mesej penuh emosi, rasa syukur, serta jenaka beliau benar-benar difahami oleh peminat Malaysia.
Kuala Lumpur merupakan salah satu destinasi dalam jelajah “CONNECTION” yang turut singgah di Seoul, Taipei, Manila dan Hong Kong. Seperti di lokasi lain, Jang Dong Woo menekankan bahawa fan-con ini adalah ruang untuk meraikan perjalanan seninya dan menghargai ikatan erat bersama peminat yang telah bersamanya lebih daripada satu dekad.
Bagi peminat, malam tersebut bukan sekadar sebuah konsert, tetapi satu pengalaman berharga yang dipenuhi dengan tawa, tangisan gembira, serta memori indah bersama seorang artis yang bukan sahaja berbakat, tetapi juga berhati tulus.
Terima kasih kepada pihak Star Planet Sdn Bhd yang telah merealisasikan impian peminat Jang Dong Woo di Malaysia. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih atas peluang kepada KMania untuk merakamkan momen indah bersama Jang Dong Woo.
Jangan lupa untuk Follow dan Like KMania di Facebook, Twitter, Instagram , TikTok dan Youtube untuk tonton lebih banyak lagi video 2025 JANG DONG WOO FAN-CON TOUR <CONNECTION> IN KUALA LUMPUR dan untuk mendapatkan lebih banyak perkembangan terkini tentang dunia hiburan Korea.