Drama terbaru JTBC berjudul The Nice Guy bakal menemui penonton, dan pihak produksi telah mendedahkan beberapa sebab utama mengapa anda harus menantikan tayangannya!
The Nice Guy merupakan drama noir yang mengikuti kisah Park Seok Chul (lakonan Lee Dong Wook), cucu sulung dalam keluarga gangster generasi ketiga yang memiliki hati yang tulus, dan cinta pertamanya, Kang Mi Young (lakonan Lee Sung Kyung), seorang wanita yang menyimpan impian untuk bergelar penyanyi.
Berikut adalah 3 sebab utama kenapa anda patut beri perhatian kepada drama ini:
1. Pasukan Produksi Yang Dipercayai
Drama ini diarahkan bersama oleh Song Hae Sung, yang terkenal dengan filem seperti Failan, Boomerang Family, dan Maundy Thursday, serta Park Hong Soo yang sebelum ini terlibat dalam drama Lost. Naskhahnya pula ditulis oleh Kim Woon Kyung (Yoona’s Street, The Moon of Seoul, There Is a Bluebird) bersama Kim Hyo Seok yang menghasilkan filem Yadang: The Snitch.
Drama ini turut menjadi produksi televisyen pertama oleh Hive Media Corp—syarikat di sebalik filem besar seperti 12.12: The Day, The Man Standing Next, Inside Men dan Deliver Us from Evil.
Pengarah Song Hae Sung berkata:
“Pada intinya, The Nice Guy mengisahkan seorang lelaki yang menemui cinta dan mengenali dirinya sendiri melalui cabaran hidup. Watak Park Seok Chul adalah daya tarikan utama — seorang gangster yang ingin menjadi penyair, yang tetap mengekalkan sisi naif meskipun hidup dalam dunia yang kejam.”
Beliau turut menambah bahawa drama ini unik kerana menggabungkan ketegangan noir, emosi melodrama, serta kehangatan dan keinsanan drama keluarga.
Penulis Kim Hyo Seok pula berkata:
“Saya ingin sampaikan mesej empati. Semua watak dalam drama ini sedang mencari versi diri yang lebih baik — seperti manusia biasa, mereka cuba setia kepada realiti hidup sambil terus berharap untuk berubah.”
2. Kisah Cinta Menyentuh Hati Park Seok Chul dan Kang Mi Young
Salah satu elemen yang paling dinantikan dalam drama ini ialah kisah cinta yang menggetarkan hati antara Park Seok Chul, “lelaki yang punya banyak untuk dilindungi,” dan cinta pertamanya, Kang Mi Young.
Lee Dong Wook membawakan watak Park Seok Chul, seorang lelaki yang dahulunya bercita-cita menjadi novelis seperti Ernest Hemingway, namun terpaksa terjerumus ke dunia gangster demi kelangsungan hidup. Ketika dia nekad untuk ubah nasib, takdir menemukan semula dirinya dengan Mi Young.
Lee Sung Kyung pula sebagai Kang Mi Young, seorang wanita yang masih berpegang pada impiannya menjadi penyanyi, walaupun dihantui ketakutan pentas dan tekanan hidup. Pertemuan semula dengan Seok Chul menjadi titik perubahan besar buatnya.
Pengarah Song menyifatkan hubungan mereka sebagai “penyempurnaan,” sambil menjelaskan:
“Mereka saling melengkapi. Seok Chul kembali temui ketulusan melalui Mi Young, dan Mi Young pula menemui keberanian untuk berdepan dunia melalui Seok Chul.”
3. Barisan Pelakon Hebat dan Bertaraf Bintang
Selain Lee Dong Wook dan Lee Sung Kyung, drama ini turut menampilkan pelakon-pelakon berkaliber seperti Park Hoon, Oh Na Ra, Ryu Hye Young dan Chun Ho Jin.
- Park Hoon sebagai Kang Tae Hoon, ketua Samjun Construction — kumpulan pesaing kepada tempat kerja Seok Chul. Dia pernah berada dalam organisasi yang sama dengan Seok Chul, namun jatuh cinta pandang pertama kepada Kang Mi Young, menjadikan hubungan tiga segi antara mereka semakin tegang.
- Oh Na Ra memegang watak kakak Seok Chul, Park Seok Kyung — seorang pembuat onar yang pernah gagal dalam perkahwinan dan perniagaan, sebelum terjerumus ke dunia perjudian dan menanggung hutang.
- Ryu Hye Young pula sebagai adik bongsu Seok Chul, Park Seok Hee — seorang jururawat bijak yang menjadi kebanggaan keluarga, namun kelak terpaksa memilih antara impian dan realiti hidup.
- Chun Ho Jin sebagai Park Sil Gon, ketua keluarga dan bekas gangster terkenal yang kini hidup tenang di kampung sambil menanam sayur, namun masih dibelenggu rasa bersalah kerana mendorong anaknya ke jalan gelap.
Pihak produksi menzahirkan keyakinan tinggi terhadap barisan pelakon:
Pengarah Song berkata,
“Memilih pelakon yang serasi dengan watak adalah segalanya. The Nice Guy ialah hasil kerja pasukan yang sangat bergantung pada kekuatan lakonan mereka.”
Penulis Kim Hyo Seok menambah,
“Saya tak pernah bayangkan orang lain melakonkan watak-watak ini. Pemilihan pelakon kali ini rasa macam takdir.”
Poster Terbaru – Lee Dong Wook, Lee Sung Kyung dan Park Hoon Terperangkap dalam Cinta Tiga Segi Berbahaya
Poster terbaru menggambarkan ketegangan dalam cinta tiga segi antara Park Seok Chul, Kang Mi Young dan Kang Tae Hoon (Park Hoon). Kontras emosi ditampilkan melalui renungan tajam Seok Chul yang menahan perasaan dan sikap dingin Tae Hoon yang menyembunyikan niat sebenar. Di tengah mereka, Mi Young kelihatan sedih, menambahkan rasa ingin tahu penonton terhadap konflik emosi yang akan berlaku.
Ketiga-tiga watak ini bakal berdepan detik penting dalam hidup masing-masing apabila impian, cinta dan kesetiaan saling bertembung. Frasa pada poster “Aku mahu lindungi cinta dan impian sekaligus” memberi bayangan tentang dilema dan nasib yang bakal menanti mereka di persimpangan hidup.
Tarikh Tayangan
Drama The Nice Guy mula bersiaran 18 Julai 2025, setiap Jumaat jam 8:50 malam KST di JTBC dan Disney+ Hotstar Malaysia (2 episod setiap minggu).