Park Bo Gum, Kim So Hyun, Lee Sang Yi dan Lain-lain Jadi Bekas Atlet Bergelar Polis dalam Drama Aksi Komedi “Good Boy”

Drama baharu terbitan JTBC berjudul Good Boy membawakan kisah unik tentang sekumpulan bekas atlet kebangsaan yang kini menggalas tugas sebagai anggota polis. Menampilkan bintang popular seperti Park Bo Gum, Kim So Hyun, Lee Sang Yi, Heo Sung Tae dan Tae Won Suk, drama ini menggabungkan elemen aksi, komedi dan semangat perjuangan dalam dunia penuh ketidakadilan.

Dalam Good Boy, lima watak utama—Yoon Dong Joo (Park Bo Gum), Ji Han Na (Kim So Hyun), Kim Jong Hyun (Lee Sang Yi), Go Man Sik (Heo Sung Tae) dan Shin Jae Hong (Tae Won Suk)—menyertai pasukan polis melalui program pengambilan khas untuk atlet negara. Mereka menukar pingat kepada lencana dan membentuk pasukan khas bagi menangani jenayah ganas. Setiap seorang membawa semangat kesukanan dan kekuatan tersendiri untuk menentang dunia yang penuh korupsi, tipu daya dan kezaliman.


Daripada Pingat Emas ke Lencana: Perjalanan Lima Wira Baru

Yoon Dong Joo (Park Bo Gum)

Bekas juara tinju dan wira negara ini pernah mengharumkan nama Korea dengan menggigit pingat emasnya di podium. Namun selepas menyertai pasukan polis, realitinya tidak seindah jangkaan. Disebabkan beberapa insiden, dia diturunkan pangkat dan kini perlu bermula semula sebagai anggota baru. Meskipun kelihatan kasar dan panas baran, Yoon Dong Joo sebenarnya dipacu oleh semangat keadilan yang membara dan hati yang penuh belas.

Park Bo Gum menyifatkan wataknya sebagai “seorang ‘bulldozer’ yang tak beri ruang pada kejahatan kecil sekalipun, dan sanggup berjuang habis-habisan untuk kebenaran.”

Ji Han Na (Kim So Hyun)

Digelar “Dewi Menembak” ketika zaman kegemilangannya, Ji Han Na adalah penembak tepat yang menguasai kejohanan sejak zaman sekolah menengah. Kini sebagai anggota polis, dia berdepan kekecewaan apabila sering dijadikan wajah promosi sahaja tanpa terlibat dalam operasi sebenar. Walaupun kelihatan tenang dan dingin, hatinya berapi dengan keazaman dan kejelasan fokus.

Kim So Hyun menggambarkan Ji Han Na sebagai radar yang mampu menganalisis keadaan dengan tenang tanpa dipengaruhi emosi, dan membuat keputusan yang tepat.

Kim Jong Hyun (Lee Sang Yi)

Bekas pemenang pingat perak sukan lawan pedang ini dikenali dengan ketajaman fikiran dan refleks pantas. Kini seorang pegawai siasatan dalam pasukan khas, dia terkenal dengan pendekatan logik, tegas dan berdisiplin. Di sebalik sikapnya yang teliti dan analitik, wujud sisi lembut dan luka lama yang masih belum sembuh.

Lee Sang Yi menyamakan wataknya seperti “cermin mata yang retak – mungkin berisiko, tapi sukar ditinggalkan kerana ia paling sesuai dengan dirinya.”

Go Man Sik (Heo Sung Tae)

Pernah merangkul pingat gangsa dalam acara gusti, Go Man Sik kini menjadi Ketua Unit Jenayah Keganasan. Lebih selesa dengan jaket penyiasat daripada singlet gusti, dia menggunakan pengalamannya dalam dunia sukan dan siasatan untuk menjadi pemimpin yang mampu menyatukan pasukan.

Menurut Heo Sung Tae, Go Man Sik ibarat figura bapa—kadangkala takut dan ragu, tetapi tetap mara demi keluarga dan rakan setugas.

Shin Jae Hong (Tae Won Suk)

Bekas atlet lontar cakera ini memiliki fizikal menggerunkan, namun disertai dengan ekspresi ceria yang mengejutkan. Demi menyara keluarga, dia memilih untuk bertugas di bahagian keselamatan lalu lintas supaya dapat fokus pada peperiksaan kenaikan pangkat. Walaupun kerap memberi alasan untuk menjauhi tempat kejadian jenayah, tindakannya dalam saat genting adalah antara yang paling ditunggu.

Tae Won Suk menggambarkan wataknya sebagai pohon pine hijau – sentiasa berdiri teguh, setia dengan pasukan, dan bersedia bila diperlukan.


Antagonis yang Menggoncang: Min Joo Young (Oh Jung Se)

Di sebalik lima wira ini, muncul Min Joo Young (Oh Jung Se), seorang pegawai kastam biasa yang menyembunyikan sisi gelap sebagai penjahat utama dalam cerita ini. Poster wataknya berbeza sepenuhnya—latar hitam dan simbol “X” menggantikan ikon sukan—menyerlahkan kontras antara dia dan lima bekas atlet yang kini memburunya.

Oh Jung Se berkata, “Melalui watak ini, saya ingin menggambarkan raksasa yang wujud dalam kalangan kita. Kita perlu ingat, hukum dan kawal mereka.”


Kata Pasukan Produksi: Kombinasi Tidak Dijangka, Semangat Tidak Pernah Padam

Pihak produksi Good Boy menyatakan, “Drama ini memaparkan kisah anak muda yang pernah bersinar sebagai atlet kebangsaan dan kini bersatu di bawah satu pasukan polis untuk menentang segala ‘kesalahan’ dalam dunia.” Mereka menambah, “Saksikan bagaimana gabungan personaliti berbeza ini membentuk satu pasukan yang padu dengan pelbagai liku dan perkembangan menarik.”

Good Boy bukan sekadar tentang aksi, tetapi juga tentang perubahan, semangat juang dan makna sebenar menjadi wira dalam masyarakat hari ini. Saksikan Good Boy bermula 31 Mei ini menerusi rangkaian JTBC dan tersedia untuk tontonan diplatform Prime Video Malaysia.

Sumber : 1 | 2