Drama penuh teka-teki dan kejutan ini bakal buat penonton tak senang duduk dari awal hingga akhir!
Disney+ Hotstar bakal menampilkan drama Korea terbaru berjudul Nine Puzzles, lakonan Kim Da Mi dan Son Suk Ku, yang akan mula ditayangkan pada 21 Mei ini. Drama ini antara siri paling dinantikan tahun ini selepas kejayaan Unmasked dan Hyper Knife.
Nine Puzzles mengisahkan Yoon Yi Na, seorang pelajar sekolah menengah yang menemui mayat bapa saudaranya bersama sekeping puzzle. Namun, dia sendiri tidak pasti bagaimana dia boleh berada di tempat kejadian. Tanpa sebarang jawapan yang jelas, pihak polis mula mengesyakinya sebagai pembunuh. Sepuluh tahun kemudian, Yi Na kini menjadi seorang profiler jenayah. Namun hidupnya kembali diganggu apabila satu siri pembunuhan baru muncul — dan setiap mangsa ditemui bersama sekeping puzzle, persis kes dahulu.
Detektif Kim Han Saem, yang masih mempercayai Yi Na terlibat dalam kes lama itu, kini terpaksa bekerjasama dengannya untuk merungkai misteri di sebalik pembunuhan bersiri tersebut.
Drama ini dibintangi Kim Da Mi sebagai Yi Na, dan Son Suk Ku sebagai Detektif Kim Han Saem. Turut membintangi ialah Kim Sungkyun sebagai Ketua Polis Yang Jungho dan Hyun Bongsik sebagai Detektif Muda Choi San. Ia diarahkan oleh Yoon Jongbin (Narco-Saints, The Spy Gone North) dan ditulis oleh Lee Eunmi (Tunnel, Navillera).
Poster rasmi Nine Puzzles juga mencuri perhatian ramai. Dengan gaya seperti kulit novel penyiasatan, ia memaparkan pergerakan Yi Na pada malam pembunuhan — dari saat dia keluar sekolah hinggalah pulang ke rumah. Visual ini mengundang persoalan besar: apakah sebenarnya yang berlaku malam itu?
Nine Puzzles akan dilancarkan dengan enam episod serentak pada 21 Mei, eksklusif di Disney+ Hotstar. Kalau anda penggemar kisah penyiasatan dan misteri penuh teka-teki, drama ini memang wajib masuk senarai tontonan!