Kim Jae Young berkongsi tentang masa muda, wataknya dalam “The Judge From Hell,” keserasian bersama Park Shin Hye, dan banyak lagi

Kim Jae Young menyertai sesi fotografi dan temubual eksklusif bersama Singles Korea!

Dalam sesi temubualnya, Kim Jae Young memilih pakaian bertemakan remaja sebagai pilihan kegemarannya kerana ia mengingatkannya pada zaman mudanya. Ketika ditanya tentang apa maksud sebenar menjadi muda, dia berkata, “Menjadi muda bermaksud terbuka terhadap komunikasi dan hubungan. Semakin saya meningkat usia, saya kadangkala merasakan diri saya berpegang teguh kepada idea-idea tertentu semasa berhubung atau berbual dengan orang lain. Saya sering menjadi pusat perbualan tersebut, dan jika saya tidak mampu memberi ruang, ia boleh menyebabkan konflik. Namun, apabila saya bekerja dan berbual dengan rakan-rakan yang lebih muda, yang berusia sekitar 15 hingga 17 tahun lebih muda daripada saya, saya menemui banyak persamaan dan belajar pelbagai pengajaran berharga daripada mereka. Saya cuba menerima bahawa walaupun terdapat perbezaan luaran, ada pengalaman hidup yang boleh dikongsi oleh semua orang.”

Mengenai wataknya dalam “The Judge from Hell,” Kim Jae Young menerangkan, “Walaupun watak saya digambarkan sebagai detektif yang penuh semangat, Han Da On sebenarnya seorang yang sangat sensitif. Drama ini bergenre sci-fi fantasi, di mana seorang hakim bernama Kang Bit Na dirasuk oleh syaitan, dan selepas bertemu dengan Han Da On, dia menghukum orang yang bersalah. Dalam cerita ini, watak Park Shin Hye, Kang Bit Na, perlu menahan diri daripada bersimpati dengan manusia, manakala Han Da On pula perlu bersimpati secara mendalam dengan para mangsa. Ini ternyata lebih mencabar daripada yang saya jangkakan. Apabila menonton berita, saya merasa sedih, tetapi melainkan perkara itu melibatkan saya secara langsung, biasanya saya tidak begitu mengambil berat. Kebanyakan orang hanya benar-benar bersimpati terhadap perkara yang mereka minat saja, bukan?”

 

Ketika ditanya tentang cabaran lain yang dihadapinya semasa penggambaran, Kim Jae Young menjelaskan, “Cabaran terbesar ialah menerima kewujudan syaitan. Pada mulanya, saya dan pengarah agak buntu tentang bagaimana untuk mengakui kewujudan syaitan sebagai manusia dan bagaimana untuk berhubung secara emosi dengannya. Secara jujur, ia agak membingungkan. Bagaimana kita boleh mempercayai sesuatu yang tidak dapat dilihat? Namun, akhirnya ia berjaya, dan saya fikir Han Da On akan menjadi jambatan antara penonton dan dunia fantasi cerita ini. Peranan saya melibatkan menjelaskan perkara yang sukar dipercayai melalui sudut psikologi manusia.”

Bercakap tentang keserasian dengan Park Shin Hye, yang merupakan kali pertama mereka bekerjasama, Kim Jae Young berkata, “Dia dua tahun lebih muda daripada saya tetapi jauh lebih berpengalaman kerana dia memulakan karier sebagai pelakon kanak-kanak. Pada mulanya, saya rasa agak janggal, tetapi selepas berbual dengannya, saya menyedari dia seperti seorang adik kepada saya. Apa yang dapat saya pelajari daripadanya semasa penggambaran adalah sikap profesionalismenya. Walaupun masa penggambaran yang panjang dan meletihkan, dia mampu mengawal emosinya dengan baik dan tidak menunjukkan tanda-tanda berdepan dengan tekanan. Melihatkan itu memberi saya motivasi sebagai rakan pelakonnya. Dia banyak membantu dalam memastikan projek ini bergerak ke hadapan, dan saya banyak belajar daripadanya.”

Dalam temubual terdahulu, Kim Jae Young menyatakan penghargaan terhadap pelbagai pengalaman dan cabaran dalam dunia lakonan. Mengenai semangatnya untuk terus berkembang dalam bidang ini, dia berkata, “Saya masih berpendapat seperti itu tentang lakonan. Sesuatu projek mengambil masa sekitar tujuh hingga lapan bulan untuk diselesaikan. Dalam tempoh itu, saya fokus untuk memahami watak saya dan benar-benar menjadi watak tersebut. Saya juga seronok menjalani pelbagai kehidupan secara tidak langsung. Dalam projek ini, Han Da On ialah seorang yang sangat berhati mulia. Dia terus mengejar impiannya dan mengambil tanggungjawab penuh, yang saya rasa sangat mengagumkan. Apabila menghadapi kesukaran, adalah normal untuk meragui diri sendiri, tetapi Han Da On tetap maju ke arah impiannya. Melihat itu membuatkan saya merenung diri sendiri, dan saya menghargai hubungan semulajadi antara watak itu dengan diri saya.”

Penemubual juga menyatakan bahawa Kim Jae Young nampak seperti seorang yang sentiasa belajar dan berkembang. Kim Jae Young menjawab, “Saya telah melakukan banyak perkara dalam hidup, tetapi masih banyak lagi yang belum saya alami. Saya lebih menyedari perkara ini ketika saya mendalami bidang lakonan. Baru-baru ini, saya terfikir untuk mencabar diri dalam drama percintaan manusia, kerana saya belum banyak melakonkan peranan sebegitu.”

Fotografi penuh dan temubual Kim Jae Young akan tersedia dalam edisi Oktober Singles Korea. Jangan lupa untuk saksikan drama terbaru Kim Jae Young “The Judge From Hell” di Disney+ Hotstar pada setiap Jumaat dan Sabtu.

Sumber : 1

loading...