[Review Filem] Decibel : Detikan Bunyi Penentu Letupan

Apabila tahap bunyi bergema menjadi penentu letupan sudah pasti segala tindakan patut diputuskan sepantas saat jam bergerak.

Filem “Decibel” yang mengangkat tema aksi ini diarahkan oleh pengarah berkaliber iaitu Hwang In Ho (Monster, Spellbound) telah menelan kos perbelanjaan sebanyak US $9 juta. “Decibel” juga telah berjaya menghimpunkan bebeapa nama besar yang tidak asing lagi seperti Kim Rae Won (The Doctors, Love Story In Harvard, My Little Bride), Jung Sang Hoon (My Contracted Husband Mr. Oh, Again My Life, Become Witch), Park Byun Eun ( Kingdom series, Alchemy of Souls), Lee Min Ki (Monster, Spellbound, Be Strong Geum-Soon), Lee Sang Hee (Our Love Story, All of Us Are Dead), Jo Dal Hwan (All of Us Are Dead, My Tutor Friend) dan yang paling menarik adalah dengan penampilan utama Lee Jong Suk (Big Mouth, I Can Hear Your Voice, W) dan Cha Eun Woo (Gangnam Beauty, True Beauty).

Baru-baru ini, Kmania telah berpeluang untuk menghadiri majlis pra-tonton filem “Decibel.” Jadi, Min akan kongsikan sedikit review dari filem ini dan mungkin akan ada sedikit spoilers juga. Untuk pengetahuan, “Decibel” memulakan tayangannya secara rasmi pada 1 Disember dipawagam seluruh Malaysia dan juga Brunei.

Review

“Decibel” berkisarkan mantan komandan angkatan laut Kang Do Young yang menerima panggilan misteri ketika dia sedang dalam perjalanan memberikan pengakuan untuk kesekian kali kepada awam berkenaan dengan peristiwa malang yang menimpa kapal selam di bawah tanggungjawabnya di mana ia telah mengorbankan nyawa separuh daripada anggotanya. Pemanggil misteri tersebut memberitahu bahawa dia telah memasang bom didua lokasi yang berasingan dan mengarahkan Komandan Kang untuk membuat pilihan lokasi yang mana patut dia selamatkan dahulu.

Pada mulanya Komandan Kang tidak mengendahkan panggilan tersebut kerana menjangkakan panggilan tersebut adalah palsu. Dalam masa yang sama fikirannya sarat dipenuhi dengan keresahan untuk berhadapan dengan para media dan orang awam kerana dia masih lagi dihantui serta dibebani dengan rasa bersalahnya. Apatah lagi bila keputusannya masih lagi dipersoalkan oleh para waris mangsa kejadian kerana dirasakan masih tidak mencukupi dan meyakinkan.

Namun, ketika melihat siaran berita fikirannya mengimbau panggilan yang diterima dari pemanggil misteri tersebut di mana dia diberitahu bahawa bom telah diletupkan disalah satu rumah kepunyaan anggota tertinggi tentera laut. Di saat itulah, Komandan Kang menyedari informasi yang diberikan kepadanya benar-benar terjadi dan bermulalah ketegangan perasaan di mana Komandan Kang kini terpaksa bertarung melawan masa untuk meyelamatkan nyawa orang awam yang berada dibeberapa lokasi di mana  bom lain telah ditanam.

Ketika Komandan Kang berusaha mencari bom tersebut secara tidak sengaja dia bertembung dengan seorang pemberita; Oh Dae Oh yang sekali gus membantunya untuk menjejaki bom yang terpasang.

Bom yang akan meletup apabila menerima tindak balas bunyi bising yang mencapai lebih 100 decibel telah dipasang dibeberapa kawasan awam seperti stadium bola sepak, taman permainan kanak-kanak dan pusat renang kanak-kanak. Manakala si penganas tersebut mengarahkan Komandan Kang untuk memilih lokasi mana yang patut dia selamatkan dahulu.

Yang paling sadis sekali apabila ahli keluarga Komandan Kang terlibat dalam percaturan yang diatur oleh penganas ini, di mana isterinya yang bertugas sebagai pasukan pemusnah bom berusaha mematikan bom ditaman permainan dan dalam masa yang sama juga anak perempuan mereka telah diculik. Perkara itu akhirnya memberi maklumat di mana penganas yang disyaki adalah salah seorang anggota yang terlibat dalam kejadian malang kapal salam tersebut.

 

Dari awal sehingga ke akhir, filem ini sememangnya sangat memacu adrenalin penonton dengan disertai aksi suspen dari setiap pelakon. Kim Rae Won selaku Komandan yang terpaksa memilih di antara nyawa orang awam atau nyawa keluarga tercinta. Lee Jong Suk pula sebagai Jun Tae Sung, bekas Kapten tentera laut yang merupakan pakar bahan letupan. Jun Tae Sung bertukar menjadi penganas setelah mengalami tekanan jiwa dan ingin membalas dendam dengan menghukum bekas ketuanya rentetan daripada peristiwa malang kapal selam yang berlaku sebelum itu.

Park Byung Eun sebagai Agen Khas Risikan Tentera yang berada dipersimpangan dilema sama ada untuk menghukum Komandan Kang ataupun membunuh penganas Jun Tae Sung. Biarpun dipenuhi dengan aksi tegang, namun watak pemberita Oh Dae Oh lakonan Jung Sang Hoon yang mencuit hati sedikit membantu dalam meredakan adrenalin penonton.

Penampilan singkat Lee Min Ki yang pernah berkerjasama dengan pengarah Hwang In Ho dalam drama “Monster” dan “Spellbound” tetap memberi impak yang sangat berkesan sebagai Pembantu Komandan Kang.  Manakala Cha Eun Woo pula yang merupakan Pegawai Kadet yang pakar dalam mengesan bunyi cukup meninggalkan kesan biarpun hanya dengan pandangan mata tajam dan senyuman manis tanpa mengeluarkan banyak kata-kata. Kedua-dua mereka merupakan pegawai yang taat setia dan sangat menghormati setiap arahan yang diberikan oleh Komandan Kang.

Bagi anda yang masih belum menonton DECIBEL, anda boleh lakukannya sekarang kerana filem ini telah pun ditayangkan diseluruh pawagam di Malaysia seperti DI SINI atau DI TGV Cinema.

loading...