Sung Hoon didapati telah terlelap ketika mengadakan IG Live bersama peminatnya pada awal pagi semalam, 27 Jun 2020.
Sesi IG Live itu disaksikan oleh ribuan netizen yang cuba mengejutkan Sung Hoon menerusi komentar-komentar tertulis di ruang tersedia di dalamnya. Tindakan itu diambil berikutan bunyi salakan anjing dan telefon yang tak henti-henti berdering tidak berjaya membuatkan pelakon tersebut terjaga daripada tidurnya. Kendatipun terdengar sayup bunyi dengkurannya, kamera yang diajukan ke arah siling bumbung tanpa menunjukkan keadaan rupa Sung Hoon ketika sedang tidur juga membuatkan netizen ingin tahu samada Sung Hoon berada di dalam keadaan selamat atau tidak.
Namun sekitar jam 5.20 pagi, seorang individu disangka sebagai pengurusnya cepat-cepat tiba ke rumahnya lalu menutup butang IG Live. Netizen berasa lega selepas mendapati Sung Hoon terselamat tanpa kejadian tidak diingini berlaku kepadanya.
Sung Hoon dikatakan sedang mengalami penyakit insomnia dan sedang mengubatinya dengan berlatih mengadakan IG Live dari semasa ke semasa. Dalam pendedahan dibuatnya di dalam MBC I Live Alone, Sung Hoon berkata, “Tak tahu sebab apa. Bila aku buka saja IG Live, terus aku terasa nak mengantuk.” Malah, Sung Hoon dilihat mudah tertidur sebaik saja mengadakan IG Live dan menutup lampu biliknya.
Sumber: enews24