Changmin daripada kumpulan duo popular, TVXQ mengumumkan akan berkahwin dengan kekasihnya pada bulan September ini.
Menurut Changmin, wanita itu yang dipercayainya dengan sepenuh hati telah menyebabkannya memutuskan untuk terus mengadakan majlis perkahwinan pada bulan September ini. “Saya mahu berterima kasih kepada Yunho kerana menyokong keputusan saya dan juga staf yang memberikan nasihat berguna,” katanya ditujukan buat rakan susah dan senang, Yunho di dalam kumpulan yang sama.
Dalam pada itu, Changmin turut menghargai jasa peminat yang tetap menyokong kerjayanya sebagai penyanyi sejak ‘debut’ 17 tahun lalu. “Bila dilihat balik, ada masa kami ragu-ragu tentang apa yang akan terjadi kepada TVXQ, tetapi peminat tetap melindungi TVXQ. Disebabkan peminat menyayangi kami, kami mampu untuk pergi lebih jauh. Terima kasih banyak-banyak,” katanya.
TVXQ debut pada tahun 2003 dengan lima orang ahli, dan nama lain kumpulan tersebut ialah DBSK atau Tohoshinki. Bagaimanapun, kumpulan itu berpecah pada tahun 2009 apabila 3 orang daripadanya, Kim Jaejoong, Park Yoo Chun dan Xiah Junsu bertindak menamatkan kontrak bersama SM Entertainment lalu menubuhkan kumpulan trio lain, JYJ ketika TVXQ menjadi rebutan di serata Asia termasuklah Jepun, China dan Taiwan.
Sementara itu, SM Entertainment yang dihubungi terus mengesahkan pengumuman dibuat oleh Changmin dan mengesahkan Changmin tetap berfungsi sebagai ahli TVXQ. “Kami berharap peminat dapat merestui pilihan Changmin,” sebut jurucakap agensi itu.
Changmin telah mengeluarkan album solo pertamanya pada awal April 2020 lalu berjudul ‘Chocolate’.
Sumber: mbn