dimsum berjaya bawa kelainan dan tawan hati peminat Malaysia dengan Konsert Thai Pop 2019

Bersempena sambutan ulang tahun ketiga bagi dimsum, salah satu perkhidmatan langganan video-on-demand (vod) Malaysia, dimsum buat julung kalinya membawakan konsert Thai pertama ke Malaysia. Dengan barisan artis jemputan yang cukup terkenal yang terdiri daripada Sunny Suwanmethanont, Thanapob ‘Tor’ Leeratanakachorn, Kritssanapoom ‘Jaylerr’ Pibulsonggram, Chonlathorn ‘Captain’ Kongyingyong, Paris ‘Ice’ Intarakomalyasut, Wongravee ‘Sky’ Nateetorn, Putthipong ‘Billkin’ Assaratanakul, Nichapahat ‘Pearwah’ Chatchaipholrat dan Kanyawee ‘Thanaerng’ Songmuang, di mana kesembilan mereka sedang hangat diperkatakan menerusi drama My Ambulance, In Family We Trust serta Man of Vengeance 2019 yang mana kesemua drama tersebut kini ditayangkan di platform dimsum.

Bertempat di Central Annexe, Central i-City (Shah Alam), pada 9hb November telah berlangsung satu sidang media dengan kemunculan artis-artis jemputan di samping kehadiran para kehormat serta pihak-pihak yang menaja bagi menjayakan konsert Thai Pop 2019 ini. Tuan Andreas Vogiatzakis selaku ketua pengarah urusan bagi Star Media Group, dalam ucapan beliau sempat mengucapkan selamat ulangtahun kelahiran yang ketiga buat dimsum yang disambut pada 8hb November yang lalu. Beliau juga menyatakan bahawa pihak mereka dalam usaha melebarkan sayap mereka ke Indonesia dan juga Thailand agar para peminat di negara tersebut dapat menikmati segala kandungan yang ada pada aplikasi dimsum, bersama-sama para peminat di Malaysia, Brunei dan Singapura bagi mendapatkan kandungan siaran yang eksklusif dari China, Taiwan, Thailand serta Jepun. Tuan Rutch Soratana dari Royal Thai Embassy, Minister and Deputy Chief of Mission Thailand, begitu teruja dan gembira dengan sambutan yang begitu menggalakkan pada dari para peminat ke atas drama-drama dari tanah Gajah Putih itu yang disiarkan di platform dimsum. Beliau berharap agar dengan adanya medium seperti drama dan filem ini, rakyat Malaysia terutamanya dapat mengenali negara Thailand dengan lebih mendalam lagi.

Kemunculan kesembilan artis jemputan yang diterbangkan khas dari Thailand di atas pentas telah menggamatkan lagi suasana di Central Annexe pada petang itu. Walaupun mereka tiba agak lewat dari yang dijadualkan, jeritan dan laungan terus kedengaran dari para peminat sejurus sahaja kelihatan mereka di atas pentas. Mereka begitu teruja dan terkejut dengan sambutan meriah yang diterima, apatah lagi ada di antara mereka yang mengucapkan salam perkenalan di dalam bahasa melayu. Setelah itu, mereka bersama-sama dengan tiga lagi VVIP menjalankan sesi pemotongan reben sebagai simbol bagi majlis pelancaran konsert Thai berskala besar yang pertama kali diadakan di Malaysia. Majlis diteruskan dengan sesi menemuramah bintang-bintang dari Thailand, Issey selaku pengacara majlis sempat bertanyakan beberapa soalan kepada mereka berkenaan dengan karier dan juga kehidupan mereka.

Apabila ditujukan soalan kepada Pearwah berkenaan dengan perasaan beliau terhadap runut bunyi yang dinyanyikan bersama Ice bagi drama My Ambulance yang telahpun mencecah lebih dari 123,000,000 (juta) tontonan di platform Youtube, beliau begitu terharu dengan sambutan yang begitu menggalakkan dari peminat terutama peminat dari Malaysia. Beliau berharap agar para peminat akan terus menyokong beliau dalam projek yang akan datang. Ice Paris yang baru sahaja mencecah usia 21 tahun pada bulan yang lalu, menyuarakan hasrat untuk menyempurnakan ‘bucket lists’ beliau antaranya skydiving dan meluncur air. Captain pula memberitahu bahawa ini bukan kali pertama beliau menjejakkan kaki di Malaysia. Beliau pernah bercuti ke Sipadan bersama-sama Pearwah dan Thanaerng sebelum ini dan juga berhasrat untuk bercuti ke tempat-tempat menarik yang lain di Malaysia. Mereka juga memberi jaminan bahawa semua peminat akan merasai keseronokan pada malam konsert nanti kerana mereka semua telah berlatih dengan bersungguh-sungguh demi memberikan yang terbaik buat peminat mereka. Sebelum majlis berakhir, satu sesi memotong kek telah dijalankan sempena ulangtahun kelahiran ketiga dimsum.

Dengan tinggal hanya berbaki satu bulan lebih sahaja untuk kita tiba di tahun yang baru 2020, pihak dimsum telah menyenaraikan drama-drama terbaru yang bakal menemui penonton dimsum di antaranya adalah My Love From Another Star adaptasi dari k-drama (lakonan Barry ‘Nadech’ Kugimiya dan Peeranee ‘Matt’ Kongthai), Bad Genius the Series, One Year, Project S: The Series, Angel Beside Me, In Time With You, BLACKLIST dan Brother of the Year dari Thailand di samping Ming Dynasty dan Legends of Monkey King dari China.

Tanggal 10hb November, hari yang ditunggu-tunggu oleh peminat drama Thailand (lebih dikenali dengan gelaran lakorn) telah tiba. Para peminat mula membanjiri IDEAL Convention Centre Shah Alam (IDCC) seawal dari tengahari lagi, walaupun konsert hanya akan bermula setelah jam menginjak ke 6 petang. Terdapat beberapa kelompok peminat yang mengambil inisiatif sendiri untuk memberikan cenderahati dalam bentuk ‘photocard’ dan banner tangan buat peminat yang lain bagi bersama-sama memeriahkan lagi suasana terutama apabila berada di dalam dewan konsert nanti. Tepat jam 6 petang, kedengaran gegak-gempita dari hampir 2000 para peminat yang berada di dewan IDCC apabila dewan bertukar gelap dan layar skrin di hadapan mula menayangkan nama-nama artis yang telah dibawakan khas oleh dimsum.

Persembahan pembukaan yang cukup bertenaga di konsert Thai Pop 2019 adalah dari Tor, Jaylerr, Ice dan Captain yang mana mereka berempat merupakan ahli kumpulan Nine By Nine (kumpulan idol yang menghasilkan album, membuat siri jelajah serta berlakon dalam drama bersiri) dengan mendendangkan lagu bertajuk Lucky One. Persembahan kedua disusuli dengan nyanyi solo dari Tor dengan mendendangkan lagu yang bertajuk Hua Jai Kaung Tur dari runut bunyi drama Man of Vengeance 2019 aka Hua Jai Sila. Persembahan diteruskan dengan nyanyian duet antara Ice dan Pearwah (My Ambulance), Thanaerng (It’s OK), Billkin (You Are My Everything) serta Sunny dan Sky (Love Message).

Konsert diteruskan dengan sesi permainan di antara artis dan peminat yang bertuah. Sunny, Sky, Billkin, Pearwah dan Thanaerng masing-masing digandingkan bersama peminat yang berjaya memperoleh bola yang telah diletakkan di bawah tempat duduk masing-masing. Setiap pasangan disuruh untuk meneka dan menunjukkan ‘love sign’ yang sama agar peminat berjaya memenangi gambar polaroid berdua serta sedikit cenderahati.

Sesudah itu, konsert diteruskan kembali dengan persembahan yang menghiburkan oleh mereka bersembilan dengan nyanyian duet Pearwah dan Billkin (Lost Stars), Ice (Let It Be), Captain (Comethru), Jaylerr (Humble) serta Tor dan Jaylerr (Counting Star). Konsert yang telah berjalan selama hampir dua jam semakin sampai ke akhirnya apabila mereka semua bersatu kembali di atas pentas dan mendendangkan lagu Uptown Funk.

Apapun, tahniah KMania ucapkan kepada team dimsum yang telah menyambut ulangtahunnya yang ke-3. Semoga dimsum akan terus mencipta kejayaan dan terus memberikan hiburan asia tanpa henti buat peminat di Malaysia dan rantau ASEAN.

loading...