Drama original Disney+ “Made in Korea 2” mendedahkan still terbaharu yang memperlihatkan hubungan semakin rumit antara Baek Ki Tae (Hyun Bin), Jang Geon Young (Jung Woo Sung) dan Baek Ki Hyun (Woo Do Hwan), selain perubahan dinamik kuasa antara beberapa watak utama selepas sembilan tahun.
Musim pertama mengikuti Baek Ki Tae, seorang lelaki yang didorong oleh cita-cita untuk mendapatkan kekayaan dan kuasa, serta pendakwa raya Jang Geon Young yang sanggup mengorbankan segalanya untuk menghalangnya ketika Korea Selatan bergolak pada era 1970-an.
Berlatar sembilan tahun selepas peristiwa musim pertama, Baek Ki Tae kini berada di kemuncak kuasa, manakala Jang Geon Young kembali dengan rancangan untuk membalas dendam. Pada masa yang sama, Baek Ki Hyun memilih laluan berbeza daripada abangnya dalam usaha mendapatkan kuasa.
Apabila cita-cita mereka mula bertembung, keadaan menjadi semakin tidak terkawal dan mencetuskan perpecahan yang sukar untuk diperbaiki.
Baek Ki Tae Kembali Berdepan Jang Geon Young

Hubungan antara Baek Ki Tae dan Jang Geon Young yang sudah lama bermusuhan kembali menjadi tumpuan apabila Geon Young muncul semula selepas sembilan tahun dan mencabar Ki Tae dalam pertarungan habis-habisan.
Baek Ki Tae yang semakin tenggelam dalam cita-citanya untuk mencapai kemuncak kuasa kini berdepan musuh lama yang datang kembali dengan satu tujuan — membalas dendam dan menjatuhkannya.
Dalam salah satu still baharu, Ki Tae kelihatan terkejut dan berjaga-jaga selepas bertemu semula dengan Geon Young, yang tidak disangkanya akan muncul kembali selepas sekian lama.
Namun, konflik mereka turut melibatkan Baek Ki Hyun. Sebagai adik kepada Ki Tae, dia cuba menghentikan tindakan abangnya yang semakin tidak terkawal sebelum akhirnya berdepan pilihan sukar sama ada untuk terus berpihak kepada keluarganya atau bekerjasama dengan Jang Geon Young.
Satu still turut memperlihatkan pertemuan awal antara Geon Young dan Ki Hyun ketika mereka mula bekerjasama. Kedua-duanya dilihat berhati-hati menilai satu sama lain, memberikan bayangan bahawa pakatan tersebut mungkin dipenuhi rasa curiga.

Jung Woo Sung menggambarkan Jang Geon Young sebagai seseorang yang menyelinap ke dalam bayang-bayang kuasa baharu demi membalas dendam, sambil berusaha mencari jalan untuk menjatuhkan Baek Ki Tae.
Hubungan Dua Beradik Semakin Rumit

Hubungan antara Baek Ki Tae dan Baek Ki Hyun juga mengalami perubahan besar.
Hyun Bin berkongsi bahawa Ki Hyun pada asalnya merupakan seseorang yang sepatutnya bergerak mengikut kehendak abangnya. Namun, apabila Ki Hyun mula menjauh daripada pengaruh Ki Tae, dia akhirnya menjadi penghalang kepada abangnya sendiri.
“Itu membuatkan fikiran dan perasaan Baek Ki Tae terhadapnya menjadi lebih rumit,” jelas Hyun Bin.
Woo Do Hwan pula berkata dia mahu membawakan Ki Hyun dengan cara yang membuatkan penonton memahami pilihannya.
“Saya mahu membawakan watak ini sehingga saya sendiri boleh memahami bahawa jika saya berada di tempat Baek Ki Hyun, saya juga mungkin akan membuat pilihan yang sama,” katanya.
Dinamik Kuasa Turut Berubah
Selain konflik tiga watak utama, hubungan antara Baek Ki Tae, Cheon Seok Jung (Jung Sung Il) dan Pyo Hak Soo (Roh Jae Won) turut mengalami perubahan ketara selepas sembilan tahun.
Cheon Seok Jung masih memegang kedudukan berpengaruh sebagai ketua staf Blue House, dengan kuasa yang hampir mutlak walaupun berada di kedudukan nombor dua.
Namun, kemunculan Hwang Dae Shik (Heo Jung Do) yang turut mengancam kedudukannya menyebabkan Cheon Seok Jung mula berasa tertekan dan kembali mendapatkan sokongan Baek Ki Tae, yang selama ini berada di sisinya.
Hyun Bin melihat perubahan ini sebagai satu perkembangan menarik.
“Dalam Musim 1, Baek Ki Tae yang memandang ke arah Cheon Seok Jung, tetapi dalam Musim 2, saya merasakan Cheon Seok Jung juga mula bergantung kepada Baek Ki Tae.”

Jung Sung Il pula mempunyai pandangan berbeza. Menurutnya, siapa yang berada di kedudukan tersebut sebenarnya tidak begitu penting bagi Cheon Seok Jung. Baek Ki Tae hanya mengambil tempat yang pernah diduduki Hwang Guk Pyeong sebelum ini.
Dia turut menyifatkan Baek Ki Tae sebagai “kad yang boleh dibuang pada bila-bila masa sekiranya keadaan tidak memihak kepadanya”, sekali gus menambahkan ketegangan dalam permainan psikologi antara mereka.
Pyo Hak Soo Kini Berada di Bawah Baek Ki Tae

Pyo Hak Soo pula melalui antara perubahan paling ketara sepanjang sembilan tahun tersebut.
Jika mereka merupakan pesaing dalam musim pertama, kali ini Pyo Hak Soo terpaksa bekerja di bawah Baek Ki Tae selepas Ki Tae dinaikkan sebagai pemangku pengarah KCIA.
Roh Jae Won menjelaskan bahawa perubahan kedudukan tersebut mewujudkan rasa tidak selesa yang berbeza dalam hubungan mereka.
“Mereka adalah pesaing dalam Musim 1, tetapi dalam Musim 2, Baek Ki Tae menjadi orang atasannya. Rasa tidak selesa yang wujud daripada perubahan itu, bersama situasi genting apabila dia melangkaui batas tersebut, merupakan perbezaan terbesar,” katanya.
Untuk menghayati naluri Pyo Hak Soo yang sentiasa mahu bertahan, Roh Jae Won turut mendedahkan bahawa dia sering mengingatkan dirinya, “Aku perlu bertahan dalam permainan ini. Aku lebih bijak daripada kamu dan pilihan aku adalah yang betul.”
Pengarah Woo Min Ho pula menyifatkan Pyo Hak Soo sebagai watak yang jauh lebih penting dalam musim kedua berbanding musim pertama. Menurutnya, Pyo Hak Soo ibarat “bola yang boleh melantun ke mana-mana arah”, membuatkan tindakannya sukar dijangka.
Dengan keseluruhan enam episod, “Made in Korea 2” akan ditayangkan menerusi dua episod pertama pada 9 September, diikuti dua episod baharu setiap hari Rabu.


