Drama Korea baharu Perfect Crown mencipta kejayaan tersendiri apabila menjadi antara tontonan paling tinggi di Disney+ di seluruh dunia, termasuk di luar rantau Asia Pasifik.
Sejak mula ditayangkan pada 10 April, drama ini menerima sambutan hangat dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Kanada, beberapa negara Eropah seperti UK, Jerman, Sepanyol dan Itali, serta Amerika Latin seperti Brazil, Mexico dan Argentina. Ia juga mendapat perhatian di Australia, New Zealand, Filipina, Malaysia, Singapura dan Jepun.
Setakat ini, Perfect Crown dilaporkan mencatat lebih 43 juta jam tontonan di seluruh dunia, dengan prestasi yang terus meningkat dari minggu ke minggu. Episod 8 juga menunjukkan lonjakan tontonan berbanding episod pertama.
Drama ini mengisahkan Grand Prince I-AN yang terlibat dalam perebutan kuasa dalam keluarga diraja. Dalam tekanan untuk berkahwin, dia bersetuju dengan perkahwinan kontrak bersama Huiju, pewaris sebuah syarikat besar di Korea. Tapi lama-kelamaan, hubungan yang bermula atas kepentingan masing-masing mula berubah apabila perasaan mula muncul.

Perfect Crown dibintangi IU sebagai Huiju dan Byeon Woo-seok sebagai Grand Prince I-AN, dengan arahan Park Joonhwa dan skrip oleh Yoo Jiwon.
Sepuluh episod pertama kini boleh ditonton di Disney+, manakala dua episod terakhir akan ditayangkan pada 15 dan 16 Mei jam 10:20 malam waktu Malaysia.

