‘Aku Cinta Kamu!’ — Pelakon ‘Speed & Love’, Esther Yu Curi Tumpuan Peminat di Kuala Lumpur

Kalau tahun lalu Kuala Lumpur dipanaskan dengan kehadiran bintang utama ‘Fated Heart’, Chen Zheyuan sebagai Duta Global Antarabangsa iQIYI 2025, kini giliran Jiang MuMu yang comel dari ‘Speed & Love’ pula memikat hati peminat Malaysia pada tahun 2026.

Menurut Pengarah Urusan Kanan iQIYI bagi Malaysia, Indonesia dan Singapura, Dinesh Ratham, tontonan C-Drama di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara sepanjang tahun, merentasi pelbagai lapisan masyarakat. Ini membuktikan bahawa pengaruh kandungan hiburan China semakin meluas di peringkat global.

Susulan kejayaan membawa pelakon ‘Fated Heart’ ke Malaysia sebelum ini, iQIYI terus yakin untuk memperluaskan jelajah iQIYI Starship ke negara ini.

Tahun ini, Esther Yu telah dilantik sebagai Duta Global Antarabangsa iQIYI 2026. Menariknya, Kuala Lumpur menjadi destinasi pertama bagi jelajah Asia Tenggara iQIYI Starship sebelum beliau meneruskan lawatan ke negara lain.

Esther Yu yang tiba sehari lebih awal telah disambut meriah oleh kira-kira 600 peminat dari dalam dan luar negara di KLIA pada 6 April 2026. Beliau tampil dengan wajah polos tanpa solekan sambil menyapa peminat dengan penuh mesra.

Seperti tahun sebelumnya, sesi ‘Fan Meet’ bersama artis China ini dianjurkan sepenuhnya oleh iQIYI melalui pertandingan serta pendaftaran sebagai ahli iQIYI VIP.

Acara yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu menyaksikan keterujaan peminat apabila Esther Yu tampil anggun mengenakan gaun panjang berwarna hijau, selari dengan tema warna iQIYI. Sebagai pembuka tirai jelajah Asia Tenggara, beliau turut menyapa peminat dengan ucapan “Apa khabar”.

Dianjurkan oleh iQIYI International, acara tersebut berjaya menghimpunkan lebih 1,000 penonton termasuk pelanggan VIP tahunan, media, rakan kongsi serta peminat setia—mencerminkan populariti besar Esther Yu di Malaysia serta minat yang semakin meningkat terhadap hiburan Asia premium.


Ketibaan Bintang yang Mendekatkan Peminat

Sejak melangkah ke pentas, Esther Yu berjaya memikat hati khalayak dengan daya tarikan dan sikap mesranya. Peminat bukan sahaja dapat melihat beliau dari dekat, malah berpeluang mengenali personalitinya dengan lebih mendalam apabila beliau berkongsi tentang minat, rutin penjagaan diri serta pandangannya terhadap makanan.

Beliau juga menyatakan hasrat untuk meneroka tempat-tempat menarik di Malaysia, namun secara berseloroh menegaskan bahawa beliau tidak akan mendedahkan lokasi yang dikunjungi demi menjaga privasi bersama keluarga.

Acara ini turut menampilkan pelbagai segmen menarik seperti sesi soal jawab eksklusif media, permainan interaktif di atas pentas serta detik istimewa bersama peminat. Turut hadir memeriahkan acara ialah personaliti tempatan seperti Moses Wong, Jestinna Kuan dan Rasyidah Binti Abu Johan.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by KMania (@kmania.my)

Antara momen yang mencuit hati peminat ialah apabila Esther cuba bertutur dalam Bahasa Melayu dengan ungkapan seperti “Aku cinta kamu”, “Jom makan” dan “Abang, boleh?”.

Dalam kesempatan tersebut, Esther meluahkan rasa gembira dapat bertemu peminat Malaysia, apatah lagi ini merupakan kunjungan pertamanya ke negara ini. Beliau turut terharu dengan sambutan peminat di lapangan terbang yang sangat sopan dan menghormati ruang, sekali gus memberikan keselesaan untuk beliau berinteraksi dengan lebih tenang.

Sepanjang berada di Malaysia, Esther merasakan kasih sayang dan sokongan luar biasa daripada peminat, dan beliau berharap dapat kembali lagi ke sini pada masa akan datang.


Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan drama terbaharu beliau, Road to Success, yang bakal ditayangkan tidak lama lagi di iQIYI. Peminat juga boleh menikmati pelbagai drama lakonan Esther Yu yang tersedia di iQIYI seperti My Journey to You, Sword and Fairy, Love Between Fairy and Devil dan Moonlight.

Nantikan juga kehadiran bintang-bintang antarabangsa lain ke Malaysia melalui jelajah iQIYI Starship—jadi teruskan bersama iQIYI Malaysia dan langgani iQIYI VIP untuk menikmati kandungan C-Drama berkualiti tinggi.

KMania ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada iQIYI Malaysia serta semua pihak yang menjayakan kehadiran Esther Yu ke Malaysia melalui projek iQIYI Starship 2026. Diharapkan inisiatif ini membuka lebih banyak peluang untuk membawa pelakon C-Drama lain ke Malaysia, sekali gus memperkukuh hubungan industri dan komuniti peminat.