Dalam satu perkembangan mengejutkan, Mark Lee disahkan akan meninggalkan SM Entertainment serta semua unit NCT termasuk NCT 127 dan NCT Dream, sekali gus menamatkan perjalanan hampir sedekad bersama kumpulan tersebut.
Pada 3 April (KST), SM Entertainment mengumumkan bahawa selepas perbincangan panjang dan mendalam mengenai hala tuju masa depan, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontrak eksklusif Mark pada 8 April. Sehubungan itu, beliau akan menamatkan semua aktiviti sebagai ahli NCT.
Mark, yang debut pada tahun 2016 sebagai sebahagian daripada NCT U menerusi lagu “The 7th Sense,” merupakan antara ahli teras sejak penubuhan kumpulan itu. Sepanjang 10 tahun, beliau dikenali dengan bakat versatil—bukan sahaja dalam aktiviti berkumpulan, tetapi juga sebagai artis solo. Malah, beliau turut melancarkan album solo pertamanya, The Firstfirst, pada April 2025, yang disifatkan sebagai karya yang membantu beliau lebih memahami dirinya.
NCT sendiri terkenal dengan konsep unik yang membahagikan kumpulan besar kepada beberapa subunit dengan keahlian tetap dan juga fleksibel. Baru-baru ini, Mark bersama NCT Dream menamatkan jelajah dunia mereka dengan beberapa konsert di Seoul.
Dalam kenyataan rasmi, SM Entertainment merakamkan penghargaan atas sumbangan besar Mark sepanjang bersama syarikat dan menyatakan sokongan penuh terhadap langkah baharunya. Selepas pemergian beliau, NCT 127 akan meneruskan aktiviti sebagai kumpulan tujuh ahli—Johnny, Taeyong, Yuta, Doyoung, Jaehyun, Jungwoo dan Haechan—manakala NCT Dream akan kekal dengan enam ahli—Renjun, Jeno, Haechan, Jaemin, Chenle dan Jisung.
Mark turut berkongsi luahan hati kepada peminat melalui Instagram dalam bahasa Korea dan Inggeris. Dalam mesej tersebut, beliau meluahkan rasa syukur atas sokongan yang diterima sepanjang lebih 10 tahun, termasuk sejak zaman SM Rookies.
Menurutnya, walaupun keputusan ini mungkin mengejutkan ramai, impian untuk meneroka hala tuju sendiri sebenarnya telah lama wujud dalam dirinya—sejak zaman trainee lagi. Beliau pernah membayangkan kehidupan sebagai pemuzik bebas, mengembara dengan gitar akustik, melakukan busking dan menulis.
Selepas melalui pelbagai pengalaman bersama NCT dan menjelajah dunia, Mark mula mempersoalkan impian sebenar yang ingin dicapai sebagai seorang individu. Dengan kontrak yang menghampiri penghujung, beliau mengambil masa yang lama untuk berfikir sebelum akhirnya membuat keputusan untuk memberi fokus sepenuhnya kepada impian tersebut.
Walaupun berat untuk meninggalkan kumpulan, Mark mendedahkan bahawa semua ahli NCT memberikan sokongan penuh terhadap keputusannya. Beliau turut meluahkan penghargaan kepada rakan-rakan sepasukan, staf, dan semua yang telah membantunya berkembang sepanjang berada di bawah SM Entertainment.
Dalam masa sama, Mark mengakui keputusan ini mungkin memberi kesan kepada peminat, dan beliau memohon maaf jika ia menimbulkan rasa sedih atau terkejut. Namun, beliau berharap dapat membalas segala sokongan dengan menunjukkan versi dirinya yang lebih baik pada masa akan datang.
Mengakhiri mesejnya, Mark menegaskan bahawa beliau akan sentiasa menghargai SM Entertainment, ahli NCT dan para peminat (Czennies) sepanjang hidupnya, serta berjanji untuk kembali dengan sesuatu yang boleh dibanggakan.
Surat kepada peminat yang dimuatnaik Mark melalui Instagram peribadinya.

Perjalanan Mark bersama NCT mungkin berakhir, namun langkah baharunya sebagai artis dijangka membuka lembaran yang lebih luas dalam karier muziknya.

