10 Drama Korea Terbaru Yang Menghiasi Layar April 2026

Annyeong, chinguyaa~

April is coming!. Dikesempatan ini penulis ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam. Seperti biasa, bila masuk bulan baru maka sudah pasti akan ada drama Korea terbaru yang pastinya buat hati berdebar! Dari kisah cinta manis, komedi romantik yang menghiburkan, hingga thriller penuh ketegangan dan misteri, bulan ini menjanjikan pelbagai genre yang sesuai untuk semua citarasa.

Dengan barisan pelakon berbakat dan jalan cerita yang menarik, drama-drama bulan ini bukan sahaja menghibur dan menemani korang, tetapi juga menyentuh emosi penonton — dari tawa ringan hingga konflik yang buat kita tak tenang duduk. 

Jom check it out senarai 10 drama Korea terbaru yang bakal bersiaran sepanjang bulan April 2026.

1. Bloodhounds 2

  • Tarikh Tayangan: 3 April 2026
  • Penyiar: Netflix
  • Barisan Pelakon: Woo Do Hwan, Lee Sang Yi, Rain

Selepas menumpaskan rangkaian ahlong, Kim Geon Woo (Woo Do Hwan) dan Hong Woo Jin (Lee Sang Yi) cuba kembali ke kehidupan normal. Namun, mereka sekali lagi terheret ke dunia ganas apabila muncul ancaman baharu—liga tinju bawah tanah bertaraf global.

Mereka berdepan Baek Jeong (Rain), dalang kejam yang memanipulasi dunia tinju dan menjadikan mereka sasaran. Kini, mereka perlu bertarung demi kelangsungan hidup dalam pertarungan yang lebih sengit dan berisiko tinggi.

Apabila bahaya semakin memuncak, kedua-duanya sekali lagi terpaksa berjuang dalam dunia di mana kesetiaan, pengorbanan, dan kelangsungan hidup menjadi taruhan utama. Nantikan pertarungan yang lebih sengit, risiko yang lebih tinggi, serta kembalinya duo ikonik yang pernah mencuri perhatian peminat K-drama aksi.

2. Perfect Crown

  • Tarikh Tayangan: 10 April 2026
  • Penyiar: MBC | Disney+ Malaysia
  • Barisan Pelakon: IU, Byeon Woo Seok

Bayangkan Korea Selatan abad ke-21 yang masih mengamalkan sistem monarki. “Perfect Crown” mengikuti kisah Sung Hui Ju (IU), anak kedua keluarga konglomerat Castle Group yang bercita-cita tinggi. Walaupun kaya-raya, dia sering berasa tersisih dalam kalangan elit kerana status kelahirannya yang tidak sah.

Bertekad mengukuhkan kedudukannya, Hui Ju mencadangkan perkahwinan strategik dengan Putera Yi An (Byeon Woo Seok), putera kedua raja yang hidup di bawah tekanan dan jangkaan politik. Apa yang bermula sebagai perjanjian yang dirancang rapi mula menjadi rumit apabila mereka mula memahami antara satu sama lain. Di bawah pemerhatian dingin Ratu Dowager Yoon Yi Rang (Gong Seung Yeon), perhatian media, campur tangan keluarga, dan politik istana memaksa Hui Ju dan Yi An menentukan sama ada hubungan mereka sekadar strategi atau sesuatu yang lebih tulen.

3. Yumi’s Cells 3

  • Tarikh Tayangan: 13 April 2026
  • Penyiar: tvN | HBO Max Malaysia
  • Barisan Pelakon: Kim Go Eun, Kim Jae Won

Yumi kembali, dan Cell Village miliknya lebih sibuk daripada sebelumnya! Kini sebagai novelis romantik yang berjaya, Kim Yumi (Kim Go Eun) kelihatan cemerlang dari luar, tetapi masih bergelut dengan kesepian dan ketidakpastian emosi. Inner cells beliau sekali lagi menjadi panduan dalam membuat keputusan ketika menempuh babak baharu kehidupannya.

Kehidupannya berubah apabila Shin Soon Rok (Kim Jae Won), pengarah penerbitan yang logik dan pendiam, memasuki dunianya, membawa kehangatan serta perasaan yang tidak dijangka. Yumi perlu menghadapi ketakutan tentang cinta, kebebasan diri, dan sama ada dia bersedia membuka hati semula.

Musim terakhir ini menjanjikan kelahiran watak yang paling dinanti daripada webtoon kegemaran ramai, meneroka bagaimana Yumi akhirnya menemui “Soon-Rok” (penamat) yang dia layak dapatkan.

4. Absolute Value of Romance

  • Tarikh Tayangan: 17 April 2026
  • Penyiar: Coupang Play | Prime Video Malaysia
  • Barisan Pelakon: Kim Hyang Gi, Cha Hak Yeon, Kim Jae Hyun

Yeo Eui-Ju (Kim Hyang Gi) ialah seorang pelajar sekolah menengah biasa yang menjalani kehidupan rahsia sebagai penulis novel web romantik. Dia sering mengambil inspirasi daripada orang di sekelilingnya, terutamanya guru-guru kacak di sekolah, dan melalui penulisannya, imaginasi serta emosinya menjadi semakin hidup.

Kehidupannya mula bercampur aduk antara fantasi dan realiti apabila empat guru lelaki baharu yang kacak tiba di sekolahnya, masing-masing menyerupai watak-watak dalam ceritanya. Salah seorang daripadanya, Ga U-Su (Cha Hak Yeon), seorang pelajar matematik yang dingin tetapi menyimpan trauma, turut terlibat dalam hidupnya. Interaksi dengan mereka membawa detik lucu, canggung, dan perasaan yang tidak dijangka, memaksa Eui-Ju belajar tentang cinta, pertumbuhan diri, dan perbezaan antara fantasi dengan realiti.

Cerita ini menggabungkan humor remaja, drama romantik, dan kehangatan kisah seorang penulis yang hidup dalam plot ciptaannya sendiri, sambil menemui pengajaran dan pengalaman sebenar dalam dunia percintaan dan persahabatan.

5. We Are All Trying Here

  • Tarikh Tayangan: 18 April 2026
  • Penyiar: JTBC | Netflix
  • Barisan Pelakon:Koo Kyo Hwan, Go Youn Jung

Drama hujung minggu JTBC, “We Are All Trying Here”, mengisahkan kehidupan individu muda yang cuba mencari tempat mereka dalam dunia yang penuh tekanan sosial dan cemburu.

Hwang Dong-Man (Koo Kyo Hwan), seorang pengarah filem bercita-cita tinggi yang belum membuat debut, bertemu dengan Byeon Eun-A (Go Youn Jung), seorang penerbit filem yang terkenal dengan ulasan tajamnya, tetapi menghadapi trauma fizikal apabila emosinya meluap. Bersama-sama, mereka belajar menghargai diri sendiri tanpa mengukur kejayaan melalui pencapaian profesional.

Drama ini turut menyorot pengalaman sekumpulan orang muda lain yang berusaha menyeimbangkan kerja, hubungan, dan cita-cita peribadi. Melalui interaksi dan sokongan antara satu sama lain, mereka menemui keselesaan dalam pengalaman bersama dan pelajaran tentang cinta, persahabatan, serta pertumbuhan diri.

6. The Scarecrow

  • Tarikh Tayangan: 20 April 2026
  • Penyiar: ENA | Genie TV 
  • Barisan Pelakon: Park Hae Soo, Lee Hee Joon

Drama ‘The Scarecrow’ membawa penonton menyelami misteri gelap yang merentasi dekad, berlatar di sebuah bandar kecil yang tenang. Kang Tae-Ju (Park Hae Soo), seorang detektif tegas yang diturunkan pangkat dan dipindahkan dari Seoul ke kampung halamannya di Gangseong, menyiasat satu siri pembunuhan bersiri yang meniru kes sejuk tahun 1988, dengan harapan menebus kredibilitinya.

Dalam siasatan itu, dia terpaksa bekerjasama dan berdepan dengan Cha Shi-Young (Lee Hee Joon), seorang pendakwa politik yang pernah membulinya semasa zaman persekolahan. Semasa mereka cuba membongkar identiti pembunuh “Scarecrow”, syak wasangka dan rahsia lama mula terbongkar, mendedahkan kebenaran yang lama terkubur, luka emosi, dan motif tidak dijangka. Drama ini menggabungkan ketegangan psikologi dengan penceritaan berfokuskan watak, serta konspirasi yang membuat penonton terus terpaut.

7. Sold Out On You

  • Tarikh Tayangan: 22 April 2026
  • Penyiar: SBS | Netflix
  • Barisan Pelakon: Ahn Hyo Seop, Chae Won Bin, Kim Bum

Sold Out on You” ialah komedi romantik yang mengisahkan Matthew Lee (Ahn Hyo Seop), juga dikenali sebagai “Mechoori” (“Burung Puyuh”), seorang CEO dan penyelidik utama syarikat bahan kosmetik semula jadi yang menjalankan ladang unik menghasilkan bahan ajaib, menumpukan sepenuhnya pada kerjayanya sehingga tiada ruang untuk kehidupan peribadi. Hidup Matthew berubah apabila dia bertemu Dam Ye-Jin (Chae Won Bin), hos rancangan jualan rumah yang berjaya tetapi menderita insomnia kronik akibat tekanan dan keletihan emosi.

Apabila jalan profesional mereka bertembung, kedua-duanya saling membantu menyembuhkan luka emosi masing-masing sambil mengembangkan percintaan yang lembut dan menghiburkan. Menambah ketegangan ialah Seo Eric (Kim Bum), pengarah eksekutif dari jenama kosmetik Perancis pesaing yang kembali ke Korea dengan agenda tersendiri, mewarnai konflik dan dinamika hubungan mereka.

8. If Wishes Could Kill

  • Tarikh Tayangan: 24 April 2026
  • Penyiar: Netflix 
  • Barisan Pelakon: Jeon So Young, Kang Mina, Baek Sun Ho, Hyun Woo Seok

“If Wishes Could Kill” ialah siri seram remaja Korea yang mengikuti pelajar Seorin High School, yang terkena sumpahan daripada aplikasi misteri Girigo. Aplikasi itu menunaikan permintaan pengguna jika mereka memuat naik video – tetapi dengan harga yang mengerikan.

Jeon So Young membawakan watak seorang atlet trek dan padang yang berusaha mendedahkan kebenaran gelap di sebalik Girigo. Siri ini turut menampilkan Kang Mina, Baek Sun Ho, Hyeon Woo Seok , dan Lee Hyo Je.

Siri ini menggabungkan unsur seram, suspense, dan mistik dengan kehidupan sekolah, persahabatan, pertumbuhan diri, dan ikatan emosi antara rakan, sambil menimbulkan ketakutan melalui akibat permintaan yang dipenuhi.

9. Filing For Love

  • Tarikh Tayangan: 25 April 2026
  • Penyiar: tvN | HBO Max Malaysia
  • Barisan Pelakon: Shin Hae Sun, Gong Myung

“Filing For Love” menampilkan Shin Hye-Sun sebagai Joo In-A, ketua jabatan audit di Haemu Group yang tegas dan perfeksionis, terkenal kerana menundukkan sesiapa sahaja yang melanggar polisi syarikat, menjadikannya eksekutif wanita termuda di Haemu.

Gong Myung membawakan watak Noh Ki-Joon, seorang auditor yang diturunkan pangkat untuk mengendalikan isu-isu kecil pejabat. Kehidupannya berubah selepas bertemu In-A, apabila dia mula menyiasat salah laku syarikat dan mendapati keperibadian In-A lebih kompleks daripada yang disangkakan.

Interaksi mereka yang bermula secara profesional berkembang menjadi hubungan yang lebih intim, dengan ketegangan, strategi korporat, dan dialog pedas yang menambah dinamika cerita, menjadikan kisah ini gabungan intrik dan romansa pejabat yang menarik.

10. Gold Land

  • Tarikh Tayangan: 29 April 2026
  • Penyiar: Disney+ Malaysia 
  • Barisan Pelakon: Park Bo Young, Kim Sung Cheol

“Gold Land” mengisahkan Kim Hee Joo (Park Bo-young), seorang pegawai pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang yang secara tidak sengaja terjerat dalam kes penyeludupan jongkong emas bernilai tinggi. Hidupnya yang sebelum ini stabil bertukar huru-hara apabila dia menjadi buruan penjenayah, along, dan pihak berkepentingan di kasino Gold Land.

Dia terpaksa berdepan dengan konflik dalaman apabila keinginannya untuk memiliki emas itu semakin memuncak, sambil cuba mengelak daripada bahaya luar. Kim Sung Cheol membawakan watak Jang Wook, seorang pemungut hutang dan ahli bawahan dalam organisasi along, antara individu yang mengejar Hee Joo. Kehidupan Hee Joo yang terjerat dalam ketamakan, pengkhianatan, dan kuasa wang membentuk tema utama drama ini: konflik moral, ketamakan manusia, dan perjuangan untuk bertahan dalam dunia jenayah yang berbahaya.

29 Korean Dramas That'll Keep You Entertained While You're Social Distancing

Jadi, untuk peminat drama Korea, jangan lepaskan peluang untuk menonton drama-drama terbaru ini! Namun, perlu diingat bahawa setiap siaran drama ini mungkin tertakluk kepada sebarang perubahan oleh rangkaian penyiaran yang berkaitan. Penulis akan sentiasa mengemaskini jika terdapat sebarang perubahan. Happy watching, gais!