Prime Video Bawa Siri Remaja Korea Baru Penuh Gelak Tawa, “Absolute Value of Romance”

Prime Video mengumumkan siri Korea baharu, Absolute Value of Romance, yang akan ditayangkan secara eksklusif bermula 17 April. Siri coming-of-age ini memaparkan momen remaja yang kekok, humor manis, dan kisah menyentuh hati, sambil mengikuti perjalanan seorang penulis muda yang bercita-cita tinggi menempuh kehidupan sekolah menengah, persahabatan, dan percintaan.

Drama ini menampilkan barisan pelakon hebat termasuk Kim Hyang Gi (Cashero, At Eighteen, Along with the Gods: The Two Worlds), Cha Hak Yeon (Oh My Ghost Clients, Bad and Crazy), Kim Jae Hyun (Twenty-Five Twenty-One), Son Jeong Hyuk (You Are the Apple of My Eyes), Kim Dong Gyu (Dating Class), Kim Sohee (Fragile), serta pelakon Singapura Gladys Bay.

Cerita ini mengisahkan Yeo Eui-ju, seorang pelajar biasa yang menjalani kehidupan rahsia sebagai penulis novel web. Dia bermimpi untuk berjaya, tetapi karyanya tidak mendapat perhatian. Segalanya berubah apabila empat guru lelaki baharu yang kacak tiba di sekolahnya, menjadi sumber inspirasi yang mengubah hidup dan penulisannya secara drastik.

Kim Hyang Gi membawa watak Eui-ju, pelajar yang cuba hidup biasa pada siang hari, tetapi pada waktu malam menulis novel dewasa secara rahsia. Walaupun peka dan empati, dia kurang berpengalaman dalam percintaan. Kehidupannya berubah apabila empat guru lelaki kacak hadir di sekolahnya.

Cha Hak Yeon (VIXX) membawa watak Ga Woo-su, seorang lelaki tampan namun dingin dengan pandangan tajam dan jarang tersenyum. Dilahirkan dalam keluarga ahli matematik terkenal, dia merupakan prodigi matematik dengan memori luar biasa. Selepas satu insiden yang hampir meragut penglihatannya, dia meninggalkan impian belajar di luar negara dan memilih menjadi guru matematik. Kehadiran Eui-ju di sekolah barunya mula menguji kesabarannya.

Kim Jae Hyun (N.Flying) pula memegang watak Noh Da-ju, guru bahasa Jepun yang ceria dan kadangkala nakal, mahir dalam pelbagai bahasa. Dilahirkan dalam keluarga berada, dia berkawan dengan Woo-su sejak sekolah rendah. Walaupun sering bertengkar kerana perbezaan personaliti, mereka sebenarnya saling mengambil berat seperti adik-beradik.

Son Jeong Hyuk melakonkan Jung Gi-jeon, bekas atlet sukan luncur ais yang kini menjadi guru sukan. Walaupun nampak maskulin, dia sebenarnya agak kekok tapi berhati hangat, sebab itu dia popular dalam kalangan pelajar. Kini, dia mahu melatih Eui-ju, yang dilihatnya berbakat dalam larian, menjadi atlet hebat seterusnya.

Kim Dong Gyu membawa watak Yoon Dong-ju, guru bahasa Korea yang lembut dan sopan. Walaupun paling tua dalam kumpulan “F4”, wajahnya yang awet muda sering buat orang salah sangka. Dia melayan pelajarnya dengan penuh hormat dan tidak mudah marah.

Turut membintangi Kim Sohee sebagai sahabat baik Eui-ju, Choi Go-ya, serta Gladys Bay sebagai pelajar pertukaran dari Singapura, Jenny, yang ceria dan sentiasa membawa aura positif.

Siri ini dicipta dan diarahkan oleh Lee Tae-gon (Hello My Twenties!, Hello My Twenties! 2, True to Love) dan ditulis oleh Lee Min-ju. Ia diterbitkan oleh Coupang Play, Mediacorp, Good Wave Inc, dan Borderless Film.

Absolute Value of Romance menyertai pelbagai siri dan filem menarik lain di Prime Video, termasuk Siren’s Kiss, GOOD BOY, Spring Fever, anime popular seperti Jujutsu Kaisen 0, dan Amazon Originals terkenal seperti Fallout, The Summer I Turned Pretty, Reacher, dan The Boys.

Ahli Prime Video boleh menonton di mana sahaja melalui pelbagai peranti, dan juga memuat turun episod untuk tontonan luar talian tanpa kos tambahan. Di Malaysia, langganan hanya RM25 sebulan.