Musim bunga ini, dua bintang popular Korea, IU dan Byeon Woo Seok, bakal berganding buat pertama kali di layar menerusi drama romantik komedi baharu Perfect Crown, yang dijadualkan tayang pada 10 April di Disney+ Malaysia.
Drama ini berlatarbelakangkan dunia alternatif di mana Korea moden diperintah sebagai monarki berperlembagaan. Ia mengisahkan tentang Sung Hee Joo (IU), seorang pewaris chaebol yang memiliki segala kemewahan namun tetap dianggap rakyat biasa dari segi status, dan Grand Prince Yi An (Byeon Woo Seok), seorang putera diraja yang kelihatan tidak mempunyai kuasa walaupun merupakan anak kepada raja.
Kedua-duanya berdepan batasan dalam kehidupan masing-masing — Hee Joo kerana statusnya sebagai rakyat biasa, manakala Yi An pula kerana kedudukannya sebagai anak kedua dalam keluarga diraja. Demi melepaskan diri daripada kekangan tersebut, mereka memilih untuk menjalinkan perkahwinan kontrak, sekali gus bergabung sebagai satu pasukan sebagai suami dan isteri.
Pada awalnya, perkahwinan itu hanyalah satu strategi bagi membantu mereka mencapai matlamat masing-masing. Namun apabila mereka mula bekerjasama dan melalui pelbagai situasi bersama, perasaan sebenar perlahan-lahan mula muncul, menjadikan hubungan mereka semakin rumit dan tidak lagi berjalan seperti yang dirancang.
Poster terbaharu drama ini turut memaparkan Sung Hee Joo dan Grand Prince Yi An bergerak seiring dalam usaha mencapai impian masing-masing. Pandangan mata mereka yang tertumpu ke arah yang sama menggambarkan tekad yang kuat serta perjalanan baharu yang bakal mereka tempuhi bersama.

Penampilan elegan pasangan ini juga mencuri perhatian, dengan busana dan aksesori yang menonjolkan keindahan gaya Korea serta melambangkan status keluarga diraja.
Selain dibintangi IU dan Byeon Woo Seok, Perfect Crown diarahkan oleh Park Joon Hwa yang sebelum ini terkenal dengan drama Alchemy of Souls dan What’s Wrong With Secretary Kim, manakala skripnya ditulis oleh Yoo Ji Won.
Perfect Crown merupakan antara judul drama Korea yang bakal ditayangkan di Disney+ pada tahun 2026. Penonton juga boleh menantikan pelbagai projek lain seperti A Shop for Killers Season 2, Made in Korea Season 2, serta Portraits of Delusion (tajuk sementara) yang dibintangi Bae Suzy dan Kim Seon Ho.
Turut bakal menemui penonton ialah The Remarried Empress yang menampilkan Shin Min Ah, Ju Ji Hoon, Lee Jong Suk dan Lee Se Young.
Saksikan kisah cinta yang bermula daripada perkahwinan kontrak kepada hubungan sebenar dalam Perfect Crown, bermula 10 April hanya di Disney+ Malaysia.

